Browsing Tag

muslimah

haram potong kuku dan rambut ketika haid?
Ibadah,

Haram potong kuku dan rambut ketika haid? Ini penjelasannya

BENARKAH haram potong kuku dan rambut ketika haid?

Bagi golongan wanita, apabila kuku dan rambut yang dipelihara melewati tahap rimas, pasti timbul hasrat untuk mengerat buang anggota-anggota tersebut.

Kebetulan, fenomena biologi sebulan sekali turut datang menjengah, maka hajat tadi terpaksa dihentikan memandangkan ada yang kata wanita dilarang memotong kuku dan rambut dalam keadaan haid atau nifas.

Namun, sejauh manakah kebenaran di sebalik dakwaan tersebut?

Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

Jelas Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sememangnya terdapat ramai ulama Syafie yang menyentuh larangan memotong kuku, rambut, atau mengeluarkan darah atau bahagian daripada tubuh, dalam keadaan berjunub.

Perkara ini didasari pandangan Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddin yang menegah perbuatan memotong kuku dan rambut atas sebab anggota itu akan dikembalikan pada Hari Akhirat dalam keadaan berjunub.

haram potong kuku dan rambut ketika haid?

JANGAN dibiarkan kuku menjadi terlalu panjang. Bukan sahaja ia melambangkan kebersihan diri yang lemah, malah kuku panjang mampu mencederakan diri sendiri serta orang lain.

Pun begitu, tiada nas atau dalil yang melarang wanita dalam keadaan haid atau berhadas besar untuk mengerat kuku, rambut serta bulu lain pada tubuh.

Oleh itu, pihak Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa tidak makruh atau haram bagi wanita memotong kuku, rambut serta bulu sewaktu haid.

Dalam pada itu, wanita juga tidak perlu menyimpan kuku dan rambut yang terputus ketika sedang haid atau nifas untuk dibawa sekali sewaktu melaksanakan mandi wajib.

Baca juga Amalan yang boleh dilakukan oleh wanita ketika haid

haram potong kuku dan rambut?

ADAKALANYA helaian rambut yang tidak ditanam boleh menyebabkan ia digunakan untuk tujuan jahat oleh orang tidak bertanggungjawab.

Wajib tanam kuku dan rambut yang dipotong?

Dalam hal ini, para fuqaha berpendapat bahawa hukumnya sunat menanam kuku dan rambut yang dipotong memandangkan Ibnu Umar pernah melakukannya.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan turut senada dengan pandangan berkenaan berdasarkan Islam yang menganjurkan umatnya menjaga kebersihan persekitaran.

Baca juga Boleh atau tidak memakai kuku palsu dalam Islam? ini penjelasannya

Pada masa sama, menanam kuku dan rambut yang dipotong juga dapat mengelakkan kemungkinan anggota-angota itu disalahgunakan untuk tujuan seperti perbuatan jahat sihir, menyambung rambut dan lain-lain.

Semoga perkongsian kali ini dapat memberi pencerahan buat para wanita di luar sana yang masih keliru tentang isu mengerat rambut dan kuku ketika berhadas besar.

 

Haram potong kuku dan rambut ketika haid? Ini penjelasannya

Sumber: Al-Kafi #1413: Benarkah bulu atau kuku yang dipotong perlu ditanam & Al-Kafi #607: Hukum memotong kuku atau rambut ketika haid dan nifas

Foto: Unsplash & Google

Para ibu, bacalah doa pada juadah yang dimasak, Insya-ALLAH ada kasih sayang sesama keluarga
Gaya Hidup,

Para ibu, bacalah doa pada juadah yang dimasak, Insya-ALLAH ada kasih sayang sesama keluarga

MENJADI ibu pada zaman kini semestinya bukan suatu tanggungjawab kecil. Selain sibuk menitipkan didikan amali dan rohani dalam diri anak-anak, ada pula soal ekonomi negara tidak menentu yang perlu difikirkan.

Gara-gara tuntutan hidup, ada wanita yang terpaksa bertungkus lumus di pejabat dari 8 pagi sehingga 5 petang kemudian menyambung pula tugas di rumah sebagai ibu dan isteri.

Baca juga Tiga jenis kepenatan yang disukai ALLAH

Tidak kurang juga golongan suri rumah yang melakukan kerja-kerja sampingan di samping menguruskan rumah tangga dengan niat membantu meringankan beban suami.

USTAZAH SUMAH FADALEE

Dalam mengejar isi dunia bagi menyara keluarga, pendakwah bebas dari Singapura, Ustazah Sumah Fadalee berpesan agar kita tidak lupa juga mengingati ALLAH SWT sambil memohon keampunan daripada-NYA.

 

Para ibu, bacalah doa pada juadah yang dimasak, Insya-ALLAH ada kasih sayang sesama keluarga

IBARAT ‘sambil menyelam minum air’, bayangkan dengan berzikir ketika masak, kita akan dapat pahala berlipat ganda termasuk balasan baik bagi menjaga keluarga.

Berzikir di mana sahaja termasuk ketika memasak

Sehubungan itu, beliau galakkan para ibu untuk sentiasa membasahkan lidah dengan nama-nama ALLAH. Masakan tidak, walaupun amalan itu terlihat kecil, namun hakikatnya ada fadilat besar di sebalik perbuatan zikir.

Kata Sumah, zikir antara amalan mudah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Menurutnya, beliau gemar mengisi masa tatkala menyediakan juadah dengan melafazkan zikrullah, terutamanya zikir taubat nasuha.

Baca juga Ustazah Asma’ Harun Kongsi Kehebatan Zikir Fatimah

“Banyak amalan untuk kita memohon kemaafan kepada ALLAH SWT. Di samping kita masak atau buat sesuatu, (bacalah) ‘Astaghfirullah Rabbal Barroya, Astaghfirullah Minal Khotoya’ (zikir taubat nasuha).

“Kita buat sesuatu itu sambil berzikir. Membasahkan lidah dengan memperbanyakkan zikir kepada ALLAH SWT,” ujar beliau dalam suatu perkongsian bersama portal Islam, Syukran.com.

Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Para ibu, bacalah doa pada juadah yang dimasak, Insya-ALLAH ada kasih sayang sesama keluarga

MOGA-moga dengan menjamah juadah yang telah disisipkan nama-nama ALLAH, keluarga akan dititipkan pelbagai kebaikan.

Baca doa pada makanan yang dimasak

Selain itu, para ibu juga jangan mudah merungut ketika menyiapkan santapan buat keluarga, kata Ustazah Sumah.

Sebaliknya, bacalah doa sambil mengaup dan mengacau makanan yang dimasak supaya ada sifat kasih sayang dalam keluarga apabila juadah itu dijamah.

Baca juga Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

“Kalau kita menyiapkan makanan kepada keluarga, jangan rasa jemu (dan) merungut. Selain daripada itu (memasak), kita baca Bismillah, dengan nama ALLAH YANG MAHA PENGASIH, lagi MAHA PENYAYANG.

“Mudah-mudahan dalam masakan kita ini, apabila kita makan bersama keluarga, (akan) ada sifat kasih sayang antara satu sama lain,” jelasnya.

Baca juga Benarkah Membaca Surah Tertentu Bakal Peroleh Anak Yang Hebat, Lawa

Di samping itu, antara doa yang sering beliau lazimi dan boleh dijadikan amalan bagi golongan ibu di luar sana adalah ayat ke-200 daripada surah Ali Imran.

Titip Ustazah Sumah, “Saya juga ada baca surah Ali Imran, ayat 200. Mudah-mudahan (dengan membaca surah itu), ALLAH berikan keluarga itu sabar dan taqwa.”

Sumber: Ustazah Sumah Fadalee, Syukran.com

Foto: Hijabista & Pexels

Untitled design (7)
Jendela Dunia,

Jurutera Cipta Tudung PPE Mudahkan Wanita Muslim Bekerja Dalam Bidang Lasak

no comment

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

JIKA di Malaysia tudung sarung bukan satu perkara luar biasa untuk diceritakan atau dijadikan bahan berita, namunsenarionya berbeza di sesebuah negara yang bukan didominasi oleh penduduk Islam seperti di United Kingdom (UK).

Seorang jurutera kanan dari Birmingham, Aminah Shafiq mencuri tumpuan apabila mereka bentuk tudung PPE (Personal Protective Equipment) yang memudahkan wanita Muslim memakainya ketika berkerja dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan di negara itu.

“Saya harap ciptaan ini akan memberi inspirasi kepada wanita Islam yang menceburi bidang lasak seperti ini (kejuruteraan dan pembinaan) yang biasanya melibatkan kerja-kerja operasi,“ katanya kepada BBC News baru-baru ini.

Wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat yang menguruskan air, Severn Trent itu menambah, beliau memperoleh ilham untuk mereka hijab berkenaan ketika UK sedang melaksanakan sekatan pergerakan bagi seluruh penduduknya.

“Saya memikirkan tentang dua fakta iaitu bahawa topi keledar biasanya tidak muat untuk kepala saya ketika bekerja, begitu juga dengan material-material lain yang digunakan.

“Justeru, selepas melihat beberapa helai rekaan tudung sukan yang mempunyai aliran udara yang baik dan ‘terletak‘ pada kepala, saya rasakan kriteria itu memenuhi kehendak kami dalam sektor ini,“ katanya.

Seorang profesor di Universiti Warwick, Dr Freeha Azmat mengalu-alukan reka bentuk bersepadu tudung ciptaan Aminah.

“Biasanya apabila memakai tudung, kita memerlukan banyak pin, tetapi dengan tudung PPE Aminah, ia memberi banyak kelebihan kerana anda tidak perlu risau untuk melaraskan tudung,“ katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Nageen Fatima berkata, dengan adanya inovasi baharu tersebut, ia sedikit sebanyak membantu wanita Islam dan tidak mengehadkan mereka lagi untuk terbabit dalam apa jua profesion.

Prank
Isu,

Darah Haid Terputus-putus Dan Ini Yang Muslimah Perlu Tahu

no comment

SEGELINTIR wanita sering terganggu apabila berdepan situasi yang melibatkan sistem reproduktif terutamanya gangguan haid. Kerana itu, ramai Muslimah sering mengutarakan persoalan tentang haid kerana ragu-ragu tentang tempoh bersuci.

Menerusi kupasan soal jawab di laman sesawang Jabatan Mufti Terengganu berkenaan haid terputus-putus menjelaskan,
menurut Kitab al-Fiqh al-Manhaji haid pada bahasa ialah mengalir, manakala pada syarak pula haid ialah darah semula jadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.

Berdasarkan takrifan di atas, dapat difahami bahawa darah haid itu ialah darah yang keluar pada waktu yang normal dan dalam keadaan sihat.

Justeru, darah yang keluar bukan pada waktu kebiasaan yang normal dan akibat penyakit adalah bukan darah haid. Darah tersebut dianggap sebagai darah istihadah.

 

Solat dan puasa wanita tersebut pada dua hari dianggap suci itu adalah tidak sah dan perlu qada’ (ganti) puasanya.

Dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji, darah istihadah didefinisikan sebagai: “Darah istihadah ialah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai al-‘Azil.”

Dalam isu ini ada dua pendapat di dalam mazhab Syafie. Pendapat pertama iaitu pendapat yang muktamad, seluruh darah yang keluar dalam tempoh 15 hari adalah darah haid.

Maksud sehari semalam itu adalah 24 jam seperti yang disebut oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam kitabnya Manhaj al-Tullab: “Yakni kadar siang dan malam itu adalah 24 jam.”

Jika darah terhenti sebelum datang kembali beberapa hari kemudian, tempoh berhenti darah itu atau disebut tempoh naqa’ dianggap sebagai tempoh keluar darah haid mengikut pendapat yang muktamad.

Syarat darah yang terputus-putus itu keluar mestilah tidak melebihi 15 hari untuk dikira sebagai darah haid. Jika lebih, maka keseluruhan darah itu adalah darah fasid atau rosak dan bukan darah haid.

Berikut disebutkan semua syarat-syarat untuk menjadikan tempoh naqa’ ialah waktu haid:

– Masa naqa’ tidak melebihi 15 hari bersama dengan darah haid.
– Masa naqa’ itu mesti termasuk di dalam himpunan tempoh haid yang tidak kurang daripada sehari semalam.
-Masa naqa’ itu mesti lebih daripada fitrah yang adat. Fatrah ialah waktu darah tidak keluar tetapi jika dimasukkan kapas ke bahagian faraj akan ada kesan darah. Waktu fatrah adalah haid tanpa khilaf ulama.

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, solat dan puasa wanita tersebut pada dua hari dianggap suci itu adalah tidak sah dan perlu qada’ (ganti) puasanya.

Hal ini kerana wanita tersebut dalam keadaan berhaid kerana tidak cukup dalam tempoh 15 hari.

3 wanita
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti,

Hidayah Ramadan Saudara Baharu

no comment

Sudah masuk minggu kedua umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah puasa dengan kelaparan dan dahaga sudah mula menjadi kebiasaan.

Jelas kebahagian, kecerian dan kepuasannya mula terpancar di wajah umat Islam yang semakin berlumba-lumba mengejar keistimewaan Ramadan apatah lagi bulan al-Quran itu juga dianggap ‘pesta ibadah’ umat Islam.

Lebih bermakna Ramadan disambut saudara baharu dari beberapa negara yang seronok dikurniakan hidayah untuk berkongsi kebahagian dan kemanisan menjadi salah seorang umat Muhammad di bulan yang berkat ini.

Veronika Edali bahagia disamping suami dan anak tunggalnya sambut Ramadan di Auckland.

Veronika Edali, 25 dilahirkan di Rusia mula memeluk Islam pada usia 18 tahun selepas menetap di Auckland, New Zealand. Pada tahun 2010, ketika itu dia baru berusia 15 tahun telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke New Zealand bagi mengejar kehidupan yang lebih baik.

“Saya memeluk Islam pada tahun 2013 ketika berusia 18 setelah tiga tahun menetap di Auckland. Alhamdulillah, Ramadan tahun ini adalah yang ke-9 bagi saya menyambutnya di New Zealand yang dihuni minoriti mereka yang beragama Islam. Namun di Auckland, kami mempunyai komuniti Islam yang besar dan mempunyai banyak masjid di pinggir-pinggir bandar.

“Ketika saya mula tiba di Auckland, saya melihat masjid-masjid dipenuhi dengan orang yang menghadiri solat tarawih. Saya melihat suasana umat Islam yang terdiri daripada pelbagai negara mengunjungi rakan-rakan dan keluarga terdekat. Mereka solat bersama, iftar dan menyambut Aidilfitri bersama-sama di Eden Park. Persekitaran yang meriah dan ada pasar yang banyak dengan makanan dan gula-gula yang lazat.

“Saya melihat komuniti Islam di sini sangat ramah, berkasih sayang, bantu-membantu dan semua di antara mereka seperti saudara-mara terdekat membuatkan saya jatuh hati untuk bersama mereka. Itulah yang dirasai setiap kali menjelang Ramadan saya cukup teruja kerana menjadikan saya seperti hari ini. Ramadan bagi saya adalah tanda kesyukuran buat saya yang diberikan hidayah dan bersyukur di atas keputusan terbaik dalam hidup saya,” katanya.

Kata Veronika, sepanjang hidupnya sebagai muslim, dia merasai berpuasa pada musim bunga, musim sejuk dan musim luruh dan puasa terpanjang baginya hanyalah 12 jam saja berbanding dengan negara lain seperti Iceland yang terpaksa berpuasa sehingga 22 jam.

“Kami biasanya bangun pada pukul 5 pagi untuk sahur dan mula berpuasa pada jam 5.30 pagi serta berbuka puasa pada jam 5.30 petang. Cuaca sekarang sangat sejuk kerana kita menghampiri musim sejuk, oleh itu kita tidak terlalu panas atau haus sepanjang berpuasa. Ini akan berubah seiring Ramadan menjelang musim panas bagi kita dalam beberapa tahun.

Gadis Jepun, Nur Arisa Maryam bahagia sambut Ramadan di Kota London.

Bagi Nur Arisa Maryam seorang muslimah yang dilahirkan di Tokyo, Jepun dan kini menetap di London sering menafikan sebilangan orang berpendapat bahawa umat Islam di United Kingdom tidak menikmati Ramadan kerana ia bukan negara majoriti Islam adalah tidak benar.

“Alhamdulillah, London mempunyai jumlah penduduk Muslim yang ramai, di sini biasanya kita akan menjumpai ramai orang Islam, masjid dan restoran halal. Sebelum Ramadan, pasar raya di sini membuat penjualan Ramadan dan menghantarnya ke rumah-rumah supaya banyak orang dapat simpanan makanan Halal sebelum Ramadan bermula. Jadi di pasar raya mereka mempunyai bahagian untuk ‘Ramadan’ yang menjual makanan Halal, kurma dan lain-lain. Terdapat juga banyak masjid di mana kita boleh berbuka puasa dan solat tarawih.

“Ketika ini waktu untuk bersahur pada jam 3.45 pagi dan iftar pada jam 8.30 malam. Ramadan musim panas agak sukar di sini kerana kita tidak mempunyai banyak waktu antara Maghrib dan Subuh, adakalanya hanya 5 jam saja. Kebanyakkan muslim di sini akan berjaga sepanjang malam melakukan ibadah dan berdoa kerana kita hanya ada sedikit saja waktu untuk tidur. Namun Ramadan pada musim sejuk sangat mudah kerana waktu Maghrib sebelum jam 4 petang.

“Sepanjang Ramadan ini saya menghadiri kelas khas Ramadan di tempat saya belajar, mendengar kuliah agama, berdoa, membaca al-Quran, membaca buku-buku Islam, berehat dan menikmati juadah berbuka puasa.

“Manakala cabaran terbesar saya sepanjang bulan Ramadan adalah untuk menghabiskan bacaan al-Quran. Saya berusaha untuk memberi perhatian untuk khatam bacaan al-Quran dan mencari apa saja peluang masa yang ada untuk menghabiskannya. Selain itu, penting juga bagi saya untuk merancang puasa yang panjang agar dapat makan dengan sihat dan mengambil air secukupnya bagi menahan diri sepanjang waktu puasa.

Berbeza cabaran buat Candace yang menetap Selatan California, selepas tahun kedua berpuasa baginya semakin selesa berbanding apa yang dilaluinya sebelum ini selepas dua tahun bergelar muslimah.

Candace nekad belajar bahasa Arab sehingga dapat membaca dan menulis al-Quran.

“Ramadan pertama saya adalah tahun lalu dan ini adalah kali pertama saya pergi ke masjid dan bersolat secara berjemaah. Saya sangat gementar dan merasa malu untuk pergi buat pertama kalinya kerana bimbang saya akan melakukan sesuatu yang salah, agak menakutkan menjadi orang baru. Saya mahu bersolat Tarawih sepanjang bulan Ramadan ini dan saya merasa sangat gembira untuk menghabiskannya

“Tahun ini jauh berbeza kerana kita harus melakukan penjarakkan sosial dan karantina di rumah. Kini saya menjalani kehidupan sebagai muslim seperti biasa saja kerana tidak ada rakan atau keluarga saya yang beragama Islam dan tahu apa yang saya lakukan. Saya berpuasa secara rahsia kerana rakan sebilik saya tidak tahu bahawa saya beragama Islam, jadi saya menghabiskan sebahagian besar masa, berdiam diri di dalam bilik atau terus sibuk dengan tugasan belajar. Saya juga kini fokus untuk menghafal surah-surah baru dan 99 nama Allah SWT, membaca al-Quran dan mendengar kuliah Islam secara dalam talian. Saya sangat berterima kasih kepada Islam dan peluang kedua saya berpuasa Ramadan. Alhamdulillah.

“Ramadan pada musim sejuk hari-hari yang dilalui terasa agak pendek. Kami biasanya solat subuh sekitar jam 7 pagi dan solat Maghrib pada jam 5 petang. Kami kini menghampiri hari-hari yang lebih lama sepanjang Ramadan, jadi waktu suhur saya biasanya bermula sekitar 4 pagi dan berbuka puasa pada jam 8.10 malam. Amerika Syarikat ini negara yang besar, jadi waktunya juga berbeza dengan tempat-tempat lain.

“Kawasan yang saya tinggal adalah beriklim sub-Mediterranean, jadi kami selalu mengalami cuaca yang sangat sederhana, Alhamdulillah. Suhu biasanya berada di antara 50 hingga 80 Fahrenheit sepanjang tahun. Saya menyukainya kerana tidak ada cuaca yang melampau, menjadikan pemandangan sekitar cukup indah. Ini menyebabkan kita lebih mudah untuk berpuasa pada musim sejuk kerana harinya jauh lebih pendek, tetapi cuaca tidak banyak berubah menjadikan setiap hari hampir seperti musim panas.

“Saya suka solat bersendirian pada satu per tiga malam terakhir, selain membaca al-Quran selama kira-kira satu jam dan kemudian berdoa. Saya memberi tumpuan kepada pengajian Islam sepanjang hari, dan proses untuk belajar bahasa Arab sehingga saya dapat membaca dan menulis al-Quran suatu hari nanti.

wanita
Berita Semasa,

Ramai ingat suara wanita itu aurat, tapi sebenarnya…

RAMAI ingat suara wanita itu aurat, tapi sebenarnya…

“Awak tu perempuan, mana boleh cakap kuat-kuat. Suara wanitakan aurat.”

Demikian antara frasa yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeling. Ramai yang beranggapan suara wanita adalah aurat. Apatah lagi, jika suara itu lunak dan nyaring diperdengarkan kepada golongan yang bukan mahramnya.

Jika apa yang disuarakan itu melibatkan perbuatan yang lagha, sudah pasti tiada sesiapa yang akan menyangkalnya.

Baca juga Wanita ‘solo travel’ apakah hukumnya di sisi Islam?

Namun, apabila membabitkan kerja-kerja dakwah dan seumpama dengannya pula, bagaimana penilaiannya?

Adakah benar suara wanita sememangnya aurat? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Jom ikuti penjelasan pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman tentang perkara ini:

USTAZ MK AZMAN

Menurut pendapat jumhur ulama, suara wanita tidaklah dikira sebagai aurat. Ini kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari hukum-hukum agama.

Namun, mereka diharamkan mendengar suara yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Quran kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai isteri-isteri nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah al-Ahzab, ayat 32)

Ketika menafsirkan ayat berkenaan, Ibn Khatir berkata, firman ALLAH SWT tentang ayat ‘oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)’, kata Al-Sauddi dan selainnya; “Yang dimaksudkan adalah melembutkan kata-kata jika mereka berbicara dengan lelaki.”

Untuk itu, ALLAH SWT berfirman ‘yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)’, iaitu bermaksud niat buruk.

Baca juga Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga

Sementara itu, ayat ‘dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)’, jelas Ibn Zaid; “Kata-kata yang baik, bagus dan maaruf dalam kebaikan. Makna hal ini adalah bahawa wanita berbicara kepada kaum lelaki dengan kata-kata yang tidak mengandungi kelembutan. Ertinya, janganlah seorang wanita berbicara dengan kaum lelaki seperti berbicara dengan suaminya.”

Berdasarkan perbahasan di atas, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa suara wanita bukanlah aurat. Di samping itu, ramai tokoh wanita yang menjadi guru dan mengajar kepada anak muridnya bukan sahaja pada hari ini tetapi sejak berzaman lagi.

Dalam hal ini, suka untuk saya kongsikan pandangan Al-Alusi yang menyatakan: “Yang tersebut di dalam kitab-kitab fiqah Syafie, di mana aku sendiri cenderung kepada pendapat ini (suara bukan aurat) kecuali kalau dikhuatiri timbulnya fitnah.”

Baca juga Ada sebab mengapa wanita begitu dimuliakan dalam Islam, berikut perinciannya

Menurut ulama Mazhab Hanafi, pendapat yang rajih (sesuatu nas dan dalil daripada al-Quran) adalah suara wanita bukan aurat.

Patuhi syarat tertentu

Meskipun suara kaum Hawa bukan aurat, namun ia tidaklah boleh dipandang remeh. Masih ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi seandainya mereka mahu menyanyi umpamanya.

Tidak boleh sewenangnya-wenangnya mereka mengalunkan nyanyian tanpa menepati perkara ini. Antaranya menjaga adab-adab iaitu menutup aurat, tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah, tidak bersolek dan wajib berpakaian sempurna seperti yang dituntut ke atas wanita Muslimah.

Suara wanita aurat

GURU wanita dibolehkan untuk menggunakan untuk mengajar para pelajar dan masyarakat awam.

Kedua, perlu dipastikan juga suasana majlis sebelum menyanyikan lagu iaitu tiada percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Paling signifikan, persembahan yang ingin dilakukan itu mestilah atas tujuan untuk berdakwah dan menanam kesedaran Islam seperti diadakan tazkirah atau zikir kepada ALLAH, bukan untuk berhibur semata-mata.

Baca juga Apakah sebenar hukum wanita mewarnakan kuku menurut Islam?

Seandainya tempat, suasana dan tujuan persembahan itu menepati syarat yang digariskan oleh syarak, gunakan peluang itu sebaiknya. Jadikan platform berkenaan untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang agama Islam yang syumul.

Bagaimana pula suara wanita yang menyertai pertandingan tilawah al-Quran? Menjawab kepada persoalan itu, hukumnya adalah haram berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan. Namun begitu, di sisi Imam Syafie, ia diharuskan jika tidak menimbulkan fitnah.

Bagi wanita yang menggunakan suaranya dalam majlis ilmu, usahlah risau kerana hukumnya adalah harus. Tiada halangan untuk mereka bertanyakan soalan sekalipun kepada guru lelaki.

Bukan itu sahaja, guru wanita juga boleh menggunakan suaranya untuk mengajar masyarakat awam. Lazimnya, guru-guru dan pelajar-pelajar wanita tidak menggunakan suara yang merdu atau lemah lembut sehingga menimbulkan kegusaran pada hati orang lelaki ketika itu.

Baca juga [VIDEO] Wanita berhadas besar tak boleh masuk ke masjid walaupun untuk menimba ilmu dalam majlis agama

Kepada mereka yang selama ini keliru, sekali lagi ditegaskan bahawa suara wanita bukanlah aurat kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu. Misalnya, jika wanita berkenaan melunakkan suaranya dengan lelaki ajnabi yang bukan suaminya sehingga mendatangkan rasa ghairah dan seronok pada jiwa mereka, ia tidak dibenarkan sama sekali.

Diharapkan penjelasan daripada Ustaz Mohd Khairul Azman itu dapat meleraikan segala kekeliruan masyarakat sebelum ini.

Penulis: Pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud 

Foto: 123rf & Unsplash