BAGI pelarian Syria, musim sejuk seumpama mereka ‘berperang’ antara hidup dan mati. Kedinginan yang dirasai begitu mencengkam sehingga ke tulang-temulang.
Buktinya, lihat sahaja pada angka yang maut akibat kesejukan. Pada 2 Februari lalu, media tempatan dan antabangsa melaporkan, dua orang bayi mati kesejukan akibat suhu melampau dan salji lebat melanda kem pelarian di barat Laut Syria.
Pada tahun 2018 pula, dilaporkan 17 pelarian Syria menemui ajal akibat cuaca terlalu sejuk ketika melarikan diri ke Lubnan.
Demikian begitu tragiknya kelompok berkenaan untuk meneruskan kehidupan mereka dalam musim dingin andai tiada bantuan dihulurkan.
Ketua Pegawai Operasi Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Ustaz Hasbullah Najib yang terlibat hampir 10 tahun dalam misi bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara berkongsi pengalamannya pada Majlis Syria, Kami Datang 7.0 di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu.
Jelas beliau, begitu kritikalnya musim suhu rendah di sana apabila pelarian Syria yang berada di kem-kem tidak bertanyakan tentang makanan apabila bantuan tiba, sebaliknya mereka lebih mementingkan diesel.
“Ini kerana bahan bakar itu menjadi salah satu barang penting untuk mereka berdepan kegetiran cuaca sejuk.
Baca juga Bantu segera, berjuta sedang sengsara di Syria
“Sejuknya di sana macam mencucuk-cucuk kepala, survival antara hidup dan mati. Jika kita tidak menghulur bantuan, akan ada keluarga yang mati kesejukan,” katanya ketika sesi Mari Bercakap Tentang Syria (Let’s Talk About Syria) dalam majlis di Kuala Lumpur.
Lantaran itu, MVM menjalin kerjasama dengan Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) melancarkan bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria di Jordan yang bermula Januari 2023 yang menyasarkan kutipan RM500,000 untuk misi kali ini.
Ia melibatkan projek jangka pendek dan panjang. Untuk misi jangka pendek bantuan akan disalurkan bermula 12 Januari depan sebelum kembali semula ke Malaysia tujuh hari kemudian.
Pemberian membabitkan bantuan kecemasan musim sejuk seperti baju sejuk, stoking, pek makanan, masakan panas, selimut tebal dan alat pemanas bersama tong gas, selain alat tulis dan permainan kanak-kanak.
Projek jangka panjang menyusul lima atau enam bulan kemudian yang merangkumi kelas pendidikan, kesihatan mental dan fizikal serta pembinaan tandas dan tangki air.
Misi anjuran MVM itu bakal menampilkan usahawan dan selebriti, Nana Mahazan selaku ikon pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut yang bakal mengikuti projek berkenaan.
Pemilik nama lengkap Nurul Hana Che Mahazan itu berkata, dirinya tidak pernah terfikir bakal terpilih untuk mengikuti misi dianggapnya begitu besar sehingga beliau dilihat mengalirkan air mata ketika sesi perkongsiannya dalam majlis berkenaan.
“Sejujurnya, saya sangat tersentuh kerana diberi peluang menjadi sebahagian dalam misi ini. Saya selalu fikir, saya terlalu kerdil dan bukan sesiapa, tetapi diberi kesempatan begitu berharga untuk memberikan impak yang lebih baik, insya-ALLAH.
“Terasa sebak sebab saya insan terpilih untuk pergi. Saya terfikir, apa yang saya buat sehinggakan ALLAH memberikan kebaikan dan keberkatan-NYA membuatkan saya terpilih (mengagihkan sumbangan kepada pelarian Syria),” ungkapnya yang dilantik menjadi ikon MVM sejak awal tahun ini.
Baca juga Realiti pahit yang terpaksa ditelan rakyat Syria
Peluang keemasan itu tidak akan disia-siakannya apatah lagi suaminya, Mohamed Raqeem Brian Abdullah turut memberikan lampu hijau.
Nana begitu mengharapkan agar beliau mampu membawa ‘rasa’ daripada misi berkenaan kepada masyarakat supaya lebih ramai sudi menghantarkan sumbangan.
“Ada banyak sebenarnya bantuan-bantuan yang terpaksa dihentikan kerana kekangan dana. Mungkin orang tidak menyumbang sebab mereka tidak peduli atau tidak tahu.
“Jadi saya hendak bawa ‘rasa’ itu dan cerita mereka di sini,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menyumbang, layari laman web MVM untuk maklumat lanjut.