Browsing Tag

mufti selangor

Ibadah dilakukan diterima
Isu,

Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

KOS untuk menunaikan ibadah umrah melambung sejak akhir tahun lalu. Semuanya gara-gara kenaikan mendadak harga penginapan hotel di Makkah dan Madinah. Begitu juga dengan nilai tiket penerbangan yang menunjukkan trend sama.

Sudah tentulah segala angka tersebut diterjemahkan dalam kos umrah. Ia sekali gus menyebabkan pakej mengerjakan ibadah berkenaan semakin melambung.

Lantaran itu, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) baru-baru ini memutuskan, harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula daripada RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP pula RM14,000.

Perkhabaran itu menyebabkan ramai mengeluh lebih-lebih lagi mereka yang berhasrat untuk menunaikan ibadah berkenaan dalam tempoh terdekat.

Apatah lagi memikirkan diri mungkin tidak sempat untuk menunaikan Rukun Islam kelima memandangkan perlu menunggu tempoh giliran yang begitu panjang mencecah 130 tahun!

Maka ibadah umrah menjadi keutamaan untuk mereka menjejakkan kaki ke Baitullah, di samping kosnya yang lebih rendah berbanding melaksanakan haji.

Baca juga Ketahui kelebihan amalan tawaf di hadapan Baitullah ketika musim umrah atau haji

Sebagaimana ibadah haji, adakah faktor kemampuan turut diambil kira untuk seseorang itu mengerjakan umrah? Bolehkah berhutang semata-mata untuk merealisasikan keinginanan beribadah di Tanah Suci itu?

Sekali seumur hidup

Bagi mengupas tentang kemampuan individu menunaikan umrah, Sinar Islam Plus mendapatkan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

DR ANHAR

Beliau memulakan bicaranya dengan menyentuh perihal hukum mengerjakannya.

Jelas beliau, ibadah umrah wajib bagi mereka yang berkemampuan sekali dalam seumur hidup.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana ALLAH…” (Surah al-Baqarah, ayat 196)

“Sebahagian para ulama tafsir seperti Imam Fakhruddin al-Razi (606 Hijrah) menyatakan, ayat itu menjadi dalil kewajipan umrah,” katanya.

Agamawan itu menjelaskan, kemampuan yang dimaksudkan tersebut sama sepertimana apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji.

Mudah kata, individu berkenaan mampu menunaikan fardu haji sama ada dengan usaha dan ikhtiar sendiri atau menerusi pertolongan orang lain, ungkapnya.

Baca juga Sembahyang di masjid Quba’ sama pahalanya seperti mengerjakan umrah

“Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan.

“Bahkan, aspek tersebut turut diambil kira dalam mengerjakan ibadah umrah juga kerana tempat yang dituju adalah sama dengan Rukun Islam kelima,” terangnya panjang lebar.

Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-NYA.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 97)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji?” Baginda bersabda: “Ada bekalan dan kenderaan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Berhutang demi tunai umrah

Bolehkah kita berhutang semata-mata untuk mengerjakan umrah?

Menjawab tanda tanya itu, Dr Anhar yang juga Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA kemudian merujuk keputusan yang ditetapkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkaitan Hukum Skim Pinjaman Wang/Pembiayaan daripada Koperasi dan Seumpamanya untuk menunaikan fardu haji atau umrah.

Ibadah umrah

DIHARUSKAN berhutang untuk mengerjakan haji atau umrah jika mampu membayar semula liabiliti tersebut dan skim pinjaman berkenaan mestilah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, taawun, adil dan telus dalam operasinya selain bebas daripada unsur riba. -Foto: Bernama

Dalam hal itu, kata beliau, seseorang diharuskan berhutang waima untuk mengerjakan haji atau umrah andai mampu membayar semula liabiliti berkenaan dan tidak menjejaskan kehidupan normalnya.

“Seperkara lagi, skim pinjaman tersebut mestilah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, taawun, adil dan telus dalam operasinya di samping bebas daripada unsur riba,” ujar beliau.

Baca juga Ada kemusykilan ketika tunaikan umrah, robot di Masjidil Haram boleh jawab soalan para jemaah dalam 11 bahasa

Kepada bakal jemaah dan pengendali pakej umrah yang terkesan dengan kenaikan kos umrah akibat pelbagai faktor, Dr Anhar menitipkan pesanan bernilai buat mereka.

“Para pengusaha agensi umrah dan haji perlu berbincang serta berterus terang dengan pelanggan agar kenaikan yang dikenakan adalah munasabah dan tidak keterlaluan.

“Bagi para pelanggan yang kurang berkemampuan untuk menanggung kos tambahan pula boleh membuat pilihan sama ada untuk menagguhkan sementara waktu hasrat menunaikan umrah.

“Satu lagi pilihan adalah dengan mencari jalan yang diharuskan oleh syarak untuk menampung kekurangan perbelanjaan bagi mengerjakan ibadah berkenaan,” ungkapnya.