Browsing Tag

muflis

Diisytihar bankrap
Berita Semasa,

Walaupun diisytihar bankrap, tetap wajib bayar zakat fitrah

Walaupun diisytihar bankrap, tetap wajib bayar zakat fitrah

MUNGKIN ada dalam kalangan kita yang diisytiharkan bankrap oleh mahkamah. Meskipun demikian, kehidupan masih tetap perlu diteruskan.

Ya, siapa lagi yang akan menyara kita jika bukan diri sendiri, bukan? Mahu atau tidak, perut sendiri hendak diisi juga walaupun harta yang tersisa selepas muflis tidak seberapa atau tiada langsung.

Ketahuilah bahawa kelompok yang bankrap juga wajib mengeluarkan zakat fitrah ke atas dirinya atau tanggungannya.

Itu pun andai mereka memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi pada malam dan pagi hari raya.

Demikian fakta yang dikemukakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadan Siri ke-240: Adakah Orang Muflis Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah.

Baca juga Ini kadar zakat fitrah setiap negeri pada tahun 2023

Seandainya orang yang muflis itu tidak mempunyai sumber pendapatan lain mahupun harta, artikel tersebut menyebut, dirinya tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah.

“Bahkan, dia berhak menerima zakat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Diisytihar bankrap

JIKA seseorang yang bankrap tadi tidak mempunyai harta yang cukup untuk menampung keperluan makanan asasi pada malam dan pagi hari raya, maka tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah. -Foto: Bernama

Hujah yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu mempunyai asasnya yang turut membuat rujukan tentang maksud muflis dan apa yang boleh dilakukan oleh golongan berkenaan.

Jelas pejabat mufti berkenaan, muflis bermaksud mereka yang tidak mampu membayar hutang atau bankrap.

“Oleh sebab itu, pemerintah telah mengisytiharkan mereka sebagai bankrap atau muflis. Malah, mereka juga dilarang daripada menggunakan harta masing-masing.

Baca juga Zakat fitrah, di rumah atau di tempat kerja?

“Begitupun, dalam konteks Kerajaan Malaysia, seseorang yang bankrap hanya tidak dibenarkan bekerja dalam profesion tertentu seperti peguam, akauntan dan seumpamanya.

“Bagaimanapun, mereka masih boleh bekerja atau meneruskan pekerjaan yang dibenarkan oleh pihak autoriti,” katanya.

Berdasarkan fakta berkenaan, jelaslah bahawa muflis ialah mereka yang berhutang dan liabilitinya itu pula melebihi harta dimiliki.

Diisytihar bankrap

MUFLIS ialah mereka yang tidak mampu membayar hutang dan dilarang daripada menggunakan harta masing-masing, tetapi individu berkenaan masih boleh bekerja atau meneruskan pekerjaan yang dibenarkan oleh pihak autoriti. -Foto: Unsplash

“Golongan itu berkemungkinan memiliki pekerjaan, bahkan harta. Malaha mungkin juga mereka ini tidak termasuk dalam golongan yang susah.

Baca juga Meninggal dunia pada Ramadan masih wajib bayar zakat fitrah, tapi siapa yang perlu bertanggungjawab?

“Lantaran itu, mereka yang muflis atau bankrap wajib juga mengeluarkan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya iaitu Islam, berkesempatan hidup selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadan dan memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi untuk diri dan tanggungan pada pada hari raya serta siangnya.

“Jika keadaan sebaliknya pula, tidak diwajibkan untuk mereka mengeluarkan zakat fitrah,” terangnya.