Browsing Tag

MTHQA

QAYYIM
Personaliti,

Qayyim terus kekalkan momentum belajar ilmu taranum al-Quran

DI sebalik kekurangan yang dimiliki, siapa sangka pemuda ini mampu merangkul gelaran juara pada Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa Johan Qari Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1445H/2023M (MTHQA) Ke-63.

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, berasal dari Kelantan itu berjaya menewaskan pencabar lain selepas memperoleh markah sebanyak 94.96 peratus.

Berkongsi perasaanya ketika dihubungi Sinar Islam plus, dia memaklumkan sangat gembira dan bersyukur kerana tidak menyangka akan bergelar johan qari MTHQA.

Baca Juga Qayyim OKU penglihatan masih berbisa di pentas tilawah al-Quran

Katanya, selepas kemenangan tempoh hari, dia tidak akan berhenti untuk terus belajar dan menggali ilmu al-Quran dan taranum ini kerana ilmu ini sangat luas.

Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Tahfiz, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri itu turut berkongsi untuk pandai dalam bidang al-Quran ini perlu banyakkan berguru.

“Saya telah belajar al-Quran dengan empat orang guru iaitu Ustaz Fauzi Awang, Ustaz Abdul Rahim Ahmad, Ustaz Husin Yunus dan kini berada sepenuhnya di bawah bimbingan Ustaz Yahya Daud,” ujarnya.

MUHAMMAD Qayyim Nizar Sarimi (kiri) dinobat johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1445H/2023M dan Ayahnya Encik Sarimi Yusoff. – NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, bapa kepada Qayyim, Sarimi Yusoff, 58, menyatakan yang dia sangat berbangga dengan pencapaian Qayyim, setiap pengorbanan yang dilakukan berbaloi mengikut usaha kerasnya itu.

“Segala penat lelah itu berbayar walaupun hanya mendapat sokongan daripada ahli keluarga,” katanya.

Demi melihat sosok tubuh anaknya yang istimewa berjaya , Sarimi dan keluarga sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghadiri setiap pertandingan yang dianjurkan.

Artikel Berkaitan 

Menurut Sarimi, dia bersemangat membantu Qayyim kerana sejak berumur enam tahun lagi, anaknya itu sudah menunjukkan minat terhadap al-Quran dan mula menelaah pembelajaran dengan bersungguh.

“Dia senang diajar sebab itulah tuan gurunya selalu memberikan perumpamaan seperti mesin fotostat, kerana setiap apa yang diajar itulah yang diturutnya.

“Itulah antara anugerah ALLAH SWT kepada Qayyim dengan kerajinan serta istiqamah,” ujarnya.

Selain mendalami ilmu al-Quran, Qayyim juga mempunyai kelebihan dalam bidang muzik.

Sarimi berkata, anaknya itu mempunyai kelebihan bermain ‘keyboard’ serta peralatan tradisional lain.

MUHAMMAD QAYYIM NIZAR

Belajar al-Quran Braille satu cabaran buat Qayyim

Apa yang menarik perhatian ramai pada MTHQ kali ini apabila Qayyim mencatat sejarah lembaran baharu menjadi satu-satunya wakil menggunakan al-Quran Braille.

Bertanya mengenai cabaran beliau dalam mempelajari al-Quran Braile adalah kesukaran untuk mengenali kod dan titik dalam al-Quran Braille yang tiada hukum tajwid seperti mushaf biasa.

Turut Disyorkan Isu konsert Port Fest 2023, Ustazah Asma’ gesa garis panduan hiburan dikawal

“Saya perlu belajar dan mengingati hukum tajwid disebabkan dalam al-Quran Braille tiada hukum tajwid seperti al-Quran biasa yang mempunyai tanda waqaf ibtida, hukum tajwid berwarna merah, hijau dan biru dan lain-lain.
“Dalam al-Quran Braille juga tidak mempunyai hukum tajwid seperti tanwin dan waqaf. Kalau ada pun tidak banyak jadi kita itu perlu belajar, ingat dan hafal tentang hukum-hukum tajwid itu.” katanya.

Titip Qayyim terutama kepada anak muda di luar sana, dalam mengaji al-Quran perkara utama yang perlu diterapkan dalam diri adalah kesungguhan dan istiqamah kerana tanpa kedua perkara tersebut, seseorang tidak akan mencapai matlamat dalam belajar al-Quran.

 

Qari OKU
Berita Semasa,

Qari OKU wakili Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa

QARI orang kurang upaya (OKU) dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi bersama tiga lagi peserta bakal mewakili negara dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 Tahun 1145 Hijrah/2023 Masihi yang berlangsung pada 19 hingga 24 Ogos ini.

Muhammad Qayyim Nizar yang juga johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M bakal menyertai majlis tilawah bersama dengan Nor Hidayah Abd Rahman, qariah dari Terengganu.

Baca juga Hilang penglihatan bukan halangan Qayyim jadi juara

Sementara itu, acara hafazan menyaksikan Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dari Johor dan Dian Karisma Mohd Japar (Sabah) akan menyaingi peserta dari negara lain dalam majlis yang diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur nanti.

Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, acara tersebut bakal menampilkan 76 peserta keseluruhannya dari 52 buah negara.

Qari OKU

DR MOHD NA’IM -Foto: Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im

Katanya, mereka bakal diadili seramai 20 orang hakim dari pelbagai negara. 

“Semua peserta itu telah melalui sesi ujian saringan yang diadakan pada Mei dan Julai lalu, masing-masing di Terengganu serta Melaka,” katanya dalam satu kenyataan sempena sidang media majlis pra pelancarannya di ibu negara pada Selasa.

Jelas beliau, Malaysia sememangnya terkenal dengan penganjuran MTHQA sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sejak dianjurkan buat pertama kalinya pada 8 Mac 1960.

Malah katanya, negara pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize of Holy Quran.

Baca juga Malaysia johan qariah, naib johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022

“Penganjuran acara tahunan oleh Kerajaan Malaysia ini adalah sebagai manifestasi bagi menzahirkan komitmen pihak kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca al-Quran dan memahami inti patinya serta mengaplikasikan tuntutan serta larangan Yang MAHA ESA dalam amalan kehidupan kita,” ujarnya.

Qari OKU

PADA majlis pra pelancaran MTHQA itu, YaPEIM memberikan sumbangan tajaan emas kepada johan qari dan qariah masing-masing bagi kategori tilawah serta hafazan. -Foto: Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im

Majlis perasmian MTHQA ke-63 bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Ogos ini, jam 8.45 malam.

Pada 24 Ogos ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat untuk perasmian penutupan dan pengurniaan hadiah kepada para pemenang.

Selain tunai daripada kerajaan, johan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan bakal menerima tajaan emas oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu boleh disaksikan secara langsung menerusi RTM 1 bermula dari jam 8.45 malam hingga 11.30 untuk kategori tilawah dan TV AlHijrah bagi acara hafazan (9 pagi hingga 12 tengah hari).