Browsing Tag

minta izin

Selongkar barang orang
Gaya Hidup,

Tak boleh selongkar barang orang tanpa izin

KECOH tentang isu selongkar barang orang tanpa izin di media sosial baru-baru ini. Semuanya gara-gara video konten yang memaparkan seorang guru menggeledah beg milik pelajarnya ketika ketiadaan mereka.

Bertubi-tubi ‘serangan’ warganet membuat teguran terhadap warga pendidik berkenaan. Kesal dengan tindakannya itu, guru berkenaan sudah menarik balik konten tersebut 20 minit kemudian.

Malah, cikgu itu juga sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka susulan tindakannya memuat naik konten tersebut.

Itu bukanlah kes yang pertama kita pernah lihat. Rasanya perbuatan selongkar barang orang tanpa izin seakan dinormalisasi dalam kehidupan kita tanpa disedari.

Baca juga Curi atau terambil barang orang tanpa izin, apa perlu kita buat

Contoh paling mudah, kita ambil dan guna pen rakan tanpa izinnya. Walaupun ia sudah dipulangkan semula ke tempat asal, tetapi adakalanya dan boleh dikatakan hampir selalu kita terlupa untuk memberitahunya.

Meskipun nampak remeh dan hanya perkara kecil, tetapi perilaku tersebut sebenarnya tidak bagus. Andai sememangnya kawan tadi pernah memberi izin atau reda orang lain menggunakan barangnya bila-bila masa, tidak mengapalah.

Selongkar barang orang

MINTA izinlah terlebih dahulu jika ingin selongkar barang orang termasuk membaca surat peribadi mereka. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Ketahuilah bahawa kita memerlukan keizinan untuk memanfaatkan barang milik orang lain.

Mudah kata, tidak boleh selongkar barang orang tanpa izin pemiliknya!

Demikianlah aturan dalam Islam sehingga kita tidak boleh semberono mencabuli hak milik orang lain.

Menurut portal Rumaysho, para ulama juga mengemukakan kaedah dalam bab fiqh ketika membahaskan tentang ghosob (harta curi) iaitu ‘Tidak boleh seseorang mengambil keuntungan daripada harta orang lain tanpa izinnya’.

Baca juga Tuan rumah guna wang deposit penyewa tanpa izin, ini hukumnya yang wajib kita tahu

Keizinan yang dimaksudkan itu datang dalam dua bentuk iaitu:

i. Kebenaran secara langsung.

ii. Kebenaran tidak langsung (dalalah) misalnya dengan uruf (kebiasaan).

Perkara itu boleh difahami tanpa sebarang kebenaran lisan atau persetujuan pemilik kerana sememangnya dalam pengetahuannya.

Bagi memudahkan kita memahaminya, Rumaysho.com memberi beberapa contoh situasi. Berikut perinciannya:

– Jangan masuk ke dalam rumah atau kebun seseorang tanpa keizinan tuannya.

– Dalam akad mudarabah, jika pengurus diberikan syarat oleh pemodal untuk menjalankan perniagaan di tempat tertentu atau menjual barang ditetapkan, atau ditentukan sekian waktu, sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka dia telah menggunakan sesuatu tanpa kebenaran.

Selongkar barang orang

USAH semberono selongkar barang orang tanpa izin kerana ia merupakan aturan dalam Islam yang mengajar kita supaya mencabuli hak milik orang lain. -Foto: Freepik

– Andai seseorang diamanahkan dengan sejumlah wang, kemudian dia menggunakannya tanpa izin orang yang menyimpannya. Jika berlaku kehilangan, individu tadi perlu membayar ganti rugi kerana dia telah memanfaatkan barang tanpa izin.

– Sekiranya ada suatu jalan khusus yang dilarang untuk kita lalui, kemudian kita sengaja membuka pintunya tanpa izin pemilik, itu dikira telah memanfaatkan milik orang lain tanpa izin.

Baca juga Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui

– Jika seseorang mengetahui keadaan rakannya bahawa dia sentiasa reda jika sesuatu kepunyaannya diambil dan digunakan tanpa izinnya. Ini termasuk dalam jenis keizinan kedua yang disebutkan tadi.

– Satu lagi contoh situasi kebenaran tidak langsung adalah apabila orang yang diamanahkan dengan wang, kemudian dia meminjam duit itu dan dirinya tahu bahawa pemilik wang reda apalagi dia juga seorang yang amanah, maka ia boleh sahaja dimanfaatkan. Bagaimanapun, jika kita waswas sama ada pemiliknya reda atau tidak, maka ia tidak boleh digunakan sama sekali.

Bukan sahaja dengan saudara mahupun handai taulan, pasangan suami isteri pun ada hak privasi masing-masing.

Baca juga Jangan mencari kesalahan orang lain. Sifat berburuk sangka hanya membawa jalan menuju dosa dan fitnah!

Meskipun hubungan mereka sudah halal, tetapi ia bukan tiket menghalalkan semua perkara untuk dilakukan oleh suami terhadap isterinya. Begitu juga sebaliknya.

Selongkar barang orang

MESKIPUN suami isteri, tetapi ia bukan tiket menghalalkan semua perkara untuk dilakukan oleh suami terhadap isterinya. dan sebaliknya. -Foto: Canva

“Masih ada lagi perkara-perkara yang perlu dijaga dan tidak dibenarkan untuk dilakukan dalam situasi-situasi tertentu.

“Contohnya melakukan hubungan seks melalui dubur (liwat), seks semasa haid dan seumpamanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi blog ustazlove.com.

Blog berkenaan menjelaskan, perbuatan mengintip atau menceroboh hak seseorang itu hukumnya adalah haram.

Ia sebagaimana dinyatakan jelas oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH penerima taubat, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Baca juga ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

Berdasarkan kalamullah itu, jelaslah bahawa perbuatan mengintip, menyelongkar dan sebarang perilaku yang dilakukan bukan haknya adalah dilarang sama sekali.

“Ini termasuklah perbuatan seorang sahabat menyelongkar lokar sahabatnya atau tindakan seseorang membuka surat peribadi mahupun membaca mesej inbox kepunyaan orang lain tanpa izin mereka dan sebagainya.

“Perilaku itu dikira suatu pencerobohan terhadap privasi seseorang,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Freepik