Browsing Tag

Menyesal

Menyesal
Gaya Hidup,

Biar kesal di dunia, jangan jadi 5 golongan menyesal pada hari kiamat nanti

KALIMAH menyesal dan bermuhasabah diri kerap kali dituturkan. Dengarlah mana-mana ceramah agama mahupun artikel kerohanian, dua perkataan itu seakan wajib diungkapkan.

Mengertilah, sifat kesal itulah yang akan membawa kita lebih hampir kepada ALLAH SWT. Biar berulang kali disebut, jangan sampai kita tiada langsung pesanan hingga akhirnya kita menyesal apabila tibanya hari perhitungan di akhirat kelak.

Istilah menyesal bukan sahaja wujud di dunia. Ketahuilah bahawa sifat seperti itu akan turut dirasai oleh kelompok tertentu pada hari kiamat nanti.

Baca juga Kenali golongan yang muflis di akhirat… Jangan sesekali menjerumuskan diri

Ia sebagaimana yang dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi hantaran di Facebook miliknya dan portal berita liputan6.com.

DR AHMAD SANUSI

Menerusi dua sumber berkenaan, Sinar Islam Plus menyenaraikan lima golongan menyesal pada hari kiamat yang disebutkan dalam al-Quran.

Perinciannya adalah seperti berikut:

1. Menyesal kerana tidak taat kepada ALLAH dan rasul-NYA.

Baca juga Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

ALLAH SWT berfirman: “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada ALLAH serta taat kepada rasul ALLAH.” (Surah al-Ahzab, ayat 66)

Sebagai seorang hamba, berusahalah untuk menjadi insan yang taat dan patuh kepada YANG MAHA ESA. Usah sesekali melanggar larangan-NYA.

2. Menyesal kerana tidak mengikuti rasul.

Firman ALLAH SWT: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama rasul.” (Surah al-Furqan, ayat 27)

Nabi Muhammad SAW sememangnya menjadi contoh teladan yang baik bagi seluruh umat manusia. Baginda berakhlak al-Quran, malah menyediakan panduan dan bimbingan buat kehidupan Muslim.

3. Menyesal sebab tidak beramal.

Baca juga Hilangnya amal ketika lidah dirajai nafsu

Firman ALLAH SWT: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini).” (Surah al-Fajr, ayat 24)

Menyesal

BERAMALLAH sebanyaknya untuk mengumpul menuai ladang pahala pada hari akhirat kelak dan tidak menjadi individu yang menyesal di alam yang kekal abadi nanti. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Jadi apabila orang berpesan kepada kita supaya banyakkan amalan kebaikan, usah mudah berasa bosan. Tidak mengapa kita saling mengingat antara satu sama lain. Siapa tahu, ada hati yang akan ‘terjentik’ untuk melakukannya dan berubah satu hari nanti.

4. Menyesal kerana salah pilih rakan.

Baca juga Hati-hati pilih kawan. Jangan sampai tersilap langkah

Dalam Surah al-Furqan, ayat 28, ALLAH SWT berfirman: “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib.”

Sebab itulah pentingnya memilih lingkungan seputar sahabat yang baik. Biarlah teman yang dipilih itu melorongkan kita ke arah kebaikan, bukan menjauhkan diri daripada Sang Pencipta!

5. Orang kafir.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMI telah mengingatkan kamu (orang kafir) azab yang hampir, pada hari manusia melihat apa yang telah dilakukan oleh kedua belah tangannya, lalu orang kafir berkata, “Alangkah baiknya jika dahulu aku menjadi tanah”.” (Surah an-Naba’, ayat 40)

Justeru, sama-samalah kita beringat agar tidak menyesal pada kemudian hari.

Sesuailah benarlah dengan peribahasa ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna’.

Usah pula kita membiarkan diri berkata nanti, sedangkan rumah sudah membuka pintu seluas-luasnya untuk kita pergi dan alam barzakh pula memanggil-manggil penghuninya.