Browsing Tag

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi
Berita Semasa,

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi kagum dengan ilmu dan pembawaan nilai jemaah haji Malaysia

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah melahirkan rasa kagum dengan ilmu dan pembawaan nilai yang ada pada jemaah haji Malaysia.

Perkara itu disuarakan beliau ketika mengikuti lawatan dan mendengar taklimat bagi memahami dengan lebih lanjut tentang operasi haji di negara ini di Pusat Konvensyen Movenpick Sepang pada Ahad.

Ketika ditemui media pada acara berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengharapkan hubungan baik sedia ada di antara Malaysia dan Arab Saudi dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

“Kita harapkan segala urusan yang melibatkan jemaah haji kita dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan dipermudahkan.

Baca juga Kuota haji Malaysia kembali penuh, 31,600 jemaah boleh tunaikan Rukun Islam kelima tahun ini

“Dr Tawfiq Fauzan (dalam lawatan) berjanji untuk memberikan bantuan sebaiknya, menambah baik bentuk sokongan yang telah diberikan sebelum ini dan akan diteruskan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan (dua, kanan)) bersama Dr Mohd Na’im (dua, kiri) ketika mengikuti lawatan kerja meninjau pengendalian siri Kursus Asas Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada Ahad. -Foto: Facebook Dato’ Setia Dr Na’im

Pada hari sama, Dr Tawfiq Fauzan turut mengikuti lawatan kerja meninjau pengendalian siri Kursus Asas Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Lawatan di Masjid Negeri turut disertai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Duta Arab Saudi di Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

TH sebelum ini pernah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi apabila merangkul Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi.

Baca juga Tabung Haji rangkul anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam

Pada sesi lawatan di Masjid Negeri, Dr Mohd Na’im dalam satu kenyataan menjelaskan, Dr Tawfiq Fauzi bersama delegasinya telah diberikan taklimat berkaitan operasi dan pengendalian kursus asas haji yang berlangsung di seluruh negara.

“Ini adalah usaha TH untuk memastikan bakal jemaah haji diberikan pengisian ilmu supaya dapat melaksanakan Rukun Islam kelima dengan ilmu dan kefahaman.

“Kursus ibadah haji merangkumi pelbagai aspek hukum-hakam, tatacara termasuk penjagaan kebersihan kendiri dan sebagainya,” katanya.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi

KERAJAAN Arab Saudi tidak menetapkan jumlah tertentu untuk para jemaah menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci. -Foto: Pexels

Memetik laporan portal Saudi Gazette, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tidak menetapkan jumlah tertentu untuk para jemaah menunaikan ibadah umrah.

“Bagaimanapun, mereka wajib mematuhi arahan untuk mengambil janji temu pada masa tertentu untuk menunaikan haji,” katanya pada Ahad.

Di samping itu, kementerian tersebut menegaskan, mereka yang tiba di Arab Saudi atas kapasiti lawatan, pelancong atau visa kerja boleh menunaikna umrah.

“Jemaah haji juga boleh menukar pengangkutan yang digunakan untuk kedatangannya semasa semasa berangkat dari negara berkenaan.

“Pemegang visa umrah boleh melakukan perjalanan antara Makkah dan Madinah serta di antara semua kota di negara tersebut dalam tempoh dibenarkan untuk tinggal di situ. Bahkan, jemaah umrah boleh masuk dan meninggalkan Arab Saudi dari mana-mana lapangan terbang antarabangsa atau serantau di negara berkenaan,” katanya.

Sejak kalendar Islam memasuki tahun baharu pada hujung Julai tahun lalu, sebanyak 4.8 juta jemaah umrah luar negara sudah menunaikan ibadah berkenaan.