Browsing Tag

Menghambakan ibu bapa

Menghambakan ibu bapa
Berita Semasa,

Derhaka namanya kalau ‘menghambakan’ ibu bapa, jangan lakukan perkara ini ketika raya

Derhaka namanya kalau ‘menghambakan’ ibu bapa, jangan lakukan perkara ini ketika raya

APABILA pulang ke kampung berhari raya, sedaya mungkin jagalah perilaku dan tutur kata masing-masing. Lebih-lebih lagi terhadap ibu bapa sendiri.

Masakan tidak, saat itulah semua ahli keluarga dan sanak saudara dekat mahupun jauh berkumpul. Sudah tentu pelbagai perkara dibualkan.

Begitupun, usahlah terlalu asyik bersembang hinggakan mengabaikan aspek yang lain. Antaranya membiarkan ibu dan ayah kita yang sudah lanjut usia untuk melakukan kerja-kerja rumah.

Meskipun nampak renyah, tetapi itulah hakikat yang berlaku dalam kita sedar ataupun tidak. Sedarlah diri, kita pun sudah besar. Malah, sudah jadi mak atau bapa orang pun.

Pemilik akaun Facebook Muharrik Daie memberi teguran supaya kita tidak ‘menghambakan’ orang tua ketika Hari Raya Aidilfitri.

Jelas beliau, ia merupakan salah satu bentuk derhaka yang mana kita membiarkan sahaja ibu ayah yang tidak seberapa kudratnya itu bersusah payah masak di dapur, sedangkan kita sekeluarga pula ‘membuta’ macam tuan besar.

Menghambakan ibu bapa

LEBIH baik andai anak-anak dapat memasakkan hidangan untuk ibu bapa yang sudah tidak berapa kudrat mereka. -Foto: 123rf

“Itu menunjukkan sikap kita yang tidak berkeperibadian Islam dan tidak beradab, apalagi berakhlak Islam.

“Kalau tidak malu pada ibu dan ayah, malulah kepada ALLAH,” tulisnya dalam hantaran sosial Facebook miliknya.

Baca juga Jadikan ibu bapa sebagai pengasuh anak kita, ketahui hukum-hakamnya

Beliau turut menegur sikap anak-anak masa sekarang yang disifatkan sebagai sudah hilang rasa malu.

Anak-anak zaman dahulu, katanya, begitu pandai menjaga adab dan menyimpan rasa malu apabila berkunjung dan berziarah ke rumah orang tua.

“Awal pagi lagi sudah bangun, kemas tempat tidur, mandikan anak-anak dan memasak serta membantu ibu bapa.

“Kadangkala merekalah yang memasakkan untuk orang tua masing-masing kerana itulah masanya berbakti untuk mak dan ayah,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Muharrik Daie, kebanyakan anak-anak sekarang hilang sifat mahu sehinggakan sanggup membuka pekung akhlak buruk masing-masing di hadapan orang tua.

Baca juga 5 kewajipan anak perempuan kepada ibu bapa meskipun telah bergelar isteri

“Mereka hanya malu buka aurat saja, tetapi tidak malu membuka pekung akhlak di hadapan ibu bapa.

Menghambakan ibu bapa

KETIKA berhari raya di kampung halaman, bantulah ibu bapa atau mertua masing-masing dengan melakukan tugasan bersama adik beradik yang lain. -Foto: 123rf

“Malah, ada yang bangun lambat tidak solat Subuh pun, tempat tidur pula berselerak. Sementelah, anak-anak mereka yang bangun pagi dibiarkan kelaparan. (Akhirnya) ibu ayah merekalah yang kelam-kabut hendak uruskan makan dan minum serta kencing dan berak anak-anak mereka,” terangnya panjang lebar.

Hendak ditegur, bimbang pula orang tua itu pula yang ditengking, ungkapnya.

Maklum sahajalah, anak-anak sudah memberi duit raya. Andai nasihat dititipkan, mencuka pula muka anak dan menantu hinggakan enggan pulang ke kampung lagi.

“Mak ayah pun takut kena gosip oleh anak-anak menantu (bila) berkumpul sesama mereka,” katanya.

Lantaran itu, Muharrik Daie mengingatkan dan menasihatkan agar ibu bapa pilihlah menantu yang berakhlak dan datang daripada keturunan yang baik.

“Jangan nampak pakai tudung tebal dan pakai lebai serta cium tangan saja, sudah rasa bakal menantu ini ahli syurga. Jangan sekali-kali.

Baca juga Tanggungjawab menantu terhadap mertua. Ini yang perlu kita tahu

“Zaman sekarang ini ramai scammer. Bakal menantu pun boleh jadi scammer, berpura-pura bagus sebelum kahwin,” ujarnya.

Menghambakan ibu bapa

BAGI mengelakkan situasi ‘menghambakan’ ibu bapa, pilihlah menantu yang berakhlak dan datang daripada keturunan yang baik. -Foto: 123rf

Kepada mereka yang mendapat menantu scammer, Muharrik Daie menitipkan pesanan agar mereka menasihati anak menantu masing-masing.

“Jangan biarkan mereka berakhlak begitu, nanti keturunan kita pun akan ikut apa yang ibu bapanya buat.

“Kalau mak atahnya menghambakan mak atau mertua meteka, anak-anak mereka pun akan perlakukan kepada mereka juga nanti. Ingat ‘pepatah’ orang putih What you give, you get back (Apa anda beri, anda akan dapat balik),” katanya.

Dalam pada itu, Muharrik Daie mengingatkan agar para lelaki dan suami mengambil tanggungjawab untuk menasihati pasangan dan anak masing-masing supaya menghormati ibu serta ibu mertua.

“Jangan fikir keluarga kamu hendak mudah dan senang lenang saja. Rumah mak ayah atau mertua bukan hotel atau homestay untuk me time anak bini kamu, tetapi ia adalah tempat kamu berbakti kepada ibu ayah.

“Jangan sedap hati dapat ‘menghambakan’ mak ayah dan mertua walau dalam sedar atau tidak. Ia tetap dosa. Bukan dosa kecil, tapi dosa besar. Ingat, syurga itu di bawah telapak kaki ibu,” tegasnya.