Browsing Tag

Mendahului imam

Makmum
Ibadah,

Makmum jangan mendahului imam bila solat berjemaah

APALAH gunanya solat berjemaah andai kita sendiri mendahului imam atau enggan mengikut ‘ketua’ sembahyang berkenaan.

Bunyinya mungkin kedengaran agak kasar, tetapi itulah ungkapan sesuai bagi mengingatkan kita supaya memelihara pergerakan solat masing-masing.

Meskipun perkara itu jarang berlaku, tetapi biarlah kita tidak terjadi sampai bila-bila.

Rupanya memang ada sebab musabab mengapa umat Islam diperintahkan sedemikian ketika melakukan solat berjemaah.

Terdapat sebuah hadis daripada Imam Malik RA yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mengangkat dan menurunkan kepalanya sebelum imam, maka ubun-ubunnya berada di genggaman syaitan.” (Hadis Riwayat Malik, at-Tabarani, al-Bazzar dan al-Haithami)

Baca juga Makmum jangan sengaja lambat mengikut imam dalam solat berjemaah, ia boleh menyebabkan solat tidak sah

Mengulas lanjut, pendakwah terkemuka Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, makmum yang mengangkat kepalanya atau menundukkan kepala terlebih dahulu daripada imam ketika rukuk dan sujud, ‘ubun-ubunnya berada dalam genggaman syaitan’ bermaksud dirinya telah mengikuti suruhan syaitan.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Itulah tujuan syaitan yang mahu merosakkan solatnya atau menjadikan sembahyangnya tidak sempurna.

“Apabila seseorang makmum menyanggahi imam dalam solat, maka syaitan akan sentiasa menghasutnya supaya berbuat demikian lagi. Itulah usahanya untuk mendatangkan syak dan ragu ke atas orang yang mendirikan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Sebenarnya ada banyak hadis memerihalkan celaan terhadap makmum yang sengaja mendahului imam waima ketika rukuk mahupun sujud.

Baca juga Jangan biarkan telekung, serban dan kopiah menutup dahi ketika sujud. Dikhuatiri tidak sah solat itu

Antaranya, Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah salah seorang kamu itu takut apabila mengangkat kepalanya sebelum imam bahawa ALLAH akan menjadikan kepalanya kepala keldai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain, Baginda SAW bersabda: “Tidaklah aman orang yang mengangkat kepalanya di dalam solat sebelum imamnya, ALLAH akan menukar mukanya kepada muka keldai.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Takutlah orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, ALLAH akan menukar kepalanya kepada kepala anjing.”

Meskipun para ulama berselisih pandangan tentang maksud hadis berkenaan tentang penukaran wajah itu, Ustaz Azhar Idrus mengingatkan agar kita tidak mendahului imam.

Jelas beliau, para jemaah disunatkan mengikut imam pada setiap pergerakan solat bermula dari takbiratulihram hingga salam dan tidak melakukannya sebelum imam terlebih dahulu berbuat demikian.

Baca juga Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

“Mudah kata, apabila imam telah rukuk, barulah makmum mengikutinya. Begitu juga apabila imam sujud, makmum juga melakukan perbuatan sama.

Mendahului imam

MAKMUM jangan mendahului imam dalam pergerakan solat, sebaliknya perlu mengikut ‘ketua’ masing-masing bermula takbiratulihram hingga salam. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

“Demikian juga halnya apabila imam telah angkat kepala dari rukuk dan sujud, maka barulah diikuti oleh maklum,” terangnya panjang lebar.

Andai makmum tanpa sengaja mendahului imam dengan satu rukun, ujar agamawan itu, ia tidaklah sampai membatalkan solatnya menurut pandangan yang sahih.

“Andai kata makmum tersalah turun rukuk dahulu daripada imam, maka dia wajib berdiri semula dan rukuk sekali lagi bersama imam. Ini kerana tujuan dijadikan imam itu adalah supaya makmum mengikutinya. Begitu juga ketika sujud,” katanya.

Baca juga Isteri tak boleh iqamat walaupun solat jemaah berdua bersama suami di rumah

Bagaimanapun, jika makmum sengaja menyalahi imam dengan dua rukun, jelas Ustaz Azhar Idrus, batal solatnya.

“Rukun yang dimaksudkan di sini adalah rukun fi’li. Sebagai contoh, makmum mendahului imam ketika rukuk. Ketika imam hendak turun rukuk pula, makmum angkat kepada untuk melakukan iktidal.

“Tatkala imam angkat kepala untuk iktidal, makmum itu pula turun sujud. Maka batallah solatnya,” jelasnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.