Browsing Tag

Melaka River Cruise

Surah al-Insan
Berita Semasa,

Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

“SURAH al-Insan menjadi penawar bagi sifat manusia yang mudah lupa diri. Penyakit besar iaitu lupa diri perlu ada penetapan semula diri untuk jadi lebih baik.”

Demikian kata Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas, Coach Mohd Jamil Abdul Wahab ketika memberi pengisian dalam program Melaka River Cruise #QuranHour di Sungai Melaka, Melaka pada 24 Februari lalu.

Seramai 40 peserta yang terdiri daripada penggerak dan ahli Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di atas bot sepanjang Sungai Melaka.

Program selama sejam itu julung kali dianjurkan oleh Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF). Sesi tersebut dimulakan dengan alunan bacaan Surah al-Insan dan terjemahannya yang dibimbing Coach Jamil.

COACH JAMIL

“Dalam surah al-Insan, ALLAH SWT mengingatkan siapa diri kita yang sebelum ini tidak pernah disebut atau dikenali. Kemudian ALLAH menjadi manusia daripada setitis mani, dan kehidupan manusia sentiasa diuji untuk mentaati-NYA.

“ALLAH memberi nikmat pendengaran dan penglihatan kepada manusia untuk dimanfaatkan sebagai orang yang bersyukur dalam mendapat petunjuk dan hidayah atau sebaliknya, iaitu orang kufur yang mengingkari nikmat ALLAH.”

Baca juga Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

“Kita perlu bersyukur melalui lisan, kalbu, perbuatan dan berusaha menjadi orang yang abrar atau berbuat kebaikan yang banyak dan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka, Nooratikah Amir berkata, Melaka River Cruise #QuranHour bertujuan memberi pengisian kerohanian untuk mengingatkan kita mengenai kehidupan di dunia dan akhirat, sambil berlibur.

NOORATIKAH

“Melaka River Cruise menjadi tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat keindahan di Melaka Bandaraya Bersejarah.

“Pihak kami bercadang untuk memperluaskan penganjuran program tersebut secara berkala dengan menjemput Rumah Ngaji lain pada masa akan datang.”

Ketua Seksyen Unit Dakwah dan Tarbiah, Jabatan Agama Islam Melaka, Ustaz Murad Ahmat yang juga peserta berkata, pendekatan program tersebut dapat melihat kebesaran ciptaan ALLAH (ayat kauniyah) dan mendegaran ayat al-Quran (ayat qauliyah).

“Konsep pembelajaran secara tidak rasmi, santai tapi santai mampu menarik minat pelbagai golongan sasaran dalam berdakwah. Walaupun masa agak terhad untuk mengikuti tadabbur al-Quran di atas bot, namun peserta dapat ambil pengisian untuk dibawa balik dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

Pihak JAIM sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dengan Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas dalam menjalankan pelbagai program yang menyuburkan al-Quran di Melaka.

USTAZ MURAD

Kata beliau, kepentingan surah al-Insan adalah mengingatkan manusia yang mudah lupa. Surah tersebut sunnah dibaca pada Jumaat.

“Manusia sentiasa diuji untuk bukan untuk mengeluh, tetapi untuk kita bersabar dan mensyukuri atas nikmat yang ALLAH berikan,” ujarnya.

Surah al-Insan menjadi surah pilihan yang membawa tema Memanusiakan Ummah bagi program #QuranHour termasuk World #QuranHour yang diadakan pada 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April 2023.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook World QuranHour.

***Artikel dan foto disediakan oleh Fouziah Amir