Browsing Tag

media sosial medan dakwah

Bangun tidur
Gaya Hidup,

Bangun tidur terus tengok telefon, sebab itu penting media sosial jadi medan dakwah

APABILA bangun tidur, laju sahaja tangan menggagau mencari telefon bimbit. Dengan rasa kantuk yang tersisa, bebola mata yang masih terbuka kecil memicing pandangan pada skrin gajet berkenaan.

Begitulah realiti yang berlaku pada era digital kini. Masing-masing terlalu bergantung kepada telefon. Hendak tengok jam berapa pun peranti kecil itu juga yang dicarinya, apatah lagi mengunci jam untuk bangun tidur.

Pendakwah dan pempengaruh media sosial, Asyraf Hakimi Abdul Jalil atau lebih dikenali sebagai Cikgu Acap berkata, disebabkan itulah peri pentingnya dakwah era digital untuk melebarkan sayapnya.

Bangun tidur

    CIKGU ACAP menjelaskan, betapa pentingnya dakwah menerusi platform media sosial kerana ramai yang mempunyai akaun berkenaan, selain telefon menjadi keutamaan ketika bangun tidur.

“Tanyalah mana-mana anak muda atau sesiapa sahaja, masing-masing mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan TitkTok. Amat mudah sebenarnya untuk menyebarkan dakwah (menerusi medan tersebut).

“Jika tidak sempat sertai (majlis ilmu), boleh dengar di Facebook, telefon dan sebagainya. Kita hendak isi masa lapang dengan dakwah kebaikan dan perkongsian ilmu.

Baca juga Demi sebar dakwah, ustazah Asma’ Harun gigih dapatkan tauliah setiap negeri

“Sebagai umat Islam waima muda atau tua, masing-masing dituntut untuk menuntut ilmu. Meskipun ada yang merasakan dirinya sudah pandai, memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan seumpamanya, tetapi kefahaman lilmu agama perlu diteruskan kerana Islam mengajar umatnya untuk terus menggalinya sehingga ke liang lahad,” terangnya panjang lebar dalam siri Podcast POV Sinar Islam Plus (SI+) bertajuk ‘Dakwah Era Digital, Peranan Anak Muda’ yang dipancarkan secara langsung di semua platform media sosial SI+ baru-baru ini.

Program itu dihoskan oleh Editor SI+, Muhd Azman Mohd Nawi.

Ketika ditanya tentang ciri-ciri yang patut ada kepada seorang pendakwah media sosial, Cikgu Acap menjelaskan, paling utama adalah seseorang itu perlu memahami ilmu bagi memudahkannya berdakwah, menyampaikan dan berkongsi pengetahuan yang sahih.

Tidak lengkap jika orang yang berilmu itu tidak beramal kerana kedua-duanya merupakan ‘sahabat baik’, ungkapnya.

“Jika diri sendiri tidak beramal, bagaimana kita sendiri mahu merasakan kemanisannya?,” soalnya.

Mengulas lanjut, pempengaruh yang mempunyai lebih 300,000 pengikut di laman sosial TikTok itu menjelaskan, kriteria seterusnya adalah para da’i perlu menjadi qudwah hasanah (teladan yang baik).

Bangun tidur

PROGRAM Podcast POV SI+ bersama Cikgu Acap dihoskan oleh Muhd Azman.

Maka, contohilah akhlak Rasulullah SAW yang memang tidak boleh disangkal lagi kemuliaan dan terpujinya sikap ditonjolkan oleh Baginda SAW.

Baca juga ‘Jadi pendakwah, besar cabaran, besar juga ganjaran menanti’ – Dr Fauzi Deraman

“Dalam sebuah hadis, dinyakan bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran. Kalau kita hendak ALLAH sayang, contohilah Baginda SAW.

“Seperkara lagi, banyakkan bersabar kerana berdakwah penuh dengan ujian dan cabaran. Jadikan sifat sabar dan solat sebagai penolong kita,” titipnya.

***Foto: Freepik