Browsing Tag

media sosial biak ajaran sesat

Dakyah sesat
Isu,

Media sosial biak dakyah sesat? Hati-hatilah dengan fahaman pelik

NAMPAKNYA dakyah sesat masih lagi bertebaran luas dan sukar dinoktahkan. Masakan tidak, hampir setahun lalu, Sinar Islam Plus pernah menyiarkan tentang penyelewengan agama Islam menerusi ajaran menyimpang. Pada masa itu, fahaman Hadi Minallah menjadi titik perbincangannya.

Situasi itu berulang kembali. Tidak keterlaluan jika dikatakan sekarang banyak ‘agama’ baharu wujud dan sentiasa ada pengikutnya, seolah-olah tidak serik lagi.

Terbaharu, belum reda dengan ajaran SiHulk, datang pula dakyah yang terpesong daripada ajaran Islam. Kali ini, gerakan ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ menjadi bualan hangat.

Baca juga ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ dakyah terbaru ajaran sesat golongan LGBT

Kumpulan itu dikatakan menamakan seorang lelaki dipercayai rakyat tempatan yang diberikan taraf bishop sebagai ketua, sekali gus bertanggungjawab menyebarkan doktrin menyeleweng selain menguruskan pengikut di negara ini.

Pengikut ajaran itu percaya Kaabah bukan terletak di Makkah, Arab Saudi, sebaliknya di Petra, Jordan, selain mempertikaikan tentang ulama dan Islam.

Dakyah sesat

KUMPULAN ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ itu mula mendapat perhatian di Malaysia apabila beberapa individu mengaku sebagai pengikut ajaran terbabit berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

SiHulk pula mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW ialah ALLAH SWT dan Sang Pencipta itu ialah Rasulullah SAW iaitu juzuk yang sama. Ia jelas bertentangan dengan kalimah Tauhid yang dilafazkan.

Baca juga Selamatkan akidah umat Islam, banteras segera ajaran sesat ‘Si Hulk’

Walaupun melibatkan dua kelompok berbeza, namun kedua-duanya mempunyai persamaan, malah modus operandi mereka mirip sekali.

Kedua-dua kumpulan itu meluaskan dakyah masing-masing menggunakan platform media sosial!

Fenomena tersebut begitu menggetirkan. Ini kerana media sosial memberi pengaruh besar kepada masyarakat terutama anak muda.

Menerusi dapatan kajian Kolej Universiti Antarabangsa INTI pada tahun 2021, sebanyak 60.9 peratus generasi Z (Gen Z) di negara ini lebih suka berinteraksi menerusi platform media sosial berbanding secara bersemuka.

Salah siapa apabila ramai orang muda mudah terjebak? Adakah benar pengaruh media sosial yang keterlaluan penyebab mereka mudah dimanipulasi doktrin menyeleweng?

Kurang ilmu agama

Kepada Sinar Islam Plus, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed mengakui ajaran sesat mudah tersebar disebabkan faktor teknologi.

DR SYED SHAHRIDZAN

Lebih-lebih lagi alam internet memberi ruang infiniti untuk menyebarkan apa sahaja cerita yang melintas di hadapan mata, selain berita.

“Jika dahulu, segala maklumat seperti ini agak terhad, dan hanya diperoleh menerusi televisyen, radio dan surat khabar. Namun, kini segala cerita boleh sampai kepada kita sebelum ia keluar dalam platform tadi.

Baca juga Ajaran Sesat Berselindung Di Sebalik Nama Agama

“Disebabkan itu ajaran yang diwartakan menyimpang daripada landasan Islam lebih ketara. Salah satu faktornya kerana mudah disebarkan menerusi media sosial, ditambah pula dengan pengaruhnya yang kuat memudahkan ia diperluaskan.

“Tidak hairanlah bagaimana pengikut ajaran-ajaran sesat ini lebih ramai berbanding dengan dahulu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Apa yang menyebabkan masyarakat terutama orang muda mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang ditebarkan di media sosial?

Menjawab pertanyaan itu, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, ia berpunca akibat kekurangan ilmu dalam dada khususnya berkaitan akidah.

“Lihat sahaja video yang tersiar di YouTube dan seumpamanya, ada anak muda yang tidak dapat jawab apabila ditanyakan tentang Rukun Iman dan Islam.

“Ramai juga yang tidak boleh membaca al-Quran, tiada pengetahuan perihal mandi junub dan sebagainya. Bukan saja orang muda, yang melepasi usia 20-an pun kurang pengetahuan tentangnya,” ungkapnya.

Baca juga Hendak gali ilmu, jangan semberono pilih guru

Mengulas lanjut, kecetekan ilmu dan kekurangan pendedahan itu sewajarnya ditangani oleh ibu bapa yang bertanggungjawab mertarbiah anak-anak, ungkapnya.

Dakyah sesat

IBU bapa bertanggungjawab mendidik dan mentarbiah anak-anak agar tidak terpengaruh serta terikut dengan dakyah sesat. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Jelas beliau, kedua-dua orang tua memikul amanah dalam memberi kelengkapan dan segala bekalan itu untuk mendepani pelbagai rencam termasuk fahaman yang boleh menggugat akidah anak masing-masing.

“Di samping itu, barangkali kita boleh melihat kembali dari sudut silibus pendidikan di sekolah berkaitan dengan ilmu agama supaya pengetahuan itu dapat meneguhkan kekuatan akidah dalam jiwa kita.

“Satu lagi punca adalah disebabkan oleh imbalan duniawi yang mengaburi mata. Ada kelompok yang mahu mencari jalan yang dirasakan bebas daripada ajaran Islam sebenar hingga membuang segala belenggu ikatan halal dan haram dalam syariat,” hujahnya.

Tidak percaya badan autoriti agama

Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Dr Syed Shahridzan membutirkan kepincangan akidah akibat ajaran sesat berlaku disebabkan terdapat kelompok yang tidak percaya kepada pihak autoriti agama.

Dek kerana kurang mempercayai sesetengah pemimpin, institusi agama turut terpalit sama, ungkapnya.

“Mengertilah, Kerajaan Negeri atau Pusat masing-masing memainkan peranan mendidik masyarakat, mengeluarkan fatwa, melakukan penguatkuasaan dan memberi amaran kepada rakyat tentang ajaran salah.

“Malangnya, sikap tidak percaya kepada autoriti agama menyebabkan mereka mengambil pendekatan sewenang-wenangnya terhadap ajaran lain selain fahaman Islam sebenar,” terangnya panjang lebar.

Dalam pada itu, agamawan tersebut mengingatkan agar umat Islam tidak lari daripada ajaran Ahli Sunah Waljamaah manhaj al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah serta berpegang teguh dengannya bagi menyelamatkan diri daripada ajaran sesat.

Dakyah sesat

PERCAYALAH kepada pihak autoriti agama masing-masing waima di peringkat Pusat mahupun negeri, insya-ALLAH kita akan selamat dan jauh daripada dakyah sesat dan perkara yang boleh merosakkan akidah. -Foto: 123rf

Beliau juga menyeru Muslimin untuk sentiasa menghadiri majlis ilmu, selain mendalami pengetahuan daripada guru yang betul dan diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.

Baca juga Hendak tuntut ilmu, kena tahu sanad guru

“Saya berharap agar masyarakat memupuk kekuatan akidah dari rumah. Andai tidak mampu mengajarnya, lakukan apa sahaja yang boleh membantu dengan menghantar anak atau tanggungan belajar di tempat yang betul, berguru dengan murabbi yang benar dan bacakan kitab-kitab hadis serta ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Paling penting, percayalah kepada pihak autoriti agama masing-masing sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri. Insya-ALLAH kita akan selamat dan jauh daripada perkara yang boleh merosakkan akidah seseorang, yang mengundang kemurkaan ALLAH,” titipnya.

***Foto: Canva