Browsing Tag

masuk tandas bawa tulisan al-Quran

pexels-tim-mossholder-1722196
Isu,

Ustaz Azhar Idrus Perjelas Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Quran Ke Dalam Tandas

no comment

SESIAPA sahaja pasti berdepan situasi tergesa-gesa untuk memasuki tandas. Ada yang tanpa sedar pakaian atau peralatan yang dipakai dan dibawa bertulis huruf-huruf hijaiyyah seperti ayat-ayat al-Quran, nama-nama ALLAH SWT dan sebagainya.

Ada yang mengatakan membawa apa sahaja benda yang tertulis ayat-ayat al-Quran mahupun zikrullah ke dalam tandas hukumnya adalah makruh.

Mengulas lebih lanjut mengenai situasi tersebut, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, umat Islam perlu memahami bahawa adalah dilarang memasuki tandas tanpa sebarang keuzuran dengan membawa sesuatu yang tertulis perkara yang dihormati syarak antaranya nama-nama ALLAH SWT, nama-nama Nabi, nama-nama malaikat dalam bentuk huruf hijaiyah iaitu huruf alif sehingga huruf yaa.

Menerusi perkongsian di laman Youtube Ustaz Azhar Idrus Official, beliau memberikan contoh jika ada tertulis perkataan ALLAH atau ayat al-Quran di kopiah yang dipakai maka harus ditanggalkan kopiah itu terlebih dahulu.

 

Ditegah memasuki tandas dengan memakai baju atau apa sahaja yang bertulis nama ALLAH dan huruf-huruf hijaiyyah. Foto: Redbubble

“Ini kerana adalah tidak layak untuk membawa masuk huruf-huruf sedemikian di dalam tandas.

“Begitu juga, kita berada dalam tandas dan azan pun berkumandang, maka tidak digalakkan untuk menjawab azan kerana kita berada di tempat yang tidak munasabah dengan kemuliaan ALLAH SWT,” katanya.

Beliau memetik sepotong hadis daripada Nabi Muhammad SAW riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik RANH, beliau berkata: “Adalah ukiran pada cincin Nabi SAW terdapat tiga baris. Baris yang pertama tertulis kalimah Muhammad. Baris yang kedua tertulis kalimah Rasul dan baris yang ketiga tertulis kalimah ALLAH.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

“Maka ulama berkias, apa-apa ayat al-Quran atau nama-nama ALLAH yang tertulis atasnya jangan dibawa ke dalam tandas,” jelasnya.

Ada juga yang tanya, jika letak di luar pasti hilang. Jawab agamawan itu, jika ia mendatangkan kemudaratan dan bimbang ia hilang maka letakkan ia dalam kocek.

Katanya lagi, jika menggunakan telefon yang mengandungi aplikasi al-Quran maka wajib ditutup ketika masuk ke dalam tandas di atas alasan memuliakan ALLAH SWT.