Browsing Tag

Masjid Tinmel

Masjid Tinmel
Antarabangsa,

Masjid bersejarah Maghribi runtuh akibat gempa bumi

LEBIH 2,000 orang maut selepas gempa bumi kuat melanda negara Maghribi pada malam Jumaat. Kejadian berlaku kira-kira jam 11.11 malam waktu tempatan.

Gempa bumi yang berlaku itu antara yang paling kuat melanda negara tersebut dalam tempoh lebih daripada satu abad.

Menurut World Health Organization (WHO), lebih 300,000 penduduk terjejas di Marrakesh dan kawasan sekitarnya juga telah banyak merosakkan tempat bersejarah.

Antaranya tapak sejarah terpenting di pergunungan Atlas, sebuah masjid yang dibina pada zaman dinasti pertengahan yang menyaksikan penaklukan Afrika Utara dan Sepanyol pada ketika itu.

Baca Juga Diinspirasikan Asmaa ul-Husna, masjid di Sulawesi ini ada 99 kubah indah

Media Maghribi melaporkan, sebahagian daripada Masjid Tinmel telah runtuh. Gambar-gambar yang tular menunjukkan dinding dan menara masjid telah runtuh.

Menjawab soalan Reuters mengenai kerosakan yang dilaporkan pada Tinmel, sumber Kementerian Kebudayaan Maghribi berkata, “Kementerian telah memutuskan untuk memulihkannya dan akan memberi peruntukkan,” tanpa memberikan sebarang butiran lain.

MAGHRIBI isytihar tiga hari berkabung selepas dilanda gempa bumi yang dahsyat. / Foto: TRT World

Masjid Tinmel atau Tinmal Mosque ini dibina pada abad ke-12 zaman dinasti Muwahhidun (Almohad). Terletak di pergunungan Atlas dan merupakan pusat penubuhan empayar dinasti yang dipelopori oleh Ibnu Tumart.

Ia dianggap salah satu seni arkitektur terpenting dinasti Muwahhidun yang masih kekal berdiri. Namun, kini ia telah musnah secara keseluruhan.

Agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO berkata, mereka telah dimaklumkan mengenai kemusnahan Masjid Tinmel dan kini masih menunggu untuk menghantar pasukan bagi menilai kerosakannya.

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud itu merupakan paling dahsyat di kawasan itu sejak 1900. Banyak bangunan dan rumah tradisional penduduk setempat telah musnah.

Baca Juga 5 kisah meruntun hati di sebalik gempa bumi Turkiye-Syria

Gempa bumi itu juga menyebabkan kerosakan pada bandar lama Marrakesh, tapak Warisan Dunia UNESCO, di mana sebuah menara tumbang dan sebahagian tembok bandar bersejarah runtuh bersama beberapa rumah tradisional.

Maghribi isytihar tiga hari berkabung

Sementara itu, Raja Maghribi Mohammed VI telah mengisytiharkan tiga hari berkabung negara untuk mangsa gempa bumi yang berlaku Jumaat.

ORANG ramai bersedih di hadapan mayat mangsa yang terkorban dalam gempa bumi di Moulay Brahim, wilayah Al Haouz, pada 9 September 2023. / Foto: AFP

Bendera akan dikibarkan separuh tiang di semua bangunan awam semasa tempoh berkabung, dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Maghreb Arabe Press.

Raja Maghribi juga mengarahkan pembentukan jawatankuasa menteri untuk membangunkan rancangan pembinaan semula rumah yang musnah.

Turut Disyorkan Masyarakat dunia bantu mangsa gempa Turkiye-Syria, ada sinar di sebalik bencana

Baca Juga Gempa bumi, bencana yang ALLAH telah jelaskan banyak kali dalam al-Quran

Kementerian Dalam Negeri Maghribi juga memaklumkan pihak berkuasa telah “menggerakkan semua sumber yang diperlukan untuk membantu kawasan yang terjejas”.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye bersedia membantu Maghribi yang dilanda gempa bumi dengan segala cara yang ada.

Selain Turkiye, beberapa negara turut menawarkan bantuan kemanusiaan seperti Sepanyol, Algeria, India, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta negara-negara lain.

Salam takziah kepada keluarga yang terkorban dan terkesan.
إنا لله وإنا إليه راجعون
اللهم ارحم أهالينا ضحايا الزلزال رحمة واسعا واجعلهم من الشهداء يا أرحم الراحمين