Browsing Tag

Mandul

Mandul
Gaya Hidup,

Ada yang ‘mandul’ walaupun anak ramai

“ORANG tu mandul agaknya, tak ada anak walaupun dah lama kahwin.”

Awas, berhati-hatilah apabila mengungkapkan kata-kata itu. Ia bukan sekadar berkait soal hati dan perasaan orang lain.

Namun, ada satu perkara yang perlu kita tahu. Maksud sebenar mandul dalam Islam bukan merujuk kepada mereka yang tidak memiliki zuriat!

Dalam masyarakat kita, barangkali itulah pemahaman semua orang, tetapi tidak dalam Islam.

Baca juga Ibu ayah amalkan doa ini agar anak terhindar daripada perkara sia-sia

Pendakwah Ustazah Nur Aqidah Mawardi menghuraikan panjang lebar tentang sebuah hadis yang memerihalkan tentangnya.

USTAZAH NUR AQIDAH -Foto: Facebook Nur Aqidah Mawardi

Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat tentang persoalan kalimah berkenaan.

Sabda Baginda SAW: “Apa yang kamu faham tentang mandul?” Sahabat lalu menjawab: “Mandul adalah mereka yang tidak memiliki anak.” Lalu Rasulullah bersabda: “Mandul yang sebenar adalah mereka yang memiliki anak, tapi anaknya tidak memberi manfaat buatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustazah Nur Aqidah, jelaslah perbezaan antara pertimbangan manusia dengan penilaian ALLAH SWT.

“Rasulullah SAW mendidik sahabat supaya memandang tinggi kepentingan mendidik anak yang soleh.

“Ketahuilah bahawa anak yang ramai belum tentu memberikan manfaat buat ibu bapa terutama di akhirat,” coretnya sepertimana dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Disebabkan itu Baginda SAW begitu tegas dalam soal peranan anak soleh, jelas penceramah tersebut.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Apabila meninggalnya seorang manusia itu, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; anak yang soleh yang mendoakannya, sedekah jariah serta ilmu yang bermanfaat.” (Sahih Muslim)

Baca juga (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

Mandul

DIDIKLAH zuriat masing-masing menjadi insan yang boleh berbakti kepada agama dan ibu bapa. -Foto: 123rf

Justeru, Ustazah Nur Aqidah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada ketika mengatur bicara dan menyusun kata.

“Berhati-hati untuk mengeluarkan perkataan dengan tuduhan mandul kepada seseorang.

“Anak itukan rezeki. Subur macam mana pun seseorang, tetapi kalau ALLAH belum berikan (rezeki cahaya mata), janganlah kita cop orang itu mandul,” titipnya.

***Foto: Freepik