Browsing Tag

Malaysia

daging korban
Berita Semasa,

Daging korban dibawa keluar dari kawasan atau negeri, bolehkah? Ini penjelasan agamawan

DAGING korban akan mula diedarkan pada Hari Raya Aidiladha selepas proses penyembelihan dilakukan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Bagaimanapun, mungkin timbul persoalan dalam kalangan individu yang melakukan korban tentang pengagihan daging sama ada boleh dibenarkan dibawa keluar dari kawasan (mukim) atau negeri ia dikorbankan? Kebiasaannya menjadi tuntutan kepada umat Islam pada setiap tanggal
The post Daging korban dibawa keluar dari kawasan atau negeri, bolehkah? Ini penjelasan agamawan appeared first on Sinar Plus.

Untitled design - 2022-06-14T164315.505
Isu,

Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

OLEH: MUHD AZMAN MOHD NAWI

HARI ini amalan membuka aib sama ada aib sendiri ataupun aib orang lain sudah semakin menular. Apatah lagi teknologi pintar memudahkan segala info, gambar dan video disebarkan dengan pantas terutama melalui aplikasi telefon mudah alih dan media sosial.

Namun sentiasalah berwaspada kerana kecanggihan itu boleh menjadi penyebab umat Islam disoal di akhirat  jika perkara yang disebarkan itu bersifat fitnah dan memalukan orang lain.

Justeru Islam menganjurkan mereka yang telah melakukan dosa untuk kembali kepada ALLAH SWT tanpa menceritakan keaibannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam. Sementara ALLAH telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh ALLAH”  (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini menjelaskan bahawa orang yang bermaksiat pada waktu malam secara sembunyi, kemudian ALLAH menutup aibnya sehingga dia bertaubat kepada ALLAH; maka hal itu adalah baik baginya.

Namun kalau pada hari esok dia bertemu dengan orang lain dan bercerita tentang dosa yang telah dibuat, maka dia termasuk dalam kalangan orang yang tidak akan dimaafkan oleh ALLAH.

Akhir-akhir ini, kita melihat fenomena membuka aib sama ada diri sendiri ataupun keaiban orang lain secara terang-terangan.

 

Kenang si mati dengan amal kebaikannya

Perbuatan seperti berjoget di aplikasi TikTok tanpa malu dan rasa bersalah seakan telah menjadi budaya. Jadi, tepuklah dada tanyalah iman sama ada mahu meneruskan aktiviti masa senggang dengan perkara itu lagi.

Itu kalau membuka aib sendiri, bagaimana halnya dengan aktiviti membuka aib orang?

Apabila meninggalnya seorang selebriti atau tokoh masyarakat, semua orang bergegas memuat naik foto almarhum atau almarhumah diiringi ayat ‘al fatihah’ dan ‘innalillah..’. Ia perbuatan terpuji. Lebih mulia lagi apabila foto yang dipilih adalah foto terbaik di dalam keadaan arwah bertutup aurat.

Walaupun ada beberapa warga maya yang tidak bertanggungjawab berani mempertikaikan tentang keadaan si mati yang tidak menutup aurat dengan sempurna ketika masih hidup, namun sebaiknya kita tinggalkanlah urusan itu antara si mati dan ALLAH SWT. ALLAH MAHA MENGETAHUI perkara sebenarnya dan usahlah lagi dipersoalkan.

Sebaiknya, kalau mahu menyebut tentang ingatan kepada arwah, kenanglah si mati dengan segala amal kebaikannya.

baca juga Jangan menghina orang yang sudah meninggal dunia

Memetik kata Pencetus Ummah Haris Ismail atau PU Riz di dalam ciapan Twitternya, beliau  memohon agar peminat tidak berkongsi foto selebriti Allahyarham Adibah Noor yang tidak menutup aurat, dan cukup sekadar menyedekahkan al Fatihah buat Allahyarham.

Perbuatan menyebar aib sesama manusia turut mendapat perhatian laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya,” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Budaya negatif ini termasuk dalam sunnah sayyiah (amalan buruk) yang berdosa. Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdoalah selalu agar ALLAH memelihara aib kita daripada tersebar dan kita dijauhkan daripada menyebarkan aib manusia lain.

 

cinta negara
Isu,

Bukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda

BUKAN kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda.

Di media sosial kini sedang hangat memperkatakan tentang filem Melayu terbaharu yang berjaya mengutip RM39.2 juta hanya selepas 10 hari tayangan, iaitu ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.’

Filem epik Melayu berkenaan yang sarat dengan nilai sejarah bangsa dilihat berjaya membangkitkan semangat jati diri dalam masyarakat setempat sehinggakan ramai yang sanggup berbusana Melayu lengkap bersama tanjak pada waktu tontonannya di panggung wayang.

cinta negara

HEBATNYA penangan filem ‘Mat Kilau’ sehingga munculnya trend pemakaian tanjak pada waktu tayangannya di panggung wayang. Malah, permintaan untuk sertai kelas silat juga meningkat sejak filem tersebut diterbitkan.

Yang menariknya, semangat patriotisme yang ditampilkan oleh filem Mat Kilau turut diberikan suntikan Islamik. Pengarah Syamsul Yusof sempat menyelitkan banyak nasihat-nasihat kembali kepada agama dalam karya itu.

Semangat cintakan negara sememangnya bukan suatu perkara yang dilarang dalam Islam. Bahkan, ia selari dengan ajaran agama dan termasuk sifat terpuji yang perlu dipupuk dalam diri masyarakat.

Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin menerusi sebuah artikel di portal Harakah Daily.

Baca juga Ini Maksud Kemerdekaan Sebenar Dalam Islam,  Ramai Yang Masih Belum ‘Bebas’ Sepenuhnya

Dalam kalangan masyarakat Arab ada kata-kata masyhur yang berbunyi  ‘Hubbul watan minal iman’ (Mencintai tanah air adalah sebahagian daripada iman), sehingga ada yang mendakwa  kata-kata ini adalah daripada Nabi SAW.

Namun setelah diperhalusi secara teliti, ramai ulama hadis berpandangan sebaliknya iaitu ia bukanlah daripada sabda baginda SAW.

Ibnu Hajar al-Asqalani, ulama yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dengan kitabnya Fathul Bari menyebut bahawa walaupun kata-kata ini tidak ditemukan sumbernya daripada hadis baginda SAW, namun dari segi maknanya, ia sahih kerana ia diamalkan oleh baginda SAW ketika hayatnya.

Imam as-Sakhawi dan al-Ajluni juga berpandangan yang sama ‘Hubbul watan minal iman’ walaupun belum ditemukan sumber hadisnya, namun mencintai tanah air telah diamalkan oleh para sahabat RA dan Rasulullah SAW.

cinta negara

RASULULLAH SAW juga mencintai tanah airnya, Makkah sama seperti kita.

Menurut sebuah perkongsian daripada program My #HadithTime, sejarah Nabi SAW sendiri membuktikan bahawa baginda adalah warganegara yang amat menyayangi Makkah, tanah tumpah darah Baginda.

Ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Makkah, baginda telah melalui satu sempadan di bahagian utara negeri Makkah.

Di sinilah baginda berpaling memerhatikan Makkah lalu bersabda:

Aku tidak temui negeri yang lebih baik daripada engkau (wahai Makkah) dan tiada negeri yang lebih aku sayangi daripada Makkah.

Kalaulah bukan kerana kaumku (iaitu Quraisy) telah menghalangku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Baca juga Lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci mampu tingkatkan takwa

Sifat cintakan tanah air ini juga dilanjutkan setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah.

Baginda bersungguh-sungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dalam kalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah.

Perkara ini dapat difahami melalui doa yang pernah dibacakan oleh baginda yang menyatakan:

اللهم حبِّبْ إلينا المدينةَ كحُبِّنا مكةَ أو أشدّ

Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Makkah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

cinta negara

TIDAK kira sama ada di Makkah atau Malaysia, kita semua pastinya mempunyai perasaan mendalam terhadap tempat asal usul kita.

Malah lebih menarik lagi apa yang pernah disaksikan sendiri oleh Saidina Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah. Saidina Anas pernah bercerita,

Sekiranya Rasulullah pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah)

Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai Madinah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

cinta negara

KECINTAAN Rasulullah SAW terhadap negara bukan sekadar pada perasaan hati sahaja, bahkan baginda juga bersungguh-sungguh membangunkan tanah airnya. Demikian sifat keperibadian Nabi yang harus kita teladani.

Namun, dalam konteks Malaysia, apa yang harus kita lakukan andainya kita mencintai negara kita?

Kata Ustaz Mohd Akmal pula, Islam menekankan aspek kerjasama dalam membangunkan negara. Oleh itu, semangat patriotisme yang dituntut agama melibatkan tiga perkara ini.

1. Membantu negara mencapai kemajuan dan keamanan.

2. Memelihara nama baik negara di mata dunia.

3. Mempertahankan negara daripada sebarang ancaman

Titip My#HadithTime, kita digalakkan sentiasa mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat. Malah, sebagai satu ummah, kita juga mempunyai tanggungjawab menjauhkan negara daripada unsur kejahatan seperti rasuah dan sebagainya.

Bukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda

Foto: Freepik & Unsplash & Himpunan Cerita Lawak

zamzam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Jangan beli air zamzam secara runcit, mungkin tidak tulen

ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di negara ini kerana tidak dapat dipastikan ketulenannya.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana individu membawa keluar air zamzam dalam kuantiti yang banyak kecuali melibatkan agensi umrah dan haji.

zamzam

DATUK AHMAD MARZUK SHAARY

“Memang jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam melalui bagasi tetapi ada agensi yang mengendalikannya dan TH akan menguruskan bagi pihak jemaah.

“Jemaah akan mendapatkan air zamzam tersebut sebaik tiba di tanah air. Jadi, tidak timbul isu mengenai perkara ini (tidak dibenar bawa pulang),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa ribut dan kebakaran di Mukim Siti Manis, Kijang semalam.

Baca juga 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penjualan air zamzam secara runcit di Malaysia.

“Logiknya, orang perseorangan pun tak dibenarkan bawa balik sendiri dan yang berniaga ini tiada kepastian dari segi ketulenan dan sebagainya.

Kerajaan menasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di Malaysia,” ujarnya.

Memetik laporan Bernama, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pula memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

zamzam

IKLAN yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM melarang penjualan air zamzam di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “Justeru itu, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Menurut beliau, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Melalui pemantauan BKMM terhadap platform atas talian pula pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam masing-masing telah dipadam daripada media sosial.

Baca juga Saintis Jepun Temui Rahsia dan Akui Keajaiban Air Zamzam

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara melebihi dua tahun.

Kata Dr Noor Hisham lagi, “KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zamzam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutamanya pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zamzam tiruan.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zamzam di kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM di http://moh.spab.gov.my; atau Facebook BKKM di https://www.facebook.com/BKKMHQ.

Sumber: Sinar Harian & Bernama

Foto: Facebook

pusat rawatan malaysia
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pusat rawatan Malaysia di Arab Saudi bertaraf antarabangsa

SEBELUM ini, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama menerima permit operasi pusat perubatan di Arab Saudi menerusi Pusat Rawatan Tabung Haji (TH).

Bagi Pusat Rawatan TH Syisyah dan Pusat Kecemasan di Abraj Al Janadriah yang memperoleh permit yang pertama dan kedua di Makkah, bangunannya kelihatan seperti biasa sahaja dari luar, tetapi apabila berada di dalamnya, pengunjung pasti teruja melihat segala kelengkapan perubatan yang disediakan.

Bukan sahaja mempunyai wad sendiri, tetapi TH juga melengkapkan perkhidmatan mereka dengan menempatkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang, 18 ambulan dan peralatan perubatan mencukupi.

pusat rawatan Malaysia

DR MOHAMAD NAZARUDIN BAHARI

Pengarah Operasi Perubatan Makkah Dr Mohamad Nazarudin Bahari berkata lebih membanggakan apabila setiap analisis dan pemantauan pegawai perubatan Malaysia diterima tanpa sebarang keraguan oleh doktor yang bertugas di Hospital Arab Saudi sama ada di Makkah dan Madinah.

Katanya, keadaan sedemikian membolehkan pesakit mendapat rawatan segera dan pegawai perubatan TH mudah melakukan pemantauan berterusan.

Baca juga Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar

“Pusat Rawatan Syisyah dan klinik kesihatan lain di tempat penginapan jemaah haji sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Jika pada 2012 ketika saya baru sampai di Makkah, hanya ada dua pakar sahaja dan ia makin bertambah pada tahun selepasnya. Sekarang ini kita mempunyai 24 orang pakar. Itupun sebenarnya masih ramai doktor pakar lain tetapi mereka berstatus pegawai perubatan di sini,” katanya kepada pemberita.

pusat rawatan

PUSAT rawatan TH berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan bagi membantu jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengagumi kebolehan dan kepatuhan Malaysia dalam bidang perubatan, malah sebagai memenuhi syarat, kesemua doktor bertugas akan menghantar sijil kelayakan mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan terlibat dalam operasi musim haji.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, TH memang menyediakan perkhidmatan terbaik dari pelbagai segi. Ada ketika saya bersama pasukan kecemasan untuk pemeriksaan ambulan di Bulan Sabit Merah Jeddah.

“Apabila datang sahaja ambulans Malaysia, petugas Arab Saudi sangat puji dan mereka melahirkan rasa kepercayaan terhadap Malaysia. Kesemua 18 buah ambulans kita memang bagus dan petugas itu hanya hendak tengok sahaja, ” katanya.

Baca juga Hikmah daripada tarikh-tarikh penting sepanjang Zulhijjah 1443Hijrah

Sementara itu, dalam majlis perhimpunan petugas bersama Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pasukan perubatan TH menerima pujian kerana berjaya memperoleh permit beroperasi daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Ketika berucap, Syed Saleh berkata pasukan perubatan bukan sahaja membuktikan kebolehan Malaysia dalam memastikan mutu perkhidmatan kesihatan tetapi juga mencipta rekod tersendiri di peringkat antarabangsa.

“Pencapaian yang agak membanggakan kerana kita yang pertama (mendapat permit). Ia membuktikan pasukan perubatan kita membuat kerja tersusun dan komited sehingga memenuhi syarat, termasuk bangunan, peralatan, sistem pembuangan sisa-sisa dan jumlah kakitangan

pusat rawatan Malaysia

SEMEMANGNYA pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada hospital Malaysia di sana membuktikan fasiliti negara bertaraf antarabangsa.

Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi, dan ini menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia bahawa apabila membuat sesuatu, semuanya akan mengikut peraturan dan terbaik dengan gerak kerja sistematik,” katanya.

Mengikut rekod, pusat rawatan di Madinah dan Makkah menyediakan seramai 254 petugas termasuk 28 pakar, 35 pegawai perubatan serta 158 kakitangan sokongan seperti jururawat dan fisioterapi.

Sumber: Bernama & Berita Harian

Foto: AlHijrah News & Bernama

pastikan kesahihan visa furada
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pastikan kesahihan visa furada yang ditawarkan

UMAT Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

visa furada

DATUK IDRIS AHMAD

“Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya kepada Bernama.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

visa furada

DATUK SERI SYED SALEH

Seperti yang dilaporkan Berita Harian, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata TH sering mengingatkan risiko haji furada, apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menyaksikan pelbagai syarat ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Saya harap kita faham situasi ini dan Kerajaan Arab Saudi juga telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.

Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter

“Ini berlaku secara peringkat antarabangsa dan di Malaysia, kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.

visa furada

ADA juga beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan khidmat visa furada yang palsu.

Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen bahawa mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta TH, iaitu kesalahan mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.

“Kita dapati ramai yang terpedaya dengan skim dan iklan terbabit, jadi berhati-hatilah,” katanya turut menyarankan rakyat Malaysia memilih dalam kalangan 20 agensi pelancongan atau dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan ibadah haji secara pakej.

Syarikat PJH menyediakan pelbagai pakej dengan harga RM35,000 ke atas dan ia kuota yang sememangnya diperoleh untuk TH dan Malaysia.

Baca juga Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

Sebelum ini, Bernama melaporkan hasil tinjauan menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

Sumber: Bernama & Berita Harian

Foto: Freepik

Ghairah beribadah ketika haji
Istimewa Panggilan Baitullah,

Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar

MALAYSIA menjadi negara pertama dijemput oleh kerajaan Arab Saudi untuk memilih waktu melaksanakan ibadah melontar jamrah pada musim haji tahun ini.

Memetik laporan BERNAMA, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kelebihan yang diberikan membolehkan Malaysia memilih antara pukul 8 malam hingga 10 malam untuk ibadah itu dan ia memberi keselesaan berbanding cuaca pada waktu siang yang boleh mencecah suhu melebihi 50 darjah Celcius.

“Malaysia dipanggil sebagai negara pertama dan diberi keutamaan untuk memilih. Apabila perbincangan dengan Kementerian Haji dan Umrah, mereka hanya menerima apa sahaja waktu yang kita pilih dan ia telah dimeterai dalam satu perjanjian antara Malaysia dan Arab Saudi.

malaysia negara pertama

KERJA-KERJA penyediaan fasiliti di Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi jemaah haji mengerjakan ibadah Wukuf sudah hampir 60 peratus siap.

“Jadual yang dipilih bersesuaian dengan jemaah haji dan jadual operasi haji kita. Ini satu kebaikan kerana kita diberi keutamaan, negara lain kemungkinan akan pergi pada waktu pagi, zohor dan asar manakala kita pergi waktu malam,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi penempatan jemaah Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Sebelum ini, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama menerima permit operasi pusat perubatan di Arab Saudi, malah turut disenarai antara lima negara yang menyertai ‘Makkah Route”.

Baca juga Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Syed Saleh berkata, pada 13 Zulhijjah sebahagian jemaah akan melontar jamrah pada awal pagi iaitu selepas subuh dan menurutnya pengaturan waktu melontar dilaksana untuk mengelak kesesakan serta musibah yang tidak diingini.

“Tahun ini ikut perancangan jika wukuf jatuh pada hari Jumaat, kita akan bermula dengan pergerakan awal petugas pada 7 Zulhijjah (6 Julai). Mereka akan pergi pada waktu malam dan berada di sana untuk bersiap menerima jemaah haji Malaysia yang akan bergerak pada Khamis (7 Julai) bermula awal pagi.

Baca juga Bersedekah, jaga silaturahim antara 10 amalan digalakkan, pada 10 hari pertama Zulhijjah

“Pergerakan jemaah menggunakan 17 bas bermula 7 pagi. Kita harap pergerakan dari Makkah ke Arafah berjalan lancar. Pada 10 Zulhijjah mereka akan bergerak pula ke Muzdalifah selepas waktu magrib untuk bermabit sehingga separuh malam iaitu 11.45 malam.

“Setelah itu, mereka akan bergerak pula dari Muzdalifah ke Mina dan berada di situ selama tiga hari bermula 10 Zulhijjah. Sebahagian jemaah akan balik awal dan sebahagian lagi akan tunggu sehingga 13 Zulhijjah,” katanya.

malaysia negara pertama

MELONTAR jamrah kubra pada 10 Zulhijjah merupakan rukun wajib Haji yang keempat.

Perkembangan terbaharu, jemaah Haji Malaysia juga bukan sahaja diberikan penempatan baharu oleh kerajaan Arab Saudi, tetapi juga kawasan khemah yang berdekatan dengan masjid, ketika berada di Mina.

Kata Syed Saleh, persiapan fasiliti di Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi jemaah haji dilihat berjalan mengikut jadual dan akan disiapkan menjelang tibanya Hari Wukuf dengan pemantauan pihak muassasah dan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Persiapan untuk Arafah mencapai tahap hampir 50 peratus dan Mina 60 peratus. Ini mengambil kira, ada lagi 10 hari jemaah haji akan tiba. Tahun ini makanan untuk di Arafah dan Mina berjumlah 16 sajian, iaitu lima sajian akan guna konsep sedia dimakan,” katanya.

Foto: Arab News & Islamic Landmarks

berniaga depan kaabah
Isu,

Jangan sesuka hati berniaga depan Kaabah dan tempat ibadah lain

TULAR di media sosial baru-baru ini seorang jemaah haji mempromosikan produk jualannya di hadapan Kaabah menerusi sebuah video berdurasi 43 saat.

Perbuatan itu ditegur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan jemaah haji agar tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan atau mempromosikan produk ketika berada di hadapan Kaabah.

kaabah

DATUK IDRIS AHMAD

Kata beliau, sebagai ‘tetamu ALLAH’, jemaah seharusnya memanfaatkan tempoh berada di Tanah Suci untuk menjalankan ibadah haji agar mendapat haji yang mabrur (diterima ALLAH).

“Sepatutnya fokus kepada ibadah haji lebih-lebih lagi depan Kaabah, tempat mustajab untuk berdoa. Sepatutnya perkara seperti ini (berniaga dan promosi) tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini.

Tambah Idris, perbuatan ini juga boleh mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah.

Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter

Hukum berjual beli di tempat ibadah

Sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya mengadakan urusan jual beli di tempat ibadah, apatah lagi di hadapan Kaabah.

Seperti yang dihuraikan dalam laman web Pejabat Pihak Mufti Wilayah Persekutuan, perkara ini telah pun disentuh oleh ALLAH Taala sendiri dalam kitab suci al-Quran:

(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah al-Nur, ayat 36 dan 37)

berniaga depan kaabah

BUKAN semua orang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci maka jemaah sepatutnya memanfaatkan masa yang ada sepenuhnya dengan beribadah kepada ALLAH SWT tatkala berada di sana.

Dalam masa sama, Rasulullah SAW juga pernah bersabda menerusi sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dari segi urusan berjual beli di dalam masjid, majoriti ulama berpendapat hukumnya adalah makruh.

Sarjana Islam, Imam al-Qurtubi pula berpendapat perniagaan secara khusus disebutkan oleh ALLAH adalah kerana perniagaan atau jual beli termasuk perkara terbesar yang akan melalaikan manusia daripada beribadat kepada ALLAH SWT.

berniaga depan kaabah

TIADA masalah untuk berniaga sekitar kawasan masjid namun urusan tersebut harus menghormati waktu solat dan tidak melekakan jemaah yang hadir ke tempat ibadah.

Bagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya melarang urusan jual beli dilakukan di dalam masjid.

Begitu pun, tiada masalah untuk berniaga di ruang selain dewan solat utama, seperti kawasan tempat letak kereta, asalkan urusan tersebut tidak melalaikan para jemaah sehingga tersasar dari tujuan asal datang beribadah ke masjid.

Ada banyak tempat lain di mana anda boleh lakukan perniagaan anda. Jadi, selepas ini jangan sewenang-wenangnya berniaga atau mempromosikan produk di kawasan ibadah, lagi-lagi berhadapan Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia.

Foto: Pexels & mstar

jaga kucing dengan baik
Isu,

Jagalah kucing dengan baik, elak dari dihumban ke neraka

BAGI pemilik-pemilik ‘si bulus’ di luar sana, jagalah kucing anda dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi penyebab anda terjerumus ke neraka.

Antara pencinta kucing yang sedang hangat diperkatakan tidak lain tidak bukan Allahyarham Adibah Noor.

Sabtu lalu, industri seni hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pengacara dan pelakon terkenal, Adibah Noor yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, pada 7.30 malam dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

jagalah kucing dengan baik

ADIBAH NOOR

Penyanyi ‘Terlalu Istimewa’ ini dikenali dengan sifat mencintai kucing dan dia sendiri memiliki lebih 40 ekor kucing di rumahnya.

Adibah cukup menyayangi kucing peliharaannya dan tidak pernah berkira mengenai wang yang dihabiskan untuk menampung keperluan haiwan belaannya, seperti yang pernah dikongsikan oleh beliau dalam sebuah temuramah bersama Berita Harian Online pada 2016.

“Sejujurnya, saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing-kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka.

“Bukan mudah untuk menjaga 41 ekor kucing kerana saya membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka. Tanggungjawab yang dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dibuat dengan baik,” katanya yang mengingati setiap nama kucing peliharaannya itu.

jagalah kucing dengan baik

KUCING dipercayai mula dijadikan haiwan peliharaan semenjak ia berjaya dijinakkan oleh masyarakat Mesir Purba.

Kucing disayangi sejak zaman Rasulullah

Bukan Adibah Noor sahaja yang menyukai makhluk berbulu itu. Kecomelan dan telatah kucing yang mencuit hati membuatkan haiwan tersebut sangat disenangi sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Pastinya ramai pernah mendengar ada hadis mengatakan kucing adalah haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW. Malah, baginda juga dikatakan mempunyai seekor kucing bernama Muezza.

Namun, menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ataupun lebih dikenali sebagai Dr Maza, hadis mengatakan kucing adalah haiwan kesayangan Rasulullah SAW tidak benar.

Tambahnya, tiada kucing yang khusus dalam hidup Nabi SAW kerana baginda menyayangi semua haiwan.

Baca juga Tuan kepada kucing kena bersihkan jika haiwan peliharaannya berak di rumah jiran. Ramai yang pandang remeh perkara ini… 

Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga mengulas bahawa tiada riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah membela seekor kucing dengan nama tersebut.

Pun begitu, ada sahabat Rasulullah SAW yang sangat dikenali dengan sifat mencintai kucing iaitu Abu Hurairah RA.

Menurut laman web The Patriots, sebelum memeluk Islam, nama sebenar perawi hadis terkemuka ini adalah Abdul Syams yang membawa maksud ‘hamba matahari’. Namun, Rasulullah menukar namanya kepada Abdul Rahman.

Baca juga [VIDEO] Apabila bulu kucing melekat di tempat solat, kita perlu…

Beliau digelar Abu Hurairah yang bermaksud ‘bapa kucing’ kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing.

Dari Abdillah bin Rafi’ berkata: “Aku berkata kepada Hurairah: “Mengapa kamu dipanggil Abu Hurairah?” dia berkata: “Apakah kamu takut kepadaku?” aku berkata: “Tentu demi Allah sungguh aku takut kepadamu,” dia berkata: “Aku pernah menggembala kambing keluargaku dan aku mempunyai haiwan kucing kecil lalu aku letakkannya di malam hari di suatu pohon lalu apabila siang hari aku pergi bersamanya kemudian bermain bersamanya lalu mereka memanggil ku Abu Hurairah.” (Sunan al-Tirmizi)

jagalah kucing

BUKAN sekadar kucing, kita juga perlu melayan makhluk ALLAH yang lain dengan baik termasuk tumbuhan dan sesama manusia.

Aniaya binatang penyebab masuk neraka

Seperti yang dijelaskan oleh pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada masalah untuk memelihara kucing namun kita perlulah menjaganya dengan baik.

Haram menyakiti haiwan tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Jangan disebabkan kelalaian kita menjaga haiwan peliharaan menjadi punca kita terjerumus ke neraka.

Baca juga Tak sah jual beli anak kucing yang masih dalam kandungan

Seperti yang diceritakan Abdullah bin ‘Umar RA dalam sebuah hadis, seorang wanita pada zaman Nabi SAW dikenakan azab api neraka kerana mengabaikan haiwan belaannya. Sabda Rasulullah SAW:

Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga 5 rahsia murah rezeki perkongsian PU Amin, salahnya satu daripadanya bagi kucing makan

Sebagai umat Islam, kita diwajibkan berbuat ihsan kepada makhluk ALLAH yang lain. Makhluk yang dimaksudkan bukan terhad kepada kucing sahaja, bahkan termasuk manusia, tumbuhan serta haiwan lain.

Foto: Pexels

jawab azan di radio
Isu,

Jawab azan di radio dan TV, perlu atau tidak?

PERLUKAH kita menjawab azan di radio dan televisyen?

Untungnya menjadi rakyat Malaysia boleh mendengar laungan syiar Islam lima kali sehari di setiap penjuru negara, walhal umat Islam di sesetengah negara di dunia terpaksa berjuang untuk melaungkan azan.

Bukan setakat masjid, di corong-corong media seperti radio dan televisyen juga ada disiarkan azan sebagai peringatan kepada Muslimin mengerjakan tuntutan agama.

Mungkin kerana sudah terlalu biasa, sesetengah Muslim sekadar endah tak endah sahaja tatkala mendengar azan sedangkan terdapat banyak fadilat sekiranya kita menjawab panggilan tersebut.

Jawab azan di radio

AMALKAN berselawat setiap kali selesai azan berkumandang kerana mereka yang sentiasa beringat dengan Rasulullah SAW akan diberikan syafaat baginda.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi SAW bersabda:

Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atas ku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepada ku, ALLAH akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada ALLAH agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba ALLAH . Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaat ku akan diberikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’ie)

Seperti yang dapat dilihat melalui hadis di atas, menjawab azan sememangnya suatu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Malah, hukumnya adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut), menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Bukan itu sahaja, ketika azan dilaungkan, kita dinasihatkan agar menghentikan sebentar segala aktiviti yang sedang dilakukan sebagai satu bentuk penghormatan.

Baca juga Dosa diampunkan sejauh bunyi azan. Kelebihan tok bilal yang ramai tak tahu

Namun, bagaimana pula jika azan tersebut disiarkan melalui radio atau televisyen? Bahkan, selain disiarkan secara ‘live’, ada juga yang berupa rakaman.

Kata seorang ulama Saudi, Syeikh Abdul Karim Khudair, azan yang diperdengarkan secara langsung (live) melalui radio sama seperti azan yang disebarkan melalui alat pembesar suara. Oleh itu, azan ini perlu dijawab.

Sebaliknya, jika azan tersebut adalah hasil rakaman (di CD, DVD, MP3 dan sebagainya) dan bukan secara langsung, maka azan itu tidak perlu dijawab.

Jawab azan di radio

DI Malaysia, azan juga ada disiarkan menerusi radio dan televisyen menyebabkan ramai yang tertanya hukum bagi menjawab azan dari sumber sedemikian.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagaimanapun mempunyai pendapat yang sedikit berbeza.

Tidak kiralah sama ada azan itu dilaungkan secara rakaman atau ‘live’ dan melalui alatan apa-apa pun baik radio mahupun televisyen, sebaik-baiknya kita menjawab juga azan berkenaan.

Hujah ini dikemukakan oleh pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang berbalik kepada fungsi azan untuk menyedarkan ummah melalui panggilan solat. Maka, azan dalam apa juga bentuk sekalipun bertujuan mengagungkan syiar Islam.

Baca juga Tersalah buka puasa awal kerana azan radio. Ini hukumnya

Tahukah anda, kita mampu memperoleh syafaat Rasulullah SAW sebagai tiket ke syurga hanya dengan menjawab azan?

Syaratnya, rajin-rajinlah menjawab azan, berdoa serta berselawat ke atas Nabi selepas mendengar azan.

Di Malaysia yang azannya berkumandang lima kali sehari, bayangkan berapa banyak pahala yang terkumpul hanya dengan mengamalkan perkara ini.

Foto: Freepik