Browsing Tag

malaikat Zabaniyah

malaikat Zabaniyah
Aqidah,

Berkenalan dengan Zabaniyah, malaikat penjaga neraka, moga dapat dijauhi daripada terjerumus ke dalamnya

Berkenalan dengan Zabaniyah, malaikat penjaga neraka, moga dapat dijauhi daripada terjerumus ke dalamnya

MALAIKAT merupakan makhluk ALLAH SWT yang dicipta begitu banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Umat Islam bagaimanapun hanya wajib mengetahui 10 daripadanya.

Namun, dalam senarai nama-nama malaikat yang kita hafal, pernahkah anda mendengar nama Malaikat Zabaniyah? Bunyinya agak aneh tetapi malaikat ini sebenarnya wujud, bahkan namanya turut disebut ALLAH dalam al-Quran.

Firman ALLAH, “Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya). KAMI pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!” (Surah Al-‘Alaq, ayat 17 dan 18)

Baca juga Tiga waktu malaikat ada bersama manusia

malaikat Zabaniyah

MOGA-moga kita tidak diketemukan dengan malaikat Zabaniyah, selain dijauhkan daripada segala azab api neraka. Foto: Pixabay

Turut disyorkan Ketahui kedudukan Baitul Makmur – rumah ibadat para malaikat yang berada di langit ketujuh

Zabaniyah, malaikat azab

Dari sudut perbahasan bahasa, kitab Tafsir al-Baghawi menerangkan bahawa perkataan Zabaniyah ini adalah kata jamak bagi perkataan asalnya ‘Zibn’ yang bererti menolak. Manakala, ahli tafsir Ibnu Katsir pula berkata, malaikat Zabaniyah ialah malaikat azab.

Dalam erti kata lain, antara tugas malaikat tersebut adalah untuk menolak dengan keras para penghuni neraka ke dalam neraka.

Menurut ilmuwan Islam, Abu Laits as-Samarqandi, beliau menjelaskan bahawa malaikat tersebut dinamakan sedemikian kerana mereka mengerjakan tugas dengan kaki mereka, sebagaimana mereka mengerjakannya dengan tangan mereka (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 20/126).

malaikat Zabaniyah

MALAIKAT Zabaniyah pernah disebutkan ALLAH SWT dalam al-Quran. Foto: Pexels

Baca juga 5 pesanan Malaikat Jibril kepada Nabi SAW yang wajib kita ambil tahu

Kisah di sebalik ayat
Menurut para ulama, ayat tentang malaikat Zabaniyah berkenaan diturunkan berikutan satu peristiwa yang berlaku antara Rasulullah SAW dan Abu Jahal.

Pada suatu hari, baginda solat berdekatan maqam Ibrahim. Ketika Abu Jahal mengetahui hal ini, Abu Jahal berkata:

“Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad sedang solat di dekat Kaabah, aku benar-benar akan memijak lehernya”

Kata-kata ancaman ini sampai ke pengetahuan Nabi SAW lalu baginda bersabda:

“Jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya).”

Turut disyorkan 70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini

ADA 10 malaikat yang wajib diketahui oleh umat Islam. Foto: Unsplash

Baca juga Zikir yang memenatkan 70 malaikat mencatatnya “Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan….”

Dalam jalur riwayat yang lain seperti yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Imam al-Tirmizi, serta Imam an-Nasa’i dan Ibnu Jarir, dari Ibnu Abbas, bahawa ketika Rasulullah SAW solat di maqam Ibrahim, Abu Jahal melewati Nabi SAW, dan mengancam baginda. Ancaman ini dibalas pula oleh Rasulullah SAW. Lalu Abu Jahal berkata:

“Wahai Muhammad, dengan apakah engkau mengancamku? Ketahuilah, demi ALLAH, sesungguhnya aku adalah penduduk lembah ini yang paling banyak sokongannya.”

Lalu ALLAH SWT menurunkan ayat 17 dan 18 dari Surah Al-‘Alaq untuk menjawab persoalan Abu Jahal, bahawa ada malaikat Zabaniyah yang akan mengheretnya ke neraka dan mengazabnya.

Ibnu Abbas berkata bahawa sekiranya Abu Jahal benar-benar memanggil golongannya (pengikut dan penyokongnya), nescaya saat itu juga malaikat azab akan mengambilnya. (Imam At-Tirmizi mengatakan periwayatan ini hasan sahih)

Maka, itulah malaikat Zabaniyah yang tugasnya menarik golongan ingkar kepada TUHAN ke neraka untuk dikenakan azab keras.

Semoga kita termasuk orang-orang tidak diketemukan dengan malaikat Zabaniyah dan dijauhkan daripada segala azab api neraka.

Sumber: Tzkrh

Foto: Pexels, Pixabay & Unsplash