Browsing Tag

maksiat

HUKUM HADIR MAJLIS PERKAHWINAN
Berita Semasa,

“Walimah nak nampak Islamik, panggil ustaz baca doa dan ayat al-Quran sikit-sikit” – Kamilin Jamilin

“Walimah nak nampak Islamik, panggil ustaz baca doa dan ayat al-Quran sikit-sikit” – Kamilin Jamilin

DALAM Islam, menghadiri majlis kenduri perkahwinan, jika dijemput, adalah menjadi satu kewajipan untuk hadir dan meraikannya.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bermaksud “Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya”.

Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud “Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai ALLAH dan Rasul-NYA.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca Juga Daki Gunung Everest, harus atau haram?

Baca Juga Percaya syurga bukan hanya untuk orang Islam? Ustaz Kamilin tegur kenyataan tidak berasas itu

Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya adalah wajib.

Namun, bagaimana pula jika undangan yang dijemput itu ada unsur yang boleh membawa kepada kemaksiatan dan kemungkaran? Adakah haram untuk kita pergi dan meraikan majlis tersebut?

Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin menerusi satu hantaran video di media sosialnya berkongsi hukum hadir ke majlis perkahwinan yang ada unsur kemaksiatan atau kemungkararan.

USTAZ KAMILIN JAMILIN

Ujarnya, pertama sekali menghadiri undangan walimah adalah wajib mengikut majoriti ulama, kecuali dalam beberapa keadaan antara yang pertama sekali disebutkan jika majlis itu ada maksiat atau kemungkaran.

“Terdapat dua situasi berkaitan perkara ini. Yang pertama kalau kita tahu dan tinggi sangkaan, bahawa sememangnya majlis itu akan ada unsur maksiat yang kita tidak mampu redai, contohnya ada karoake, tarian, joget dan kita tidak mampu untuk mencegahnya, maka walimah ini tidak wajib hadir.

Baca Juga Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Turut Disyorkan Adik Syahril, bukti jasa sang anak hingga akhir nafas seorang ibu

“Sepakat ulama dalam mazhab yang empat. Nabi SAW juga pernah dijemput sahabat untuk satu majlis jamuan makan, ketika masuk ke rumah sahabat, baginda ternampak seperti ukiran-ukiran makhluk lalu Baginda keluar dari rumah tersebut.

“Lantas Baginda menegur sahabatnya itu dengan memberitahu bahawa malaikat tidak akan masuk ke rumah yang sebegini. Sebahagian sahabat lain juga begitu, tidak akan masuk sehinggalah tuan rumah buang ukiran-ukiran ataupun patung, barulah mereka akan masuk.

ALLAH tidak akan bagi kita duduk dalam majlis yang ada kemungkaran yang tidak mampu kita cegah” (Surah al-An’am ayat 68).

“Bukan itu sahaja, tetapi kalau ramai-ramai yang datang menyokong, lagi membuka pintu fitnah yang tidak baik untuk agama seolah-olah kita reda dengan kemungkaran itu.

“Dalam konteks zaman sekarang juga, lagi banyak benda-benda mungkar dan lagha (marapu) tetapi nak nampak Islamik sikit, panggil mana-mana ustaz untuk bacakan doa dan al-Quran sikit-sikit pada permulaan majlis. Selepas itu rancak menari, bermain muzik dan sebagainya,” katanya.

Baca Juga Pertandingan bina badan patuh syariah di Kelantan, pertama seumpamanya di dunia

Turut Disyorkan Risau dengan ‘trend’ umrah untuk kejar populariti, Ustaz Kamilin Jamilin tegur pempengaruh.

Tambahnya lagi, bagaimana pula dengan situasi kalau kita tidak tahu akan ada maksiat-maksiat yang sebegitu?

“Yang ini kita mesti cuba sampaikan nasihat kita kepada tuan rumah secara berhikmah tetapi kalau masih nak diteruskan kemungkaran itu, lebih baik kita tinggalkan majlis itu sebagaimana majoriti ulama sebutkan.

“Dalam al-Quran, ALLAH SWT yang bermaksud “ALLAH tidak akan bagi kita duduk dalam majlis yang ada kemungkaran yang tidak mampu kita cegah” (Surah al-An’am ayat 68).

Porno
Berita Semasa,

Natijah ‘layan’ porno boleh memakan diri

Natijah ‘layan’ porno boleh memakan diri

PADAH memiliki 169 gambar dan video lucah dalam telefon bimbit, seorang bapa kepada tiga anak didenda RM6,000 oleh sebuah Mahkamah Majistret.

Sebelum itu, seorang pembantu kedai pernah diperintahkan membayar RM5,000 oleh Mahkamah Majistret lain atas kesalahan sama. Pemuda berkenaan memiliki 67 gambar dan 55 video lucah dalam telefon miliknya.

Kedua-dua kes itu direkodkan berasingan dan mendapat liputan meluas pada bulan lalu. Apa yang menyedihkan apabila pelakunya membabitkan saudara seagama kita.

Sedangkan Islam begitu melarang keras umatnya menghampiri zina. Hakikatnya, aurat sendiri pun jika tiada keperluan tidak boleh dilihat, inikan pula tanpa segan silu menonton aurat orang lain secara terang-terangan.

Apa pandangan Islam tentang hal itu? Benarkah menonton porno atau gambar lucah menyebabkan hati pelakunya gelap dan ibadahnya ditolak? Bagaimana pula jika seseorang hanya membaca bahan bacaan berunsur lucah?

Baca juga Haram menulis atau baca bahan bacaan berunsur lucah

Larangan keras

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, Sinar Islam Plus menemubual Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Jelas beliau, ketagihan menonton pornografi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, kaum, usia mahupun jantina.

Malah katanya, ia sesuatu yang membimbangkan kerana boleh memudaratkan bukan sahaja kepada diri, tetapi juga pasangan, anak-anak dan insan di sekeliling.

“Ketahuilah, Islam melarang keras umatnya terlibat dalam aktiviti menonton video lucah, apatah lagi hingga mengakibatkan ketagihan. Haram melihat aurat individu lain yang bukan mahramnya sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Mukminun, ayat 5-7,” katanya.

Jika mahu dirungkaikan satu persatu, terlalu banyak faktor penyebab ketagihan pornografi. Bagaimanapun, pendakwah itu mempunyai perspektif tersendiri.

Beliau berpandangan, perkara tersebut bermula dengan diri sendiri iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

Sedangkan, setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan apa segala tindak-tanduk, ungkapnya.

Baca juga Jaga diri elak berbuat jahat, berjuta saksi di Padang Mahsyar

Ia bertepatan dengan hadis diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin…”. (Hadis Riwayat Muslim)

Porno

MESKIPUN seorang hanya ketagih menonton video atau gambar lucah semata-mata tanpa melakukan perbuatan tersebut, perilaku itu tetap mengundang terjadinya zina pada kemudian hari. -Foto: Freepik

“Seandainya kita benar-benar menghayati maksud hadis ini, pasti kita akan menjaga diri daripada melakukan perkara yang memudaratkan sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat,” ujarnya.

Meskipun seseorang itu hanya ketagih menonton video atau gambar lucah semata-mata tanpa melakukan perbuatan tersebut, Ustazah Noor Rashidah menegaskan, perilaku itu tetap mengundang terjadinya zina pada kemudian hari.

“Banyak berita memaparkan jenayah seksual dalam kalangan masyarakat yang rata-ratanya bermula daripada ketagihan menonton pornografi.

“Sedangkan ALLAH berfirman dalam Surah al-Ankabut, ayat 45 yang menyebut bahawa solat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Maka jelaslah bahawa itu hikmahnya dan matlamat kefarduan solat iaitu mencegah individu yang mendirikan sembahyang daripada melakukan perkara-perkara dimurkai oleh ALLAH.

“Seandainya seseorang itu sudah solat, tetapi masih tidak mampu menghindari dirinya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, pasti ada ketidaksempurnaan dalam pelaksanaannya. Ia perlu dinilai semula,” ungkapnya.

Cenderung tinggalkan ibadah

Benarkah ALLAH tidak akan menerima ibadah orang yang menonton video dan gambar lucah?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Noor Rashidah menjelaskan, seseorang yang menonton pornografi hingga ketagihan atau tidak, amalnya tetap diterima oleh-NYA.

“Namun, rasa nikmat akan dicabut daripada hati sehinggakan dia tidak lagi serius dan seronok untuk beribadah.Akhirnya kelompok ini akan cenderung untuk meninggalkan kewajiban fardu dan berterusan di dalam kemaksiatan,” ungkapnya.

Beliau kemudian menukilkan pandangan yang pernah dikemukakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, at-Taubah Ilallah yang memperincikan kesan dan pengaruh maksiat.

Baca juga Usah seronok bergelumang maksiat, rupanya itu antara azab ALLAH

“Antaranya termasuklah terhalang daripada mendapat ilmu dan rezeki yang murah, merasa jauh daripada rahmat ALLAH, terpinggir daripada hubungan sesama manusia, segala urusan menjadi sukar serta hati menjadi gelap.

“Di samping itu, dirinya terhalang daripada melakukan ketaatan, memendekkan umur, mengheret kepada kemungkaran lain dan melemahkan rangsangan ketaatan, terhalang daripada mendapat doa nabi dan malaikat serta banyak lagi,” terangnya panjang lebar.

Impaknya bukan calang-calang. Bukan sekadar disebutkan dalam kitab-kitab agama, tetapi juga kajian kesihatan.

Lohong hitam

Porno

HENTIKANLAH daripada menonton porno atau video dan gambar lucah yang kelak akan mengundang sengsara. -Foto: Freepik

Memetik contoh kajian dijalankan oleh Universiti Cambridge pada tahun 2013, Ustazah Noor Rashidah menjelaskan, hasil dapatannya mendedahkan, otak seseorang yang gemar menonton pornografi hampir sama dengan penagih dadah!

Dalam kajian lain oleh Amirul Ashraaf Norman dan Nooraini Othman dari Universiti Teknologi Malaysia bertajuk ‘Ketagihan Pornografi di kalangan Remaja: Faktor dan Implikasi terhadap Sahsiah Diri Remaja’ jelas menunjukkan, perlakuan tersebut memberi kesan negatif terhadap perkembangan otak manusia.

“Mereka akan mudah mempercayai gambaran palsu (kenikmatan melakukan hubungan seks) yang akhirnya cenderung untuk meniru aksi yang dilihat dalam dunia sebenar.

“Bahkan, individu ‘bermasalah’ itu juga dilihat gemar menyendiri daripada bersosial bersama masyarakat. Ini adalah kesan daripada perkembangan otak yang tidak normal akibat daripada menonton video lucah,” ujarnya.

Kepada mereka yang sudah terjebak ke ‘lohong hitam’ tersebut, Ustazah Noor Rashidah berkata, masih belum terlambat untuk kembali semula ke alam normal.

“Kuatkan diri untuk berhenti dan cari sesuatu atau perkara lain yang berfaedah sebagai ruang ganti. Pada masa sama, bertaubatlah bersungguh-sungguh kepada ALLAH SWT atas ketelanjuran menzalimi diri sebelum ini.

Baca juga Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

“Ketahuilah, ALLAH MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI. Letakkan keazaman yang tinggi untuk tidak kembali melakukan perkara dimurkai-NYA. Satu lagi, banyakkanlah berdoa semoga ALLAH kuatkan hati, emosi dan minda untuk kita terus menjadi hamba-NYA yang berkualiti,” titipnya.

Bagi mereka yang terperangkap dengan kancah negatif itu, beliau berpesan agar jangan sesekali pernah mencuba untuk menontonnya atas apa jua alasan sekalipun.

Porno

KEPADA mereka yang sudah terlanjur melakukannya, masih ada kesempatan untuk bertaubat selagi hayat dikandung badan. -Foto: 123rf

ANEKDOT

Kesan menonton pornografi terhadap kesihatan

– Hilang keghairahan seksual.

– Mati pucuk.

– Tidak tertarik untuk melakukan hubungan seks di dunia sebenar.

– Menjejaskan kerjaya dan pengurusan hidup.

Impak dan pengaruh maksiat menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi

– Terhalang daripada mendapat ilmu.

– Terhalang daripada rezeki yang murah.

– Merasa jauh daripada rahmat ALLAH.

– Berasa terpinggir dari hubungan sesama manusia.

– Segala urusan menjadi sukar dan sulit.

– Hati menjadi gelap.

– Terhalang daripada melakukan ketaatan.

– Boleh memendekkan umur seseorang.

– Mengheret kepada kemungkaran yang lain.

– Melemahkan rangsangan ketaatan.

– Berasa bangga dengan maksiat.

– Mendapat penghinaan daripada ALLAH.

– Menganggap kecil terhadap maksiat kepada ALLAH.

– Kesan buruk maksiat terhadap semua makhluk yang bernyawa.

– Menyebabkan kehinaan dalam kalangan manusia.

– Boleh melemahkan akal fikiran.

– Menyebabkan hatinya tertutup dan mati.

– Mengundang banyak laknat.

– Terhalang daripada mendapat doa Nabi dan malaikat.

– Melemahkan perjalanan hati kepada ALLAH.

– Boleh menghilangkan banyak nikmat.

– Boleh mengabaikan diri sendiri.

– Merasakan kehidupan seolah-olah menjadi sempit.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Larangan ALLAH
Gaya Hidup,

Jauhi dosa jariah ini, agar tidak mengalir bila kita sudah meninggal dunia

UNGKAPAN dosa jariah begitu asing pada pendengaran kita berbanding istilah amal atau sedekah jariah.

Meskipun demikian, ia sememangnya ada dalam kamus kehidupan manusia dalam melayari kehidupan di muka bumi ini. Bahkan, dalam Islam juga memang ada disebutkan tentang hal itu.

Memetik portal berita Kumparan, dosa jariah merupakan perbuatan maksiat yang mana dosanya akan terus mengalir walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia.

Baca juga Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

Dalam buku berjudul Terima Kasih Semesta yang ditulis oleh Diza Rozika Barokah dkk, seseorang akan mendapat dosa jariah apabila dirinya mempelopori atau mengajak orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat.

Hal itu selari sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka seikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dosa jariah

BERLUMBA-LUMBALAH membuat kebaikan dan turut mengajak ahli keluarga dan orang lain bersama. -FOTO: 123RF

Dalam al-Quran, ada dinyatakan jelas bahawa bukan sahaja semua perbuatan manusia dicatat, tetapi juga dampak atau pengaruh yang ditimbulkan daripada tindak-tanduknya turut ditulis.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya KAMI menghidupkan orang-orang yang mati, dan KAMI tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu KAMI catitkan satu persatu dalam Kitab yang jelas nyata (lohmahfuz).” (Surah Yasin, ayat 12)

Baca juga Lakukan tujuh amalan ini supaya pahala kekal mengalir setelah kita meninggal dunia 

Berdasarkan kepada nas tadi, maka jelaslah betapa dahsyatnya dosa jariah itu. Sewajarnya kita ambil perhatian tentang perkara itu agak tidak sesekali terjebak dengannya.

Sinar Islam Plus kongsikan tiga jenis dosa jariah yang wajib dijauhi umat Islam daripada portal Kalam.sindonews dan Kumparan.com.

Berikut perinciannya:

1. Mempelopori perbuatan maksiat.

Mendengarkannya sudah membuatkan sesiapa sahaja gerun seolah-olah kita melakukan kesalahan dan dosa paling besar.

Baca juga ‘Saham’ dosa diwarisi ke kalau ajar orang lain buat maksiat?

Kepada mereka yang kurang jelas dengan maksudnya, mempelopori perbuatan maksiat itu bermaksud apabila seseorang melakukan perilaku maksiat di hadapan orang lain sehinggakan ramai orang yang mengikuti jejak langkahnya.

Barangkali ada yang melakukan maksiat, tetapi tidak mengajak orang lain dan pada masa sama juga tidak memotivasikan orang lain untuk melakukan perbuatan dosa sebagaimana dibuat olehnya. Namun begitu, perbuatan itu tetap dianggap mempelopori aktiviti maksiat jika ada orang yang menirunya mahupun menyebarkan apa yang dilihatkan hasil perbuatan kita tadi di khalayak.

Dosa jariah

JAUHI perbuatan maksiat yang boleh menjebakkan diri ke lembah kebinasaan dan menzalimi diri. -FOTO: PEXELS

Rasulullah SAW bersabda: “Dan barang siapa yang memulakan suatu pekerjaan yang jahat di dalam Islam, maka ke atasnya dosanya dan dosa mereka yang beramal dengannya selepasnya, tanpa dikurangkan daripada dosa mereka sedikit pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Mengajak orang melakukan kesesatan dan maksiat.

Jika tidak mempelawa orang lain berbuat jahat pun menerima ‘saham’ dosa, apalagi andai kita mengajaknya atau memberi galakan tersebut.

Walaupun mungkin kita sendiri tidak melakukannya, tetapi hanya sekadar melakukan propaganda terhadap orang lain supaya melakukan kesesatan atau maksiat, kita turut terpalit tempias dosanya.

3. Memasang video atau cerita porno di internet.

Dosa jariah

USAH sesekali terjebak dengan cerita atau penyebaran video pornografi yang memicu dosa jariah. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Baik memasang atau menyebarkan berita dan cerita pornografi menerusi internet, ia juga termasuk dosa jariah. Masakan tidak, jika hantaran berkenaan dilihat oleh orang lain sehingga menimbulkan syahwat, demikianlah juga dosa yang akan ditanggung oleh orang yang memuat naik video berkenaan dan menyebarkannya secara meluas.

Baca juga Sumbang mahram adalah haram dan zina terkeji

Justeru, jangan sesekali menjebakkan diri dalam tiga perbuatan yang disebutkan tadi. Perilaku tersebut hanya akan memakan diri sahaja.

Selagi ada orang yang mengikutinya, maka selama itulah juga dosanya akan mengalir dan melimpah sekalipun jasad kita sudah tiada di muka bumi lagi.

***Foto: Freepik

usah bergelumang dalam maksiat
Isu,

Usah seronok bergelumang maksiat, rupanya itu antara azab ALLAH

USAH terlalu seronok bergelumang dalam maksiat, ketahuilah bahawa itu sebenarnya antara azab ALLAH SWT.

Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan agama yang timbul di media sosial termasuklah kes seorang wanita yang menunaikan umrah dalam keadaan berihram lelaki sehinggalah hartawan yang terus-menerus melakukan tindakan yang bercanggah dengan syariat.

Kesemuanya perkara dilakukan tanpa sekelumit rasa malu terhadap ALLAH SWT, seolah-olah persendakan agama-NYA. Lebih menjijikan, ia ditayangkan kepada orang ramai di alam maya sepertinya berbangga dengan dosa yang dibuat.

Melihatkan situasi itu, pensyarah Fakulti Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi terpanggil memberikan pendapat beliau berkenaan isu tersebut.

“Sebagai Muslim, tugas menegur kemungkaran itu wajiblah dipenuhi. Bahkan, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari ALLAH,” tulisnya dalam satu hantaran yang dikongsikan di Facebook.

Baca juga ‘Saham’ dosa diwarisi ke kalau ajar orang lain buat maksiat?

Perkara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dalam kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya.’’ (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Barangkali ada yang bertanya, mengapa mereka ini masih kekal melakukan kemungkaran? Apakah mereka tidak takut akan azab ALLAH?

“Pada hakikatnya, keseronokan melakukan maksiat itu adalah salah satu bentuk hukuman dan balasan ALLAH yang berikan kepada manusia,” katanya.

Baca juga Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan

usah seronok bergelumang dengan maksiat

USAH terlalu berseronok kerana tidak ditimpa musibah sepanjang melakukan maksiat. Boleh jadi azab yang akan dikenakan oleh ALLAH kelak lebih lama dan perit.

Tambah beliau, ALLAH menghukum para pelaku dosa ini dengan mencabut rasa takut kepada-NYA. Apa yang tidak mereka ketahui, hakikatnya itulah seberat-berat azab bagi seseorang Muslim sehingga mereka tidak rasa gentar melakukan dosa.

Ulama Islam, Abu Hazim bin Dinar pernah menyebut, “Sekiranya engkau perhatikan TUHANmu kerap mengurniakan nikmat setelah engkau melakukan maksiat, maka berhati-hatilah.” (Rujuk Sifah al-Safwah, 1/386)

Baca juga Ada nikmat kubur buat orang beriman

Perkara ini juga diperincikan oleh agamawan, al-Imam Ibnu al-Jauzi:

“Hukuman ALLAH yang paling besar (ke atas seorang Muslim) ialah pelaku dosa itu tidak merasakan yang dia sedang dihukum oleh ALLAH. Dan lebih dahsyat lagi, mereka merasa seronok dengan hukuman (hati mereka dicabut rasa takut tadi) seperti mereka merasakan seronok dengan memakan harta yang haram, atau kekal melakukan dosa.” (Rujuk Sayd al-Khatir, 27)

Baca juga Jika tinggalkan suruhan ALLAH, tetap berdosa walaupun 10 kali ke Makkah

Menurut pensyarah berkenaan yang memetik pendapat al-Imam Ibnu Hajar, adakalanya ALLAH sengaja menangguhkan balasan buat para pendusta agar hukuman yang dikenakan akan lebih lama.

“Semoga ALLAH jauhkan kita daripada sebarang maksiat dan hukuman-hukuman yang kita tidak sedari.

“Ini tidak lain hanyalah muhasabah buat diri kita sendiri. Semoga ALLAH membimbing kita,” tegasnya.

Usah seronok bergelumang maksiat, rupanya itu antara azab ALLAH

Foto: Pexels

Menyesal
Isu,

Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

RAMAI menganggap taubat hanya dikhususkan untuk golongan pendosa semata-mata. Hakikatnya, setiap insan di muka bumi ALLAH SWT ini wajib berbuat demikian.

Mengertilah bahawa perbuatan tersebut merupakan suatu tuntutan untuk kita mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Masakan tidak, tiada seorang pun yang kalis dosa sama ada zahir mahupun batin.

Pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah menjelaskan, dosa zahir sering kali dilakukan oleh tujuh anggota kita iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki.

DA’I ZAHIRAH

Bagi dosa batin pula, katanya, ia lahir dari dalam hati kita. Pendek kata, kedua-dua perlakuan pincang tersebut hanya dapat dibersihkan dengan bertaubat kepada ALLAH SWT.

Baca juga Ada sebab mengapa Surah at-Taubah tiada lafaz bismillah

“Oleh sebab itu, taubat mempunyai fasa tertentu menurut ulama tasawuf. Ia merangkumi taubat orang awam iaitu mereka yang tidak mempelajari ilmu Tauhid; taubat daripada maksiat batin; taubat terhadap perkara melalaikan daripada mengingati ALLAH; taubat orang yang mengerjakan maksiat; orang yang bertaubat dengan menempuh jalan keteguhan hati dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan keburukan; orang yang terus bertaubat dalam keteguhan hati dan semangat yang tinggi serta terakhir ialah orang bertaubat, tetapi adakalanya berbuat dosa,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus secara maya baru-baru ini.

Tiap-tiap dosa, jelas pendakwah itu lagi, tiada salahnya andai kita bertaubat berkali-kali kepada ALLAH SWT.

“Ketahuilah, ALLAH SWT sangat sukakan orang yang memohon keampunan dan bertaubat kepada-NYA. Sesungguhnya, DIA MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG dan MAHA PENGAMPUN,” katanya.

Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW memegang bahunya seraya bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing ataupun pengembara…” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Taubat Cetus Kesihatan Jiwa dan Minda

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Da’i Zahirah, jelaslah bahawa kehidupan kita di dunia yang fana ini sememangnya hanya sebuah perjalanan dan pengembaraan.

“Dalam setiap perbezaan perjalanan itu, sebenarnya kita berangkat ke arah yang sama iaitu menuju ALLAH SWT. Jadi, di sinilah kita membuat keputusan untuk kembali, bertaubat dan memohon keampunan daripada YANG MAHA ESA.

“Semua itu dilakukan semata-mata untuk membersihkan diri dan kembali dalam keadaan suci kepada ALLAH pada suatu hari nanti iaitu dalam fitrah Islam,” ungkap beliau sambil menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap bertaubat apabila dirinya merasa sesal, meninggalkan dosa dan kembali mentaati Sang Khalik.

Foto: 123rf

Berita Semasa,

Segerakan taubat, jangan sampai hati jadi rosak gara-gara lambat bertindak

LEBIH sejam Amir Safwan (bukan nama sebenar) mengejutkan rakan sebiliknya, Asyraf Hamzah (bukan nama sebenar) bangun untuk menunaikan solat Subuh. Namun, usahanya tidak membuahkan hasil.

Pelbagai cara sudah digunakan untuk mengejutkan temannya itu termasuklah merenjis air ke muka Asyraf. Pemuda berusia 20 tahun itu tetap diam tidak berkutik. Nampak lena benar dirinya diulit mimpi.

Ini bukan kali pertama Asyraf bersikap begini. Memang sudah menjadi tabiatnya sukar untuk bangun pagi. Sejak mengenali Asyraf dua tahun lalu, hampir setiap hari solat rakannya terbabas.

Baru sahaja seminggu yang lalu, Amir melihat Asyraf menangis teresak-esak ketika sedang berdoa selepas solat. Pemuda sebayanya itu sudah bertaubat dan berjanji untuk menunaikan solat Subuh tepat pada waktunya.

Sepanjang tempoh seminggu, Amir gembira melihat perubahan Asyraf. Beliau boleh bangun sendiri tanpa perlu dikejutkan.

Namun, kini tabiat lamanya kembali. Ingatkan hanya kelmarin sahaja Asyraf terbabas Subuh gara-gara tidur lambat, tetapi nampaknya semalam dan pada hari ini juga Asyraf masih lagi begitu.

Sungguh, Amir buntu memikirkan sikap rakannya itu. Masakan tidak, sering kali perkataan taubat meniti pada bibir Asyraf. Namun, entah di mana silapnya, kata-kata itu tidak seiring dengan perbuatan.

Benarlah, manusia sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Walaupun sudah berulang kali memohon keampunan ALLAH SWT dan bibirnya mengungkapkan kata-kata taubat, tetapi kesilapan sama kadangkala tetap dilakukan.

Bukan mudah untuk istiqamah melakukan kebaikan. Itu merupakan cabaran kepada mereka yang bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana ALLAH SWT. Bagaimana status taubat seseorang jika berkali-kali melakukan dosa yang sama? Adakah taubat hanya untuk pendosa sahaja?

Syarat taubat

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam mendapatkan Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakuti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Mohd Farhan Md Ariffin.

MOHD FARHAN



Jelas beliau, taubat bermaksud meninggalkan perkara dosa atau perbuatan keji, menyesal dengan perbuatannya dengan sebenar-benar penyesalan dan berazam tidak akan mengulanginya. Ia sebagaimana pandangan yang dikemukakan oleh al-Qurtubi.

“Jika melibatkan harta, maka perlu dikembalikan atau memohon keampunan daripada pemiliknya. Ia merupakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam taubat. Jika gugur salah satu, maka taubatnya tidak sah,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada ALLAH SWT dengan taubat nasuha.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Melihat kalamullah berkenaan, Mohd Farhan berkata, jelaslah bahawa jenis taubat yang diterima dalam Islam merujuk kepada taubat nasuha.

“Ia merupakan anugerah ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang terpilih. Caranya adalah memohon keampunan daripada ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh selepas melakukan dosa dan tidak mengulanginya, membenci dosa tersebut dan sentiasa beristighfar setiap kali mengingatinya.

“Bertaubatlah dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh sehingga memadai dengan taubat pertama kali, menggabungkan unsur takut dan harapan, memastikan sentiasa taat dan menyedari kesilapan dan dosa serta sentiasa mengawasi diri,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Jika kita tergelincir selepas bertaubat, masih ada ruang untuk bertaubat lagi)

Ikhlas

Dalam pada itu, Mohd Farhan menjelaskan, taubat tidak cukup sekadar ucapan. Ia mesti disertai dengan kerelaan hati untuk berubah dan perjuangan anggota badan (mujahadah al-Nafs) untuk meninggalkan dosa.

Ketahuilah, orang yang mengulang kembali perbuatan dosa selepas bertaubat adalah termasuk dalam petanda taubatnya tidak diterima ALLAH SWT, terangnya.

“Begitu juga sekiranya individu berkenaan masih bercadang untuk mengulanginya, taubatnya tidak dikira.

Taubat

LAFAZ istighfar perlu senada dengan niat dalam hati untuk meninggalkan perbuatan dosa dan diiringi penuh rasa penyesalan.

“Andai masih mengulangi dosa yang sama, barangkali terdapat faktor ketiga yang mendorong untuk bertaubat seperti hasrat ingin berkahwin, berkeinginan terhadap kepentingan dunia, riak dan sebagainya. Maka, taubat yang dilakukan belum diangkat oleh ALLAH SWT,” katanya.

Menyambung hujahnya, Mohd Farhan menjelaskan, sekalipun seseorang itu sudah meninggalkan perbuatan dosa kerana ketidakupayaan mengulangi dosa yang sama, namun ia sama sekali tidak dianggap sudah bertaubat.

Umpamanya, seseorang penjenayah meninggalkan jenayah yang lazim dilakukannya akibat sudah tua dan tidak berupaya lagi. Maka, ia tidak dikira sebagai taubat.

“Taubat mesti dilakukan atas kerelaan hati yang ikhlas kerana ALLAH SWT untuk meninggalkan perbuatan dosa.

“Ketahuilah, tidak semestinya setiap taubat akan diterima oleh ALLAH SWT sekalipun telah sempurna segala syarat-syaratnya. ALLAH SWT berhak untuk menerima dan menolak taubat hamba-NYA.

“Oleh itu, setiap orang mesti mengulang-ulang taubat dengan harapan taubat akan diterima ALLAH SWT dengan sifat kasih sayang dan keluasan rahmat-NYA. Bagaimanapun, bagi taubat orang yang baru masuk Islam daripada dosa-dosanya yang lalu, ALLAH SWT menerima taubatnya,” katanya.

Adakah taubat hanya untuk dosa-dosa besar sahaja? Menjawab persoalan itu, Mohd Farhan berkata, para ulama bersepakat bahawa wajib bertaubat daripada dosa kecil mahupun dosa besar.

(Artikel berkaitan: Jangan bangga berbuat maksiat dan tayang pada orang… Buruk natijahnya nanti)

“Tidak boleh berlengah-lengah untuk bertaubat kerana ajal tidak mengenal waktu dan ketika. Kewajipan taubat adalah dituntut secara langsung,” katanya.

Seperkara lagi, Mohd Farhan mengingatkan agar lafaz istighfar (memohon ampun) perlu senada dengan niat dalam hati untuk meninggalkan perbuatan dosa dan diiringi penuh rasa penyesalan.

“Ingatlah, doa orang yang bertaubat bersungguh-sungguh lebih mudah makbul daripada doa ‘Asi (orang yang sering melakukan maksiat). Ibn Hajar al-‘Asqalani pernah berkata, dosa adalah kegelapan, manakala iman adalah cahaya.

“Maka, Muslim yang memiliki iman yang mantap akan sentiasa bertaubat daripada dosa walau sekecil mana pun. Hatinya yang disinari cahaya akan sensitif dengan sekelumit kegelapan. Namun, orang yang biasa dalam kegelapan, tidak akan menyedari sudah terpesong dan hanyut dalam dosa,” katanya.

Sebelum menoktahkan bicaranya, pensyarah itu mengingatkan agar umat Islam tidak sekali-kali mempersendakan taubat kerana sikap itu sama seperti berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT.

“Sikap ini ditegah sama sekali kerana ia merupakan hasutan syaitan agar selalu bergelumang dalam dosa. Ketahuilah, manusia yang memandang ringan terhadap taubat juga termasuk dalam belitan iblis agar berlengah-lengah dalam taubat.

“Manusia diberikan peluang taubat selagi mana roh belum berada di hujung kerongkong. Apabila tiba saat itu, maka pintu taubat sudah pun ditutup selama-lamanya,” ujarnya.

Laluan ke jannah

Fakta yang dinyatakan oleh Mohd Farhan turut disokong oleh pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran.

IMAM MUDA ARAN

Beliau mengingatkan, taubat bukanlah untuk golongan pendosa sahaja, tetapi ia perlu dilakukan oleh semua orang beriman.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “…Dan bertaubatlah kamu semua kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung.” (Surah al-Nur, ayat 31)

“Berdasarkan dalil berkenaan, jelas sekali kewajipan taubat adalah untuk semua orang yang tidak pernah terlepas daripada membuat kesalahan dan dosa.

“Tiada sesiapa yang boleh menggantikan taubat seseorang itu melainkan dirinya sendiri memohon ampun daripada-NYA dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh serta tidak mengulangi dosa yang pernah dilakukan.

“Itulah kepentingan taubat agar ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu. Penerimaan taubat itu akan menjadi laluan mudah untuk menuju ke jannah,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut menegur mentaliti segelintir masyarakat yang menunggu hari tua untuk bertaubat.

“Jangan sesekali menunda taubat kerana ia sangat bahaya untuk hati manusia. Bayangkan apabila bertambah dosa dilakukan itu, ia boleh meninggalkan kesan yang lain. Hati boleh menjadi hitam.

“Hanya dengan taubatlah yang mampu menyucikan kekotoran dalam hati. Sebaiknya, selepas melakukan dosa, bersegeralah memohon ampun daripada ALLAH SWT.

Taubat

TAUBAT bukanlah untuk golongan pendosa sahaja, tetapi ia perlu dilakukan oleh semua orang beriman.

“Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjadi dalil bahawa taubat seorang hamba yang bersungguh-sungguh iaitu taubat nasuha, ALLAH akan menerima taubatnya,” katanya.

Bahkan, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW yang maksum itu pun tidak pernah berhenti daripada beristighfar kepada ALLAH SWT.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada ALLAH SWT, sehari 100 kali.” (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Kepada satu soalan, Imam Muda Aran menjawab: “Antara tanda-tanda taubat kita diterima adalah sikap dan akhlak berubah menjadi lebih baik, jiwa dan dirinya dekat dengan masjid, pertuturannya menjadi baik, dirinya seronok melakukan ibadah dan sentiasa berterusan memohon ampun kepada ALLAH SWT tanpa pernah lelah.”

Sekecil mana pun dosa yang dilakukan, beristighfar dan bertaubatlah kepada ALLAH. Jangan biarkan diri terus hanyut dibuai keasyikan dunia yang bersifat sementara ini.

6 dosa tidak diampunkan walau sudah bertaubat

Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Begitupun, sebesar mana pun dosa seseorang itu, ALLAH SWT akan tetap memberikan keampunan kepadanya apabila hamba-NYA bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan berazam tidak mengulangi perbuatan dosanya.

Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menegaskan, sekalipun seseorang itu sudah bertaubat, tetapi ia tidak akan diampunkan-NYA jika mempunyai perkaitannya dengan dosa sesama manusia.

DA’I SYAFIQAH

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan (al-muubiqaat).” Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, apa saja dosa yang membinasakan tersebut?” Beginda bersabda: “Syirik kepada ALLAH, sihir, membunuh jiwa yang haram untuk dibunuh kecuali jika lewat jalan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, qazaf (menuduh wanita mukminah yang baik-baik dengan tuduhan zina).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Berdasarkan hadis itu, jelaslah terdapat enam dosa besar yang tidak akan diampunkan walaupun sudah bertaubat. Namun begitu, bagi dosa berkaitan syirik iaitu dosa hamba dengan ALLAH, jika seseorang itu sempat mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat sebelum meninggal dunia, maka dengan izin ALLAH, dosa syirik itu boleh diampunkan,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Bagi menebus dosa yang berkait dengan manusia, ujar Da’i Syafiqah, ia memerlukan kemaafan daripada manusia yang dizalimi dan diselesaikan di dunia juga. Jika tidak selesai, ia akan dibawa di mahkamah ALLAH di akhirat nanti.

Apabila melakukan dosa sihir, jelas beliau, individu berkenaan perlu mengucap dua kalimah syahadah, menyerahkan dirinya untuk menerima hukuman yang ditetapkan, memohon maaf kepada insan yang dizalimi dan bertaubat kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya.

“Mereka yang membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH SWT kecuali dengan alasan yang hak wajib dikenakan hukuman jenayah. Dalam Islam, pelaku pembunuhan haruslah dikenakan hukuman qisas (hukum balas).

“Kepada mereka yang pernah termakan riba, menyesallah atas perbuatan dilakukan dan seterusnya menukar daripada pinjaman yang konvensional kepada pinjaman cara Islam serta berazam tidak akan terlibat dengan dosa riba lagi,” katanya.

Mudah kata, Da’i Syafiqah menambah, mohon maaflah dan kembalikanlah hak insan yang dizalimi, seterusnya bertaubat kepada ALLAH SWT.

“Justeru, jadilah hamba yang sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH dan pada masa sama, tidak membuat kezaliman ke atas insan lain.

“Jagalah hubungan dengan ALLAH dan Jaga hubungan dengan manusia. Semoga kita tidak digolongkan dalam kalangan orang yang disebutkan tadi agar dosa-dosa kita dapat diangkat oleh ALLAH SWT dan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya,” katanya.

Taubat

HANYA dengan bertaubatlah yang mampu menyucikan kekotoran dalam hati dan membuatkan kita begitu menjaga pergaulan dan tutur kata yang baik.

ANEKDOT

AMALAN memudahkan taubat diterima ALLAH

1. Sentiasa menderma
Mereka adalah orang yang membelanjakan harta mereka semasa senang dan susah.

2. Menahan marah
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergelut. Orang yang kuat itu adalah yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Sentiasa memaafkan kesalahan manusia 
Sekiranya dianiaya atau ada orang yang melakukan kesalahan terhadap kita, maafkanlah mereka.

4. Suka berbuat kebaikan
Orang yang suka buat baik dengan menolong meringankan kesusahan orang lain. Mereka juga sanggup mengorbankan sebahagian nikmat yang telah diberikan oleh ALLAH SWT, pengorbanan mereka lakukan adalah sebagai tanda mensyukuri nikmat ALLAH SWT.

5. Cepat bertaubat
Tatkala melakukan dosa dan kejahatan yang mendatangkan kesan buruk kepada orang lain seperti melakukan zina dan sebagainya, mereka terus cepat-cepat teringat larangan dan ancaman ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman: “Tiadalah yang mengampuni dosa selain ALLAH.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 135)
ALLAH SWT mempunyai rahmat yang sangat luas dan cepat mengampunkan dosa-dosa manusia. Maka, orang yang diterima taubatnya menjadi seolah-olah tidak mempunyai dosa lagi.

Sumber: Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah

Foto: 123rf & Freepik