Browsing Tag

makmum masbuk

Masbuk
Ibadah,

Ini cara yang betul bila masbuk dalam solat

WALAUPUN terlambat, kita masih boleh menjadi makmum masbuk dalam solat jemaah. Masakan tidak, pahala berjemaah sudah terhidang di depan mata, takkan hendak dibiarkan begitu sahaja, bukan?

Meskipun demikian, ramai yang tidak terus mengangkat takbir dan mengikut pergerakan serta perbuatan imam.

Sebaliknya, ada yang memilih untuk menunggu sehingga imam berdiri pada rakaat seterusnya.

Baca juga Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Sebenarnya, bukan itu cara makmum masbuk dalam solat. Demikian antara teguran yang dilontarkan seorang pengguna Twitter, Faisal Rahim menerusi akaun media sosial miliknya baru-baru ini.

“Bila kita masuk masjid, imam dah iktidal, rukuk, sujud atau duduk antara dua sujud, kita kena angkat takbir dan terus ikut perbuatan imam tersebut.

Makmum

APABILA melihat imam sudah melakukan pergerakan seperti rukuk dan sebagainya, makmum masbuk hendaklah mengangkat takbir dan terus mengikut perbuatan imam itu. -Foto: 123rf

“Bukan tunggu sampai imam berdiri semula atau tahiyat akhir, baru nak ikut seperti yang ramai buat. Perbuatan ini tidaklah sampai berdosa, tetapi ia kurang tepat kerana menyalahi hadis yang suruh kita segera mengikut imam jika terlepas takbir,” coretnya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya, imam itu untuk diikuti. Justeru apabila dia rukuk, maka hendaklah kalian rukuk. Apabila dia berdiri untuk iktidal, maka hendaklah kalian berdiri iktidal.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Andai seseorang makmum masbuk tidak sempat rukuk dan tamakninah bersama imam dalam rakaat tersebut, beliau menjelaskan, kita perlu menambah lagi satu rakaat.

“Kalau dapat rukuk bersama imam, maka kita dah dapat rakaat tersebut (walaupun tak sempat baca al-Fatihah). Jadi, tak perlu tambah lagi (satu rakaat),” ungkapnya.

Kepada mereka yang masih kurang jelas dalam perihal makmum masbuk, usah terlalu runsing memikirkannya.

Menurut majalahilmu.com, masbuk bermaksud makmum yang ketinggalan atau tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca Surah al-Fatihah bersama-sama imam.

“Situasi masbuk boleh berlaku dalam setiap rakaat, menurut Mazhab Syafie,” katanya.

Baca juga Makmum jangan mendahului imam bila solat berjemaah

Dalam situasi imam sedang rukuk, makmum masbuk tadi terus mengangkat takbir dan berniat, lalu berdiri sebentar (sekadar bacaan subhanallah) dan terus rukuk bersama-sama imam.

“Jika makmum dapat berhenti bersama imam semasa rukuk, maka dia tidak perlu membaca al-Fatihah kerana bacaan surah berkenaan ditanggung oleh imam.

“Sekiranya makmum sempat berdiri bersama imam dalam tempoh yang singkat, bacalah al-Fatihah sekadar yang sempat. Kemudian, teruskan mengikut imam dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi majalahilmu.com.

Bagaimana pula cara duduk tahiyat ketika imam melakukan tasyahud akhir?

Dalam hal itu, majalahilmu.com menjelaskan, makmum hendaklah mengikut rakaat yang dia berada pada masa itu.

Masbuk

MAKMUM masbuk hendaklah duduk dalam keadaan iftirasy jika dia berada dalam rakaat kedua atau ketiga. -Foto: 123rf

“Pendek kata, jika dia dalam rakaat kedua atau ketiga, hendaklah dia duduk dalam keadaan iftirasy (duduk tahiyat awal) walaupun imam sedang duduk tawaruk (tahiyat akhir).

Baca juga Tertinggal tahiyat awal, perlu duduk semula atau terus berdiri?

“Bagi bacaan tahiyat pula, makmum masbuk boleh membaca sehingga akhir tahiyat,” ungkapnya.