Browsing Tag

makkah

EeKB_wlWoAMn3iZ
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ganti Kiswah Baharu Tanda Permulaannya Haji

no comment

PROSES menukar kiswah baharu dengan kain sutera hitam bersulam benang emas asli untuk menutupi kaabah melambangkan bermulanya musim haji pada tahun ini.

Projek membina kiswah baharu setiap tahun adalah kerja yang rumit kerana ia akan mengambil masa hampir setahun dengan melibatkan lebih 200 pekerja khas dan menggunakan ratusan kilogram sutera hitam.

Kerja-kerja menenun yang mengambil masa selama enam hingga lapan bulan melibatkan 114 penenun. Gambar: Arab News.

Kiswah di dalam bahasa Arab bermaksud pakaian yang dibuat untuk menutupi tubuh. Ia juga digunakan sebagai istilah untuk menutup kaabah dengan sutera. Kiswah akan dilekatkan pada dinding batu kaabah dan cincin tembaga di bahagian bawah pangkalan marmar sebagai pemberat.

Penghasilan kiswah diperbuat daripada 47 helai sutera semula jadi yang setiap satu berukuran 98 sentimeter (cm) kali 14 meter . Lapisan luar kiswah pula menggunakan sutera asli dengan sebarat 670 kilogram (kg). Di bahagian dalam lapisan kiswah dijahit dengan kapas yang kuat untuk membantu mengekalkan permukaan sutera di atasnya.

Kalimah ayat suci al-Quran yang disulam dengan benang emas asli menghiasi kiswah. Gambar: IslamicLandmark.Com

Benang emas menghiasi sutera hitam dengan ayat al-Quran yang membawa maksud “Tidak ada tuhan melainkan Allah”, dan “Kemuliaan bagi Allah”.

Kiswah juga mempunyai bahagian tali yang akan melilit keseluruhan kiswah bagi menahan berat. Panjangnya antara 46 meter dan lebar 95cm yang dibuat daripada 16 utas tali serta disulam dengan ayat-ayat al-Quran.

Salah satu daripada tali itu akan tertera tarikh pembuatan kiswah yang akan diletakkan pada setiap tahun.

Pintu kaabah turut dipasang dengan tirai yang mula dilakukan pada tahun 819 hijrah. Gambar: Islaahi Advinces.

Kiswa mempunyai tirai pada pintu kaabah. Tirai yang bersulam dengan ayat-ayat al-Quran yang disulam dengan benang perak dan emas mula kali pertama dipasang pada pintu kaabah pada tahun 1300 hingga 1396 bersamaan 819 mengikut kalendar Hijriah.

Kerja-kerja membuat kain kiswah di kilang yang dimiliki kerajaan Arab Saudi terletak di dalam kawasan Muzium Makkah. Gambar: Arab News.

Di mana Kiswah dibuat?
Kilang kiswah Al Kaaba di Makkah telah membuat kiswah sejak hampir 45 tahun. Ia dimiliki kerajaan Arab Saudi dan beroperasi sepanjang masa untuk menghasilkan kiswah. Tempoh untuk kerja sulaman saja mengambil masa enam hingga lapan bulan.

Kilang kiswah mula dibuka secara rasmi pada tahun 1977 dan mempunyai kira-kira 200 pekerja, 114 daripadanya bekerja hanya untuk menyulam.

Kerja-kerja menjahit bahagian sulaman untuk dicantumkan ke atas kiswah. Gambar: Shafaqna.

Empat langkah proses menghasilkan kiswah

Proses pertama, sutera mentah yang diimport dari Itali akan dicelup warna hitam selama 22 jam. Ia akan ditenun secara berhati-hati sehingga menjadi kepingan hitam polos. Kepingan yang siap akan dipisahkan beberapa bahagian untuk kerja sulaman menggunakan benang emas dan perak dan selebihnya akan dibiarkan berwarna hitam.

Selepas proses itu, bahan kain akan diuji ketahanan dan ketumpatannya, kemudian dicetak dengan corak untuk disulam oleh pekerja khas.

Mesin jahit kiswah antara yangterbesar di dunia mampu menjahit kain sebesar 224 meter persegi. Gambar: Inside The Haramain.

Secara keseluruhan, 54 helai kain diciptakan yang kemudiannya dijahit bersama agar sesuai dengan Kaabah. Proses ini dilakukan menggunakan mesin jahit terbesar di dunia dengan mampu menjahit kain sebesar 224 meter persegi.

Kilang ini juga menghasilkan lapisan kapas untuk kiswah dan penutup lain untuk digunakan semasa Haji.

Sepanjang 26 tahun, Ahmed Hussain Ba Anter bekerja di kilang itu, dia mengkhususkan diri dalam bidang sulaman, menjahit benang emas dan perak dalam tulisan jawi.

“Saya merasa sangat bersemangat dan dihargai ketika jari saya memegang jarum untuk menjahit kiswah,” katanya kepada The National.

Ahmad Hussain berharap dapat membantu memasang kiswah buat kali terakhir sebelum persaraannya tahun ini. Gambar: The National.

Kini Ahmad Hussain dilantik sebagai penyelia di kilang kiswah itu. Selama berkhidmat sebagai pembuat kiswah, Ahmad Hussain tidak terlepas peluang untuk turut serta dalam proses pemasangan kiswah pada kaabah ketika musim haji.

“Saya telah berpeluang memasang kiswah sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2020, 2015 dan 2013. Saya berharap dapat memasangnya buat kali terakhir pada tahun ini memandangkan tahun ini juga saya akan bersara berkhidmat di sini,” katanya.

Kiswah yang baharu di bawa masuk ke Masjidilharam terus ke dataran kaabah untuk digantikan dengan yang lama. Gambar: Twitter.

Cara Memasang Kiswah

Selepas subuh pada 9 Zulhijjah, kiswah baharu akan di bawa dari kilang ke masjidilharam. Empat bahagian kiswah baharu akan dinaikkan ke atas kaabah dan digantung satu persatu ke atas kiswah lama.

Semasa kiswah baharu dilampirkan, yang lama diturunkan dari bawah setelah melonggarkan tali sokongan.

Apabila kiswah yang baharu sudah siap, setiap potongan bahagian akan dijahit bersama untuk membentuk seperti kelambu yang lengkap.

Dari kulit hingga sutera
Kiswah tidak semuanya dibuat dari kain sutera sejak dulu. Pada era pra-Islam, Adnan bin Edd, iaitu moyang kepada Nabi Muhammad SAW, antara individu yang bertanggungjawab menghasilkan kiswah.

Pada tahun itu, penduduk Makkah membuat kiswah dengan bahan seperti kulit. Mereka mengumpulkan wang untuk membeli bahan dan membuat Kiswah.

Semasa zaman Nabi Muhammad SAW, tirai Yaman yang disebut burdah digunakan dan sutera diperkenalkan selepas itu. Warna hitam juga diganti hijau sebagai warna penutup.

Kiswah dulu dihasilkan di Mesir, pada tahun 1927 Raja Abdulaziz memerintahkan agar produksi kiswah itu harus dilakukan di Makkah. Ia kemudiannya diperbuat daripada kain baldu hitam berkualiti tinggi.

Pada tahun 1928 kilang pertama untuk pembuatan kiswah dibuka, di mana 12 alat tenun manual di bawa dari India termasuk 60 juruteknik pakar turut di bawa. Sejak itu hingga akhir 1950-an kiswah terus dibuat di Mesir atau Arab Saudi bergantung kepada keadaan politik. Dan akhirnya pada tahun 1958, kiswah terus kekal dihasilkan di Makkah hingga kini.

Sumber: The National News

2710756-1008980712
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Kad Haji Pintar Penuhi Segala Aspek Pengurusan Jemaah Tahun Ini

no comment

HANYA tinggal enam hari sahaja lagi iaitu 19 Julai 2021 masihi (Isnin) bersamaan 9 Zulhijjah 1442 Hijrah umat Islam seluruh dunia yang berpeluang mengejarkan ibadah haji tahun ini akan memulakan syarat wajib haji iaitu berwukuf yang merupakan kemuncak bagi ibadah haji.

Begitupun dalam kesibukkan melakukan persiapan menyambut jemaah dari seluruh dunia, kerajaan Arab Saudi buat kali pertama pada tahun ini telah memperkenalkan Kad Haji Pintar untuk kegunaan jemaah sepanjang melakukan ibadah haji.

Kad Haji Pintar yang dirasmikan Putera Makkah, Putera Khaled Al-Faisal yang juga Ketua Jawatankuasa Haji Pusat adalah teknologi yang akan digunakan untuk melayani para jemaah sepanjang perjalanan mereka.

Kad Haji Pintar boleh digunakan untuk pergerakan jemaah haji ke Makkah, mengurangkan masa menunggu bas dan meningkatkan imej visual di tempat pemeriksaan dan pelbagai kegunaan lagi yang dikeluarkan Pusat Penyambut Tetamu Al-Zaidi.

Selain itu, Kad Haji Pintar memberikan bacaan automatik permit haji dan menawarkan perkhidmatan perhotelan. Ia termasuk perkhidmatan pengangkutan bagasi ke tempat lawatan, ke masjid untuk melakukan tawaf atau mengunjungi Mina.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr. Abdulfattah Mashat, berkata Kad Pintar Haji dihubungkan dengan semua perkhidmatan yang disediakan untuk jemaah haji yang membolehkan mereka memasuki kem dan hotel dan menggunakan pengangkutan yang ada.

“Kad ini juga boleh digunakan untuk membeli-belah, mengeluarkan duit di ATM, menunjuk arah bagi jemaah yang sesat, mengawal masuk ke kem sepanjang waktu,” katanya yang turut mengiringi lawatan Putera Khaled Al-Faisal, semalam.

Pusat Kawalan Keselamatan Al-Shumaisi ketika masih dalam pembinaan pada Oktober tahun lalu. Gambar: Saudi 24 News

Lawatan beliau dimulakan dengan merasmikan projek Pusat Kawalan Keselamatan Al-Shumaisi. Projek itu meliputi kawasan seluas 1.6 juta meter persegi dan disokong oleh sistem kad pintar untuk pemeriksaan bermula di pintu gerbang digital.

Ia bagi memudahkan lalu lintas dan mengurangkan tempoh menunggu jemaah yang tiba ke Makkah pada waktu puncak dari 45 minit menjadi hanya tujuh minit.

Lorong bagi kenderaan juga ditambah dari enam menjadi 16 lorong dan turut disediakan lorong khas untuk bas, kenderaan pengangkutan, trak dan kenderaan kecemasan.

Projek pembesaran lorang kenderaan ketika dalam pembinaan tahun lalu. Gambar: Saudi 24 News

Ia juga merangkumi tempat letak kenderaan yang mampu memuatkan lebih 8,000 kenderaan serta zon pemeriksaan kenderaan.

Selain itu, ia turut merangkumi Pejabat Pentadbiran, Masjid, Pusat Pertahanan Awam, Lembaga Bulan Sabit Merah, Bangunan Pusat Keselamatan dan pihak Berkuasa Pemerintah.

Putera Khaled (tengah) ketika di beri taklimat oleh Dr. Abdulfattah. Gambar: Arab News

Putera Khaled turut mengunjungi tempat-tempat suci dan memeriksa persiapan di Arafah dan Mina, di mana dia mengunjungi model kem dan mendengar taklimat mengenai rancangan ketibaan jemaah.

Selain diberikan taklimat langkah pencegahan untuk mengekang penyebaran wabak koronavirus (COVID-19), seperti pemeriksaan visual dan pemeriksaan semasa masuk ke tempat tinggal.

Proses pembersihan telah dipergiatkan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman akan diedarkan di kalangan jemaah. Jarak sosial juga akan dilaksanakan di semua tempat seperti dalam bilik dan dalam pengangkutan.

Makanan siap tersedia untuk setiap jemaah di bilik mereka, tanpa perlu berkumpul di dewan makan. Lebih dari satu juta makanan telah disediakan untuk musim haji tahun ini, dengan mempertimbangkan standard kualiti dan keselamatan tertinggi.

Putera Khaled juga meninjau pelan pengangkutan membabitkan 3,000 bas penumpang telah disiapkan untuk jemaah, dengan masing-masing bas dapat menampung 20 orang. Bas akan disediakan di empat trek berdasarkan warna merah, hijau, kuning dan biru.

Setiap trek dihubungkan ke lokasi perumahan jemaah. Untuk mengatur dan mengurus semua jemaah, Kad Haji Pintar yang dirancang itu yang akan digunakan sepanjang masa merangkupi pelbagai aspek bagi kelancaran dan keselesaan jamaah.

 

Sumber: Arab News

CNBC iNDONESIA
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Arab Saudi Lulus Pelan Rancangan Kecemasan untuk Tunai Haji

no comment

UMAT Islam di seluruh dunia akhirnya mendapat kelulusan untuk melaksanakan ibadah Haji pada tahun ini apabila kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan mengenai Pelan Rancangan Kecemasan yang diluluskan, semalam.

Putera Abdul Aziz Saud meluluskan Pelan Rancangan Kecemasan haji.

Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdul Aziz bin Saud bin Naif yang juga Ketua Jawatankuasa Haji Tertinggi telah menandatangani pelan rancangan itu.

Arab Saudi bersedia menerapkan langkah pencegahan bagi mengawasi pandemik Covid-19 untuk melindungi 60,000 jemaah haji.

Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Leftenan General, Sulaiman bin Abdullah Al-Amro berkata, pihak berkuasa telah melakukan persiapan yang terbaik.

“Perancangan rapi ini dilaksanakan atas arahan Raja Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkotanya Mohammed bin Salman untuk memberikan keselesaan dan langkah keselamatan paling tinggi buat jemaah haji di kedua kota suci Makkah dan Madinah serta tempat-tempat tumpuan,” kata Sulaiman.

Tambahnya, ruang pemeriksaan telah dipergiat di semua kawasan kemudahan awam termasuk tempat tinggal para jemaah.

Tindakan pencegahan efektif, bersistematik dengan memberikan layanan terbaik antara langkah keselamatan penting diutamakan.

Putera Khalid Al- Faisal Abdulaziz mahu tarik pelabur untuk kembang sektor pelancongan Arab Saudi.

Sementara itu, kerajaan Arab Saudi juga mengumumkan beberapa wilayah di Makkah berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu antara perkara yang dalam perhatian mereka.

Putera Khalid Al- Faisal Abdulaziz, mengatakan bahawa wilayah-wilayah di bawah pentadbirannya mempunyai potensi pelancongan yang besar dengan kepelbagaian alam yang dimiliki.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai-pegawai Majlis Pembangunan Pelancongan, menekankan perlunya penerokaan baharu dan mempromosikan pelancongan di rantau ini.

Suasana di dalam Gunung Al-Qarah antara destinasi baharu yang mampu tarik pelancong. Gambar: Shahzaad Maroof.

Majlis Pembangunan Pelancongan berfungsi untuk pengembangan sektor pelancongan dan melancarkan inisiatif untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan pelancongan domestik.

Perbelanjaan bagi sektor pelancongan Arab Saudi dijangka mencapai USD 25.3 bilion pada tahun 2025 seperti yang dianggarkan firma penyelidikan pasaran Euromonitor International.

Kerajaan Arab Saudi juga berhasrat untuk menarik pelaburan bagi sektor pelancongan baharu bernilai USD 58 bilion pada tahun 2023.

Sumber: Arab News

medium_2021-06-28-6dcb095109
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Perjalanan Haji Merentasi Masa Diabadikan Dalam Mural

no comment

HANYA tinggal 14 hari saja lagi, umat Islam yang diizinkan Allah untuk menunaikan rukun haji tahun ini akan memulakan syarat wajib haji iaitu berwukuf di Arafah.

Selama lebih dari 1,400 tahun, jemaah haji dari seluruh dunia telah tiba ke kota suci Makkah. Dalam tempoh itu juga, pelbagai revolusi telah dilalui para jemaah untuk menunaikan rukun Islam kelima. Perjalanan umat Islam merentasi zaman mengerjakan haji telah diabadikan pada sebuah mural dan dipamerkan kini di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAIA), Jeddah, Arab Saudi.

mural sepanjang 36 meter dipamerkan kepada umum.

Karya seni mural sepanjang 36 meter itu menggambarkan sejarah perjalanan jemaah sepanjang zaman bermula daripada ketibaan darat yang dilalui oleh AlUla, kapal berlabuh di sepanjang bandar pelabuhan Laut Merah, hingga zaman moden yang tiba dengan pesawat terus ke terminal Haji KAIA.

Mural yang dilukis oleh seniman Arab Saudi, Mohammed Al-Rabat itu juga menggambarkan kawasan bandar lama Jeddah berhampiran pelabuhan dan lapangan terbang, beberapa armada pesawat Saudi dan ciri-ciri masjid besar dari pelbagai era, bersama dengan gambar peradaban dan kemakmuran yang disimpan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Suasana di dalam KAIA yang baharu akan mula sibuk menjelang musim haji

Mural ini terletak di balai ketibaan lapangan terbang, di mana ia dapat dilihat oleh semua pelancong tempatan dan antarabangsa yang tiba ke pintu masuk negara itu.

“Sebenarnya idea untuk melukis mural ini sudah lama iaitu sejak diawal pembinaan lapangan terbang ini lagi. Namun terdapat beberapa idea dan akhirnya saya memutuskan untuk memilih sejarah perjalanan haji. Saya mengambil masa selama lapan bulan untuk membuat penyelidikan di dalam studio di mana saya memilih peringkat perjalanan haji yang paling penting iaitu dari pelabuhan Al-Bunt lama ke KAIA di Jeddah.

Pelbagai kisah di sebalik kanvas mural yang dipamerkan.

“Selain itu, saya menggambarkan perjalanan haji darat yang dilakukan oleh kafilah jemaah haji di belakang unta yang dilukis di atas kanvas besar dengan menggunakan warna akrilik bersama dengan teknik percetakan layar stensil dan sutera.

“Pada satu bahagian lain, saya juga memasukkan beberapa ciri lama kota Jeddah dan gaya seni binanya yang unik, yang seperti beberapa tingkap lama Rowshan dan pintu gerbang kota dengan beberapa ciri moden di bandar yang dapat dilihat hingga hari ini.

“Saya kemudian beralih ke pengangkutan jemaah haji ke tempat-tempat suci dengan menggunakan pengangkutan lama, kemudian ada bahagian lama Masjidil Haram dan gambar moden yang mewakili perubahan yang dihasilkan dari pengembangan terbaharu,” katanya.

Menurutnya Mohammed, peringkat terakhir projek mural itu memerlukan masa dan usaha untuk menyelesaikannya. Memindahkan kerja dari kanvas ke kaca berwarna dengan ketinggian tiga meter dan lebar 36 meter bukanlah suatu perkara yang mudah.

“Kepentingan karya tidak pada nilainya, melainkan nilai sejarah dan pencapaian yang mewakili apa yang dicapai oleh seniman setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan, eksperimen dan praktikal,” katanya.

Kisah perjalanan haji sejak 1,400 tahun lalu diabadikan pada mural.

Ini bukan kali pertama sebuah mural yang menggambarkan perhimpunan agama yang luar biasa dipamerkan. Sejak kedatangan Islam, ibadah haji telah dilihat sebagai suatu keajaiban bagi ramai seniman Barat yang kebanyakkannya mencari dan untuk memahami makna spiritual dan visualnya.

Karya-karya penting termasuk ‘Abu Zayd on Hajj and the Caravan of Ziarah’ yang dilukis pada tahun 1237. Lukisan gambaran umum dihasilkan Louis-Nicolas de Lespinasse di Makkah pada tahun 1787, serta cetakan yang menunjukkan perarakan jemaah yang membawa kiswa Ka’bah dalam perjalanan dari Kaherah ke Makkah yang ditarik oleh Sheikh Yunus pada abad ke-13.

“Lapangan terbang adalah antara kemudahan penting di semua negara di dunia. Peranannya bukan semata sebagai pintu keluar dan masuk ke sesebuah negara bagi pelancong yang tiba sahaja, malah berperanan untuk menyampaikan imej yang mencerminkan budaya sesebuah negara,” kata Mohammed.

Diinspirasikan oleh karya seni yang pernah dipamerkan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh 36 tahun yang lalu, artis itu mengatakan bahawa dia mendapat idea untuk menghasilkan konsep yang sesuai dengan lapangan terbang di kota asalnya.

Musim haji kota Makkah akan menjadi tumpuan jemaah dari seluruh dunia.

“Karya seni ini dilukis daripada pelbagai bahan dan mempamerkan semua bentuk sejarah yang disimpan oleh Kerajaan Arab Saudi. Karya mural termasuk juga perjalanan sejarah lapangan terbang itu sendiri. Ini juga adalah sebahagian dari bangunan terpenting yang merangkumi peradaban dan menyampaikan gambaran negara itu semasa kedatangan pengunjung, sama ada melalui gaya seni bina lapangan terbang ini atau melalui kemudahan dalaman dan pelbagai karya seni yang terdapat di dalamnya,” tambahnya lagi.

Perjalanan yang paling dekat di hati semua umat Islam, seringkali menjadi topik menarik untuk digambarkan dan didokumentasikan oleh seniman. Dari lukisan, sketsa dan ilustrasi, hingga puisi, sastera dan fotografi, karya deskriptif yang menggambarkan perjalanan spiritual emosi dan cabaran fizikal dapat digambarkan melalui beberapa medium, sebuah jendela di mana orang luar dapat mendalami apa itu haji.

Sumber: Arab News

Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Hajar Aswad tidak kelihatan Hitam dari Dekat

no comment

GAMBAR Hajar Aswad atau batu hitam dengan resolusi hingga 49,000 megapiksel buat pertama kalinya ditontonkan kepada umum bulan lalu.

Apa yang menarik gambar resolusi tinggi itu mendedahkan batu hitam itu sebenarnya tidak kelihatan warna hitam dari dekat.

Pejabat Presidensi Umum Hal Ehwal Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi, berkata sebanyak 1,050 keping foto batu itu diambil dengan masing-masing berukuran 160 gigabit dan mengambil masa tujuh jam untuk dirakam.

Selepas dirakam foto itu diproses dengan teknik “focus stacking” yang menggabungkan beberapa foto yang mempunyai pelbagai titik fokus untuk menghasilkan gambar yang jelas, sehingga dapat melihat setiap bahagian batu yang tidak terlihat sebelumnya.

Keseluruhan proses rakaman dan edit itu mengambil masa lebih daripada 50 jam.

Ketua Pengajian Islam Universiti of Oxford, Afifi al-Akiti memberitahu CNN perkembangan itu signifikan kerana ia tidak pernah dihasilkan sebelum ini.

Daripada penelitian gambar itu, ilmuan warga Malaysia itu berkata: “Ia tidak kelihatan warna hitam…seseorang boleh melihat batu itu dengan secara amat dekat dan personal”

Gambar Hajar Aswad (Batu Hitam) diambil selama beberapa jam menggunakan teknik ‘focus stacking’.

“Dalam tradisi Islam, batu ini dianggap sebagai peninggalan suci, tetapi akal memainkan peranan utama dalam tradisi Islam,” katanya.

Walaupun ia sesuatu yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini: “Saya fikir umat Islam bersikap realistik dan sains memainkan peranan penting dalam agama ini, “katanya.

Makkah dianggap sebagai pusat kerohanian Islam kerana di situlah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertamanya pada awal abad ke-7.

Hajar Aswad diikat dengan bingkai perak tulen dan diletakkan di sudut tenggara Kaabah, iaitu struktur berbentuk empat segi di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah.

Ketika musim haji, Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail akan menjadi tempat tumpuan jutaan jemaah haji menjalani salah satu daripada lima rukun Islam untuk mengelilinginya dengan berjalan berlawanan arah jam.

Namun situasi itu tidak lagi berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda dunia tahun lalu dan tahun ini dengan hanya jemaah dari negara Arab Saudi dibenarkan menjalani ibadah itu.

Jemaah haji biasanya menyentuh, mencium, atau melambai ke arah Hajar Aswad ketika berjalan di hadapannya.

Jemaah haji biasanya menyentuh, mencium, atau melambai di Hajar Aswad.

“Batu itu asalnya berwarna putih, bukan hitam. Diperkatakan apabila jutaan manusia menyentuh batu itu sejak zaman Nabi lagi kerana memohon pengampunan dari Allah, batu itu bertukar menjadi hitam yang mencerminkan dosa-dosa umat manusia,” kata al-Akiti.

Menurut Oxford Islamic Studies Online, umat Islam menyatakan bahawa batu itu berasal dari Nabi Adam iaitu manusia pertama yang hidup di bumi. Dalam penyataan lain, dipercayai malaikat Jibril memberikan batu Hajar Aswad itu kepada Ibrahim ketika dia sedang membina Kaabah.

Menurut al-Akiti, saintis yang membuat kajian mendapati batu itu mungkin meteorit yang jatuh dari langit.

“Khalifah kedua Saidina Umar bin al-Khattab, yang pernah mencium Hajar Aswad menjelaskan kepada pengikutnya, beliau mencium batu hitam itu semata-mata kerana pernah melihat Nabi Muhammad SAW melakukannya,” kata al-Akiti.

Hajar Aswad diikat dengan bingkai perak tulen di sudut tenggara Kaabah.

Sumber dan Gambar: CNN, Haramain.Info

pexels-shahbaz-hussain-shah-4664347
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Seruan Illahi dari London Bridge

no comment

Minggu lalu, warga kota London diberi kejutan apabila mercu tanda terkenal Tower Bridge London bergema dengan laungan azan. Pastinya ia bukanlah gimik tetapi penghargaan yang diberikan pihak pengurusan Tower Bridge London kepada umat Islam sempena sambutan bulan Ramadan yang akan berakhir Rabu ini.

Usahawan Islam Britain, Kazi Shafiqur Rahman, 35 adalah insan istimewa yang dipilih untuk melaungkan azan sebagai tanda masuknya waktu berbuka puasa dan solat maghrib bagi kota metropolitan itu.

Kazi Shafiqur melaungkan azan mengikut gaya penyampaian Imam Besar Masjidil Haram, Makkah, Syeikh Ali Ahmad Mulla dengan lengkap mengenakan jubah putih menarik perhatian ramai warga kota yang melalui jambatan terkenal itu.

Selain pengurusan Tower Bridge London, acara laungan azan itu turut mendapat Kerjasama banyak pihak seperti Tower Hamlets Homes; East London Mosque & London Muslim Centre serta Tower Hamlets Interfaith Forum.

Menurut Kazi Shafiqur, melaungan azan di hadapan khalayak ramai adalah impiannya sejak kecil.

Syeikh Ali Ahmad Maulla

“Syeikh Ali Ahmad Maulla yang juga bilal di Masjidil Haram sejak 1975 adalah idola saya. Laungan azannya cukup dikenali diseluruh dunia dan semua umat Islam pernah mendengar beliau melaungan azan.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi penghargaan untuk berada di sini. Saya hanya individu biasa dan bagi saya untuk diberkati dengan peluang seperti ini kita harus merendah diri,” katanya yang sudah 20 tahun menjadi bilal dan kali kedua azan di kota Londan ini.

Tahun lalu, beliau pertama kali diberi penghargaan melaungan azan di tengah-tengah pusat kewangan London, Canary Wharf dan video azannya ditonton berjuta-juta kali di laman sosial.

Katanya, , dia berharap dapat melaungan azan di lokasi ikonik terkenal lain seperti Masjid Besar Sheikh Zayed di Abu Dhabi.

“Setelah menyampaikan azan di Canary Wharf tahun lalu, saya menyedari bahawa panggilan ini adalah doa dan satu pesan yang kuat dan saya perlu menghantarnya ke seluruh dunia melalui media sosial.

“Ini memiliki jangkauan yang sangat besar bahkan di LinkedIn dan banyak orang bukan Islam mengatakan betapa memukaunya mereka mendengar azan dan bertanya tentang apa sebenarnya yang tersirat didalam azan itu,” katanya.

Tambahnya, pada awalnya beliau terkejut dengan jumlah tontonan azannya tahun lalu tetapi beliau menyedari bahawa ia adalah firman Tuhan dan panggilan untuk berdoa dan oleh itu ia pasti menjangkau banyak orang yang menontonnya.

“Kesan azan tahun lalu sungguh sukar saya percayai. Video itu menjangkau berjuta-juta penonton.

Katanya kepada ArabNews, beliau merasa gugup apabila diminta melaungkan azan kali pertama tahun lalu dan tidak mahu melakukan kesilapan.

“Saya tidak mahu membuat kesilapan dan saya mahu memenuhi harapan semua orang khususnya umat Islam. Saya hanya mengingatkan kepada diri saya bahawa saya lakukan ini demi Allah sahaja.

“Saya hanya orang biasa tetapi saya rasa Allah telah memberi saya suara dan peluang seperti itu, yang mana saya bersyukur sangat. Ini memberi saya rasa kepuasan bahawa azan yang saya sampaikan dihargai di seluruh dunia. Itu menjadikan saya lebih ingin mendekati dengan Allah,” katanya.

Sumber: ArabNews

Mecca Classic
Jendela Dunia, Video,

[Video] Fathu Makkah : Trivia 20 Ramadan

no comment

Fathu Makkah (فتح مكة)  memberi maksud Pembebasan Kota Makkah daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliyah.

Berlaku pada 20 Ramadan 8 Hijrah, di mana Nabi Muhammad SAW  berserta 10,000 anggota pasukan tentera Islam bergerak dari Madinah menuju Makkah, dan kemudian menguasai Makkah secara keseluruhan tanpa pertumpahan darah.

Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani pada bulan Zulkaedah Tahun ke-6 Hijrah di antara Quraisy dan Muslim untuk melakukan gencatan senjata selama 10 tahun.

Meskipun hubungan yang lebih baik terjadi antara Makkah dan Madinah setelah menandatangani Perjanjian Hudaybiyah itu, namun ia tidak berkekalan.

Perjanjian itu telah dirosakkan oleh Quraisy dengan sekutunya Bani Bakr, menyerang Bani Khuza’ah yang merupakan sekutu Muslim.

Semasa dalam perajalanan memasuki kota Makkah, Rasulullah membahagikan dua pasukannya untuk memasuki Kota Makkah. 

Khalid bin Walid ditempatkan di sayap kanan, sementara Zubair bin Awwam memimpin pasukan sayap kiri dan membawa bendera Nabi SAW melalui dataran tinggi. 

Setelah memasuki kota Mekkah Nabi Muhammad mengelilingi Kaabah dan bertakbir di setiap sudutnya. Pada hari pembukaan kota Makkah juga umat Islam telah menghancurkan berhala yang ditempatkan di dalam dan sekitar Kaabah.

Israk Mikraj
Gaya Hidup, Pilihan Editor, Video,

[Video] ISRAK & MIKRAJ : Hadiah Ubati Kesedihan Rasul SAW

no comment

Israk dan Mikraj dikatakan peristiwa yang memberi keceriaan dan kegembiraan pada baginda setelah melalui “tahun kesedihan” di mana baginda kehilangan isterinya Khadijah serta bapa saudaranya, Abu Talib. Keduanya adalah tunggak kepada dakwah baginda sebelum ini. Peristiwa ini juga berlaku setelah dakwah baginda ditolak oleh penduduk Taif.

Peristiwa ini telah merubah corak hidup umat Islam dan merupakan salah satu peristiwa terpenting untuk umat Islam.

Klik video yang disediakan uituk mengetahui sejarah dan perkara penting dalam peristiwa Israk Mikraj.

#israk #mikraj #islam #dakwah #muslim #solat #SinarHarian
#sinarislamplus #israkmikraj