Browsing Tag

Makan telur buaya

Makan telur buaya
Hukum,

Walaupun buaya haram dimakan, tapi telurnya halal disantap

Walaupun buaya haram dimakan, tapi telur buaya halal disantap

VIDEO memaparkan seorang lelaki memakan telur buaya yang tular baru-baru ini mengundang perbualan ramai. Masakan tidak, telur yang disantap itu bukan calang-calang haiwan!

Namun, pemuda berkenaan memakannya untuk mengelak ia menetas. Beliau yang sememangnya menjaga beberapa haiwan eksotik tidak mampu menampung lagi andai ‘lahirnya’ anak buaya baharu lagi.

Telur buaya

VIDEO seorang lelaki makan telur buaya tular di TikTok baru-baru ini yang mengundang ulasan netizen tentang status menjamah hidangan yang disifatkan pelik itu. -Foto: TikTok @khairuljohari27

Rakaman video yang tular di TikTok itu turut memaparkan isteri lelaki tersebut menggoreng telur buaya berkenaan.

Dalam perkongsiannya, lelaki itu turut menyatakan, telur buaya mempunyai rasa tersendiri iaitu lebih kenyal dan lemak, berbeza dengan telur ayam atau itik.

Sebenarnya, bolehkah kita memakan telur buaya dalam Islam?

Menerusi Maktabah Albakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, walaupun buaya dihukumkan sebagai haiwan yang haram untuk dimakan dagingnya, namun telurnya tetap dihukumkan sebagai halal untuk disantap mengikut pendapat yang sahih.

Pandangan itu sebagaimana dilontarkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak.

Bagaimanapun, andai ia datang daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, terdapat dua pendapat, tetapi pandangan terkuat adalah ia dikira suci, ungkapnya.

DR ZULKIFLI

“Al-Khatib al-Syirbini juga menjelaskan perkara ini dengan mengatakan, terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya.

“Dalam Kitab al-Majmu’, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci dan ia adalah pendapat yang rajih. Maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #2202: Makan Telur Buaya.

Bagaimanapun, ujar agamawan itu, umat Islam diharamkan untuk memakan apa yang mudaratkan seperti telur ular.

“Begitu juga dengan telur yang sudah rosak hingga tidak boleh lagi berkembang untuk menetas. Ia dianggap sebagai najis, menurut Syeikh Nawawi al-Jawi.

“Selain daripada semua itu, telur tersebut dikira sebagai suci fan boleh dimakan sekalipun daripada haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya seperti burung hida’ah (sejenis burung helang), gagak, helang, hantu, buaya, penyu dan seumpamanya kecuali telur ular,” terangnya panjang lebar.

Fakta tersebut turut disokong oleh pendakwah dan penulis, Ustaz Addien Abdul Kadir.

USTAZ ADDIEN

Beliau menegaskan, telur haiwan yang haram dimakan hukumnya adalah suci dan boleh dijamah selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat kepada badan.

“Hanya telur ular diharamkan dalam Mazhab Syafie kerana ada mudarat, menurut I’anah al-Tolibin dan Hasyiah Qalyubi wa Umairah.

“Begitupun, perbahasan ulama itu hanya membahaskan tentang hukum memakannya di sisi agama. Geli atau tidak itu bukan sumber hukum syarak,” kongsinya menerusi bebenang di Twitter miliknya.

Walaupun halal dalam agama, beliau mengingatkan, ia tidak semestinya sama di sisi undang-undang sesuatu negara terutama bagi haiwan terancam seperti penyu.

“Anda boleh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997. Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 selain penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

“Justeru, wajib mentaati undang-undang pemerintah yang membawa kepada maslahat (kebaikan) kepada negara selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam,” titipnya.

@khairuljohari27

Replying to @azri_juhari saya try buat n rasa telor mata buaya. telor mata buaya ni rasa kenyal2 n creamy2 sikit.. tang kuning sedap.. tang putih tu rasa lain macam sikit 😅

♬ Musik Relaksasi – Formasi

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.