Browsing Tag

Majlis Khatam Al-Quran 2.0

Majlis Khatam Al-Quran
Berita Semasa,

Sinar Islam Plus teruskan tradisi Majlis Khatam Al-Quran 2.0, 32 peserta OKU penglihatan turut serta

Sinar Islam Plus teruskan tradisi Majlis Khatam Al-Quran 2.0, 32 peserta OKU penglihatan turut serta

SERAMAI 32 peserta orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran bersama mashaf braille masing-masing pada Majlis Khatam Al-Quran 2.0 di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor hari ini.

Dalam program yang diadakan di Studio F itu, para peserta membaca surah-surah pilihan daripada juzuk 30 kitab suci berkenaan.

Penasihat bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah ketika ditemui melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan peserta dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Yayasan Maghfirah, Gurney Training Centre dan Universiti Sains Islam Malaysia itu.

Walaupun cacat penglihatan, namun katanya, mereka berupaya membaca dan memahami kalamullah itu lebih daripada insan yang celik.

“Mungkin mata mereka buta, tetapi tidak hati mereka. Malah, ada yang celik al-Quran lebih hebat daripada kita yang sempurna penglihatan.

Majlis Khatam Al-Quran

ANTARA peserta OKU penglihatan yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus.-Foto: ROSLI TALIB

“Ketika saya dekati mereka tadi, saya dimaklumkan, ada (peserta) yang hampir khatam al-Quran kali kedua pada bulan Ramadan ini. Bayangkan betapa hebatnya mereka mampu menghabiskan seluruh isi al-Quran itu walaupun kita kini dalam pertengahan bulan mulia itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Baca juga Majlis Khatam Al-Quran SI+ platform lahirkan generasi berjiwa al-Quran

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maghfirah, Muhamad Shuib Norudin; Naib Yang Dipertua Pertis, Jasmadin Budin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir turut memuji usaha yang dilakukan bahagian Islamik Sinar Harian, Sinar Islam Plus atas penganjuran program tersebut buat kali kedua.

Beliau berharap, program itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang terutama melibatkan warga OKU penglihatan.

“Ia supaya mereka tidak terasing dengan masyarakat sekeliling.

“Pada saya, usaha yang sangat baik dan seharusnya kita beri perhatian kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Azri menyambut baik program yang mengajak kita mendekatkan diri masyarakat kepada al-Quran.

“Ini kali pertama pihak MBI Selangor menaja kerana ia suatu majlis kerohanian yang baik untuk ,” ujarnya.

Majlis Khatam Al-Quran

SERAMAI 32 peserta OKU penglihatan membaca surah-srah dari juzuk 30 dalam al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus pada Jumaat. -Foto: ROSLI TALIB

Beliau berharap program sedemikian dapat diadakan untuk tahun-tahun seterusnya selaras dengan visi kerajaan negeri.

“Kami juga ada lakukan satu lagi program hampir sama, ’30 Hari 30 Ayat’ yang disiarkan di laman sosial MBI Selangor,” katanya.

Bertemakan ‘Tinta Emas Mencipta Generasi Taqaddum’, majlis itu turut mendapat sokongan daripada MBI Selangor se­laku rakan strategik.

Semua peserta dibimbing dua orang mua­lim bertauliah­­, Ustaz Muhammad Halim Zainuddin dan Ustaz Khairi Maidin.

Setiap peserta turut diberikan sijil berserta beberapa hadiah iringan lain.

Majlis tersebut dipancarkan secara langsung melalui semua platform media sosial Sinar Harian termasuk Facebook Sinar Islam Plus, SinarPlus dan Sinar Bestari.

***Penulis: Nurulfatiha Muah & Sarrah Mohsin