Browsing Tag

main phone waktu khutbah Jumaat

main-Handphone
Ibadah,

Paling syok main telefon ketika khatib baca khutbah. Jauhi amalan sia-sia itu agar pahala solat Jumaat terpelihara

HARI Jumaat digelar penghulu kepada segala hari kerana ada begitu banyak sunnah yang terkandung sepanjang hari tersebut sama ada memperbanyakkan selawat, berzikir dan sebagainya.

Hari istimewa ini sangat penting, terutamanya bagi golongan Adam, kerana ia membuka peluang untuk menghapuskan dosa-dosa kecil melalui solat Jumaat yang wajib dihadiri para Muslimin.

Sabda Nabi SAW, “Seseorang yang mandi dan bersuci pada hari Jumaat sekadar yang termampu, memakai minyak dan wangi-wangian, kemudian ke masjid dan tidak mengganggu para jemaah dan seterusnya mendirikan solat yang ditentukan, diam ketika imam berkhutbah. Maka segala dosa kecilnya akan diampunkan di antara Jumaat dan Jumaat yang akan datang.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Keistimewaan hari Jumaat yang perlu anda ketahui

Turut disyorkan Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

Hari Jumaat peluang hapuskan dosa kecil

Jika melihat pada hadis berkenaan, cara untuk menghapuskan dosa ringan pada hari Jumaat bagi kaum lelaki adalah hanya dengan mendirikan solat Jumaat di masjid, menyucikan diri sebelum ke masjid serta fokus mendengar imam berkhutbah.

Kedengaran mudah, bukan? Namun, hakikatnya masih ramai lelaki tidak mampu meraih ganjaran pahala tersebut dengan sempurna gara-gara satu perbuatan ini, iaitu tidak mendengar khutbah Jumaat.

Bukan semua makmun lalai. Majoritinya patuh dengan saranan Rasulullah lalu mereka duduk dan khusyuk mendengar khutbah.

Namun ramai juga yang tidak prihatin dengan arahan pihak masjid lalu mereka mengisi masa 30 minit di masjid dengan makan pisang di beranda masjid, bersenang lenang berbual bual sesama sendiri dan bergurau senda. Paling tidak bermain games atau ‘skrol’ semua aplikasi media sosial di telefon bimbit sambil tersenyum-senyum.

Ketahuilah, solat Jumaat itu bukan pada solat dua rakaat sahaja, namun ia bermula pada khutbah itu sendiri dan sehingga imam memberi salam.

Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengingatkan kita agar fokus dan tidak melakukan perkara sia-sia ketika imam sedang berkhutbah. Sabda baginda: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat “diam” dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga 8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat 

Lagha penyebab pahala tidak diraih
Menurut penjelasan daripada jumhur ulama, maksud lagha atau lalai dalam hal ini ialah apabila batalnya fadilat Jumaat yang ada.

Dalam erti kata lain, kita tidak mendapat fadilat dan kelebihan penuh yang ada pada solat Jumaat jika kita bersifat lalai dalam mendengar khutbah Jumaat.

Abu Hurairah RA berkata, “Ketika Rasulullah sedang berkhutbah, Abu Zar bertanya kepada Ubai bin Ka’ab: “Bilakah turunnya surah ini?” Namun, Ubai tidak menjawabnya. Apabila selesai solat, Ubai berkata kepada Abu Zar: “Kamu tidak mendapat apa-apa dari solat kamu hari ini melainkan kamu telah lagha.”

Kemudian, Abu Zar telah bertemu Rasulullah dan menceritakan perihal tersebut, lalu Baginda menjawab: “Benarlah kata-kata Ubai.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Turut disyorkan Sudahlah ditimpa musibah, pahala pula hilang

Ada sebahagian ulama yang berpandangan bahawa ganjaran solatnya itu menjadi sama sahaja dengan solat biasa, iaitu Solat Zuhur disebabkan sifat lagha tersebut.

Walaupun seseorang itu dianggap sebagai lalai, namun solatnya masih sah. Cuma fadilatnya yang berbeza.

Pun begitu, janganlah kita menjadi sebahagian orang-orang rugi yang tidak meraih pahala Hari Jumaat sepenuhnya hanya kerana satu perbuatan kecil.

Sebaliknya, manfaatkan peluang yang sudah terbuka luas untuk menghapuskan dosa ringan pada hari istimewa itu.