Browsing Tag

MADAD

MADAD
Berita Semasa,

Selepas pendidikan percuma, MADAD bakal buka masjid lengkap dengan kapsul hotel tanpa bayaran

NAMA Murtadha Dakwah Centre (MADAD) tidak asing lagi dengan inisiatif pendidikan percumanya kepada masyarakat.

Sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, lebih 40 pelajar berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dilahirkan. Ia benar-benar satu pencapaian begitu mengagumkan.

Selepas keberhasilannya mengendalikan projek itu, Pengarah Urusannya, Ustaz Mohamad Ya’akub Yusra Mohd Yusof mengumumkan, masjid yang terletak di MADAD di Sungai Petani, Kedah dijangka bakal memulakan operasinya menjelang 1 Ramadan ini.

“Alhamdulillah kita sudah mencapai tahap 90 peratus siap. Ia merupakan projek paling laju apabila hanya mengambil masa sekitar kurang 12 bulan untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada April tahun lalu, media tempatan melaporkan, MADAD bakal membangunkan pusat komuniti Islam bertaraf antarabangsa yang merangkumi kemudahan sebuah pusat tahfiz integrasi, masjid berasaskan ilmu falak, kapsul hotel dan pengurusan jenazah yang siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Lebih menarik lagi apabila semua kemudahan itu disediakan secara percuma.

MADAD

USTAZ Mohammad Ya’akub Yusra (kanan) ketika menerima Anugerah Usahawan Islam Moden 2023 yang disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada majlis anugerah BISA di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Usahawan Islam Moden 2023 itu menjelaskan, istimewanya masjid itu apabila ia turut dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak seumpama pusat hiburan berbayar sedia ada di Malaysia.

Baca juga Enam anugerah bernuansakan Islam ungguli anugerah BISA

“Kita ada penaja khas untuk kemudahan ini. Selain itu, masjid ini juga menyediakan kemudahan tandas yang cantik ibarat seperti berada di pusat beli-belah, di samping 26 buah katil hotel.

“Di situ juga kita sediakan kapsul hotel dalam masjid yang menggunakan sistem automasi. Mudah-mudahan, ia memberi satu penjenamaan kepada masjid.

“Kita bukan sahaja mahu (menyemarakkan) dari sudut pengimarahan (masjid), tetapi kita mahu (orang memandang) Islam itu cantik, ALLAH SWT juga cantik dan DIA suka kepada kecantikan,” ungkapnya.

Difahamkan, masjid yang akan dibuka tidak lama lagi itu akan beroperasi selama 24 jam sebagai pusat sehenti. Malah, kapsul hotelnya boleh dikunjungi semua orang termasuk musafir secara percuma.

Berhubung dengan kejayaan diraih dalam anugerah BISA, Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra yang dikenali ramai sebagai Ustaz Saham tidak menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab yang besar buatnya.

Baca juga Lepak minum kopi tepi pantai cuma ‘release’ sikit saja. Masjid ialah lokasi ‘healing’ terbaik

“Ini kerana orang memberi kepercayaan, maka sudah pastilah ada sesuatu yang kita akan diamanahkan oleh ALLAH SWT.

MADAD

MASJID MADAD akan beroperasi selama 24 jam sebagai pusat sehenti. Malah, kapsul hotelnya boleh dikunjungi semua orang termasuk musafir secara percuma. -Foto: madadcentre.com

“Sudah tentu penghargaan ini saya anggap untuk membawa MADAD lebih baik sama ada menerusi platform bisnes, pendidikan mahupun aspek dakwah,” katanya.

Menurutnya, MADAD mempunyai 14 anak syarikat untuk membantu penjanaan dalam perbelanjaan khususnya pendidikan percuma menerusi pusat tahfiznya, selain pengurusan jenazah dan misi-misi banjur.

“Ini termasuklah projek terbaharu kami untuk memberikan pendidikan percuma di Lubnan dan Syria.

“Sudah pastilah kita mengharapkan ALLAH SWT memberikan kebaikan terhadap apa yang diusahakan,” ungkapnya.

Menelusuri penubuhannya MADAD dahulunya dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha diasaskan oleh abang Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra iaitu Allahyarham Ustaz Murtadha Mohd Yusof pada Januari 2018 di Kampung Teluk, Sungai Petani.

Selain ditubuhkan dengan matlamat memberikan pendidikan percuma, MADAD berhasrat untuk menjadi organisasi yang menyediakan dakwah, amal dan sistem automasi untuk ummah.