Browsing Tag

lupus al-Quran

Al-Quran
Berita Semasa,

Pelihara kesucian al-Quran setiap masa, walaupun ketika lupuskannya

Pelihara kesucian al-Quran setiap masa, walaupun ketika lupuskannya

BETAPA luluhnya hati apabila melihat naskhah al-Quran dibuang di dalam longkang. Tergamaknya individu tidak bertanggungjawab berbuat demikian terhadap kitab suci umat Islam.

Benar, itulah yang dirasakan oleh kebanyakan daripada kita apabila menyaksikan video yang tular di media sosial baru-baru ini. Tidak sangka perbuatan sebegitu berlaku dalam negara sendiri.

Bayangkan ada 13 buah mashaf al-Quran ditemui dalam sebuah longkang di Tasik Sri Murni Jinjang, Gombak baru-baru ini.

Susulan penemuan itu dan aduan yang dibuat, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seskyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

Semua al-Quran tersebut bagaimanapun sudah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama untuk disimpan.

Ekoran insiden berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bekerjasama dengan polis bagi membuat siasatan di bawah bidang kuasa masing-masing.

DR MOHD NA’IM

Beliau turut menzahirkan rasa dukacitanya terhadap insiden berkenaan.

“Tindakan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja melakukan perbuatan terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Baca juga Wajarkah ayat al-Quran dijadikan sebagai nada dering? Berikut perinciannya

“Kami merakamkan penghargaan dan memuji keperihatinan tinggi pihak berkuasa serta ahli-ahli jawatankuasa pengurusan masjid setempat dan orang ramai yang bekerjasama menangani isu ini sebagai tanda menghormati al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Mohd Na’im turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa memelihara kemuliaan al-Quran pada setiap masa.

Al-Quran

PELIHARA kesucian al-Quran pada setiap masa dan jangan sesekali melangkah mahupun memijaknya. -Foto: Canva

Bagi melupuskan kitab suci itu, katanya, garis panduan dan kaedah tersebut boleh dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam di negeri masing-masing.

“Ia perlu diurus dengan penuh cermat dan tertib untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.

“Pada masa sama, kami akan terus mempertingkatkan program-program penerangan dan pendidikan berkaitan kaedah pelupusan al-Quran kepada masyarakat Islam,” jelasnya.

Tiga kaedah pelupusan al-Quran

Ketahuilah bahawa al-Quran perlu dipelihara kesucian dan kehormatannya setiap masa sekalipun ketika melupuskannya. Ia tidak boleh dilakukan secara semberono.

Baca juga Adab dalam pelupusan al-Quran

Masakan tidak, kalamullah itu merupakan perkataan suci daripada ALLAH SWT yang sudah tentu mempunyai nilai tinggi.

Dalam perihal pelupusannya, Sinar Islam Plus pernah menemu bual Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad empat tahun lalu.

MOHAMAD SHUKRI

Jelas beliau terdapat tiga cara untuk berbuat demikian sebagaimana dianjurkan oleh syariat Islam. Pada zaman lampau, situasinya berbeza.

“Dakwat al-Quran yang digunakan tidak kekal. Jadi, apabila direndam di dalam air, tulisan ayat al-Quran itu boleh tanggal,” katanya.

Teknik kedua adalah melalui cara pembakaran, ujar beliau.

“Namun, pembakaran yang menjamin kehormatan al-Quran agar ia tidak dicemari. Antaranya ialah tempat pembakaran itu tertutup dan abunya tidak diterbangkan oleh angin.

“Kemudian, cara sesetengah pihak membentuk abu kalamullah itu menjadi kiub-kiub kecil dan dibawa ke laut untuk ditenggelamkan juga boleh dilaksanakannya,” katanya.

Agamawan itu menambah, pendekatan lain adalah dengan menanam abu di tempat yang tinggi agar bebas daripada dipijak atau laluan manusia.

Namun, kata Mohamad Shukri, kaedah yang banyak diamalkan masyarakat pada hari ini adalah membakar helaian kalam ALLAH tersebut.

Al-Quran

KEBANYAKAN orang memilih untuk melupuskannya dengan membakar al-Quran sudah usang mahupun terkoyak. Begitu juga dengan Unit Pelupusan Ultimate Print Sdn Bhd yang menggunakan mesin insinerator untuk membakarnya, sebelum abunya dibuang di dalam laut mengikut syariat Islam. -Foto: ROSLI TALIB

Bagaimanapun, helaian al-Quran itu perlu dipotong halus sebelum proses berkenaan supaya ia hangus menjadi abu.

“Abu itu kemudiannya ditenggelamkan di dasar laut. Bila abu masuk ke dalam air, ia akan larut. Maka, tiadalah (isu) orang hendak terlangkah dan sebagainya,” ujarnya.

Baca juga Hukum mencium al-Quran, ramai yang masih keliru tentang perkara ini. Jom hadamkan penjelasan pendakwah ini

Apabila sudah menjadi abu, bagaimana dengan kehormatan al-Quran itu?

Menjawab soalan ini, Mohamad Shukri berkata: “Kalau al-Quran dalam bentuk biasa, hendak menyentuhnya, kita kena berwuduk. Namun, kalau sudah dibakar dan ayat-ayat al-Quran itu sudah hilang, maka, tidak lagi perlu disentuh abu itu dalam keadaan kita berwuduk.

“Bagaimanapun, abu itu masih ada penghormatannya sebagai al-Quran. Apa-apa tindakan yang hendak kita ambil adalah terus mengekalkan penghormatan al-Quran itu walaupun, ia sudah menjadi abu. Hanya sifat sahaja yang berubah tetapi tidak pada penghormatannya. Ia masih lagi perlu dipelihara,” jelasnya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan.” (Surah al-Waqi’ah, ayat 79)

Al-Quran

BETAPA tingginya kehormatan al-Quran sehinggakan kita perlu dalam keadaan bersuci apabila ingin menyentuhnya. -Foto: Pexels

Ujar Mohamad Shukri, ayat itu jelas menunjukkan al-Quran itu perlu dihormati walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Baca juga Jangan letak al-Quran, buku Yasin atas lantai

Justeru, usah sesekali kita memandang remeh kalamullah yang menjadi warisan peninggalan agung Nabi Muhammad SAW kepada umat Islam. Meskipun ia hanyalah helaian bait-bait suci kalamullah yang terkoyak mahupun berbentuk cebiasan, ia tetap perlu dimuliakan dan dihormati.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.