Browsing Tag

Lipat pakaian

Lipat pakaian
Ibadah,

Elakkan lipat pakaian ketika tunaikan solat, ini sebab-sebabnya

SEGELINTIR orang akan lipat pakaian ketika solat terutama pada bahagian kaki seluar dan lengan. Barangkali ia dilakukan kerana seluarnya labuh melepasi buku lali ataupun lengan bajunya terlalu panjang.

Meskipun itu merupakan perkara biasa kita lihat, tetapi jangan ambil mudah apatah lagi jika ia melibatkan bab solat. Bukan apa, dikhuatiri perbuatan kita itu boleh menyebabkan solat kita ada kecacatan.

Ketahuilah bahawa terdapat hadis yang melarang umat Islam daripada melipat atau menggulung pakaian ketika solat.

Antaranya Ibn Abbas RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan (menggulung) pakaian dan rambut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-335: Solat Dalam Keadaan Melipat Lengan Pakaian yang disiarkan laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarah Sahih Muslim menjelaskan, para ulama bersepakat dalam larangan berkaitan soal lengan pakaian bergulung atau berlipat dan seumpamanya ketika solat.

“Ia termasuk juga rambut kepalanya terikat atau diruapkan rambut tadi di bawah serbannya atau seumpamanya. Kesemua perkara ini dilarang dengan kesepakatan para ulama dan ia adalah termasuk dalam makruh tanzih (tidaklah begitu berat).

Lipat pakaian

-FOTO: PEXELS

“Sekiranya seseorang itu solat dalam keadaan sedemikian, maka dia telah mencacatkan solatnya (fadilat solat), tetapi solatnya sah,” katanya Imam al-Nawawi sebagaimana dipetik daripada artikel berkenaan.

Baca juga Jangan biarkan telekung, serban dan kopiah menutup dahi ketika sujud. Dikhuatiri tidak sah solat itu

Larangan tersebut turut dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari dan Imam Zakaria al-Ansari menerusi kitab Asna al-Mathalib.

Dalam kitab al-Mawsu’al al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, ada dinyatakan juga bahawa: “Melipat pakaian ketika solat adalah makruh menurut kesepakatan para ulama, berdasarkan kepada apa yang datang daripada Nabi Muhammad SAW berkenaan larangan menahan pakaian dan rambut.”

Baca juga Haram lelaki ikat rambut ketika solat?

Sesungguhnya, setiap perbuatan yang ditegah itu pasti ada sebab dan hikmah di sebaliknya.

Memetik laporan portal kalam.sindonews.com, al-Hafizh Ibn Hajar Rahimahullah berkata, antara hikmah daripada larangan tersebut adalah andai seseorang menghalangi lengan baju dan rambutnya untuk menyentuh lantai saat sujud kepada ALLAH SWT, maka ia seperti sifatnya orang yang angkuh.

Lipat pakaian

PERBUATAN menggulung pakaian dan rambut membuatkan solat seseorang tidak khuysuk. -Gambar hiasan/FOTO: 123RF

Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibn Rajab pula menyatakan, tegahan tersebut kerana perbuatan menggulung pakaian dan rambut membuatkan solat seseorang tidak khusyuk. Ini kerana kedua-duanya turut mengikut sujud bersama kita.

Hukum guna kain sarung yang dilipat

Bagaimana pula jika kita menggunakan kain pelekat yang dilipat atau digulung pada bahagian pinggang terutama bagi kaum Adam?

Menjawab persoalan itu, pendakwah terkemuka di Indonesia, Ustaz Ahmad Syahrin Thoriq menjelaskan, kain sarung atau pelekat tidak termasuk dalam larangan tersebut.

“Yang dilarang itu adalah melipat pada bahagian hujung pakaian yang berada di bahagian kaki, tangan dan bahagian menjulur yang lainnya.

“Adapun kain sarung tidak termasuk ke dalam larangan ini kerana yang dilipat adalah bahagian dalamnya dan itu memang cara mengenakannya,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh kalam.sindonews.com yang memetik jawapan daripada forum soal jawab agama Konsultasi Islam.

Baca juga Ikat kain pelikat sebab longgar boleh batalkan solat?

Sementara itu, Pengasas Elzar Group & Myclazz.com, Dr Zaharuddin Abd Rahman menjelaskan, walaupun pada hari ini kemungkinan seseorang melipat pakaian ketika solat bukan disebabkan oleh sifat membesarkan diri dan takabbur, tetapi mungkin disebabkan panas, berpeluh atau untuk mencapai keselesaan, namun lebih baik jika perbuatan itu dielakkan.

Ini kerana, katanya, terdapat nas yang jelas menegahnya jika tidak menghilangkan khusyuk.

Lipat pakaian

SOLAT adalah paksi keimanan buat seorang Muslim yang mengaku beriman dengan ALLAH SWT dan jangan mencemarinya dengan perbuatan yang boleh ‘mencacatkan’ ibadah berkenaan. -Gambar hiasan/FOTO: 123RF

“Tambahan pula, rasional dalam bab ibadah adalah sesuatu yang sukar dijustifikasi tanpa nas yang jelas.

“Apa yang lebih penting adalah ketaatan dan kesungguhan untuk mengamalkan ibadah yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW, yang diulas secara tepat oleh para ulama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Dalam pada itu, pendakwah itu turut menyenaraikan perbuatan yang termasuk dalam erti larangan hadis di atas (iaitu makruh menurut majoriti ulama). Fakta yang dikongsikan itu sebahagiannya merupakan petikan dari buku Formula Solat Sempurna (Edisi Kemas kini) hasil tulisan beliau.

Baca juga Jangan lakukan kesilapan ini ketika solat

Berikut perinciannya untuk memudahkan kita memahaminya:

i. Menyingsing lengan baju.

ii. Menyinsing hujung seluar (bagi mereka yang berpegang kepada haram isbal (pakaian melebihi paras buku lali), mereka sepatutnya pakai yang pendek dari awal dan bukan menyingsingnya).

Lipat pakaian

ELAKKAN diri daripada melipat atau menyingsing hujung seluar ketika menunaikan solat. -Gambar hiasan/FOTO: PEXELS

Adapun menurut kajian Dr Zaharuddin, isbal tidak jadi haram kerana panjangnya seluar dan jubah lelaki, tetapi pada kesombongan pemakai yang memakai pakaian sedemikian pada zaman tertentu adalah tanda kekayaan. Jadi jika sekarang, ia sudah menjadi adat dan tidak membawa kesombongan, maka isbal adalah harus.

iii. Lelaki mengikat rambut panjang seperti tocang dan seumpamanya sewaktu solat.

Justeru, apabila mendirikan solat, elakkan diri daripada menyinsing lengan baju atau melipat kaki seluar.

Meskipun perbuatan itu tidaklah membatalkan solat, namun lebih baik andai ia dielakkan. Biarlah kita solat dengan penuh kesempurnaan agar pahala yang diraih tiada kecacatan.

***Foto: Pexels