Browsing Tag

Letak al-Quran bawah bantal

Letak al-Quran bawah bantal
Isu,

Letak al-Quran bawah bantal untuk elak gangguan? Hati-hatilah, perbuatan itu dianggap merendahkan kitab suci

Letak al-Quran bawah bantal untuk elak gangguan? Hati-hatilah, perbuatan itu dianggap merendahkan kitab suci

“LETAK al-Quran bawah bantal, nanti tak adalah gangguan.”

Demikian antara saranan segelintir orang sebagai solusi apabila sering kali mendapat gangguan ketika tidur. Lebih-lebih lagi jika tempat berkenaan sudah lama tidak dihuni.

Kelompok tersebut percaya, apa sahaja bentuk kekacauan termasuk syaitan dan makhluk halus tidak akan berani untuk mendekati tempat yang ada kitab suci.

Malah, lebih teruk lagi apabila terdapat segelintir individu sanggup tidur berbantalkan mahupun beralaskan al-Quran di bawah bantal!

Letak al-Quran bawah bantal

HARAM tidur beralaskan mashaf al-Quran, Surah Yasin mahupun mana-mana surah dalam kitabullah umat Islam. -Foto: Canva

Ketahuilah bahawa haram tidur beralaskan mashaf al-Quran, surah Yasin ataupun mana-mana surah dalam al-Quran.

Begitu juga dengan kitab-kitab agama apatah lagi andai ia diletakkan di bawah bantal.

Fakta itu ditegaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Al-Kafi #1922: Hukum Tidur Berbantalkan Mashaf Quran atau Meletakkannya di Bawah Bantal baru-baru ini.

Perbuatan tersebut, katanya, boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan martabat kalamullah berkenaan dan ilmu agama.

Baca juga Jangan letak al-Quran, buku Yasin atas lantai

Perkara itu tidak boleh dipandang enteng. Masakan tidak, al-Quran menjadi rujukan umat Islam sehingga hari akhirat kelak. Siapa lagi yang mahu memelihara kesucian kalam ALLAH kalau bukan kita umatnya, bukan?

Bahkan, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama juga telah bersepakat bahawa haram melakukan perbuatan yang meremehkan apalagi menghina kitab suci berkenaan sebagaimana disebut dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.

Letak al-Quran bawah bantal

JANGAN meremehkan atau merendah-rendahkan martabat al-Quran. Sebaliknya, sebagai umat Islam, wajib untuk kita memuliakan dan memelihara kitab suci berkenaan. -Foto: 123rf

“Kitab berkenaan turut menyebut, wajib kita memuliakan dan memelihara mashaf,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel yang disiarkan menerusi laman web pejabat mufti tersebut.

Bagi mengelakkan gangguan jin dan syaitan ketika tidur, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan agar kita membaca ayat-ayat suci al-Quran seperti ayat Kursi, zikir dan doa-doa yang ma’thur daripada Rasulullah SAW.

Baca juga Pelihara kesucian al-Quran setiap masa, walaupun ketika lupuskannya

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk kita. Ingatlah bahawa al-Quran dan seluruh bait-bait ayat serta surahnya bukan ‘bantal’ untuk dibawa tidur.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.