Browsing Tag

lembu

Hukum jadikan tanduk lembu sebagai perhiasan
Gaya Hidup, Hukum,

Hobi kumpul tanduk haiwan sembelihan, apa kata Islam?

Hobi kumpul tanduk haiwan sembelihan, apa kata Islam?

AIDILADHA telah melabuhkan tirainya pada minggu lalu, sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap ALLAH SWT.

Bahkan, Islam menuntut umatnya mengerjakan ibadat sembelih ke atas haiwan sembelihan bagi menghalalkan daging dan anggota binatang tersebut untuk dimakan, selain mempunyai manfaat lain.

Firman ALLAH SWT “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak di sembelih, dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan bintang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari ALLAH dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)”. (Surah Al-Maidah ayat 3)

Baca Juga Ratah seafood dan daging mentah, halal ke?

Namun terdapat segelintir pihak yang berminat untuk menyimpan beberapa anggota badan haiwan yang disembelihnya, seperti kulit, bulu, lebihan tulang atau tanduk binatang berkenaan sebagai perhiasan tidak kira di rumah atau premis lain.

Merujuk artikel Mufti Wilayah Persekutuan, majoriti ulama feqah menyatakan mana-mana haiwan yang halal dimakan dagingnya di sisi syarak dan melalui proses sembelihan mengikut syarak adalah halal dan suci anggotanya.

AL-KAFI #1777: HUKUM MENYIMPAN LEBIHAN TULANG ATAU TANDUK HAIWAN SEMBELIHAN SEBAGAI PERHIASAN

Ia berdasarkan firman ALLAH “Dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.” (Surah an-Nahl ayat 80)

Tidak cukup dengan itu, Sheikh khatib al Shirbini menjelaskan mafhum ayat tersebut di dalam karya beliau, maksudnya: “Ia digunakan (kulit binatang) setelah diambil selepas daripada sembelihan”

Artikel Berkaitan 

Bagaimanapun, jika tulang atau tanduk haiwan yang halal dimakan dan diambil ketika ia masih hidup, hukumnya adalah tidak suci kerana ia dianggap sebagai bangkai.

Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Waqid al Laithi yang bermaksud “Apa yang dipotong daripada haiwan dan hidup maka ia adalah bangkai” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Di dalam artikel Al-Kafi #1777: Hukum Menyimpan Lebihan Tulang Atau Tanduk Haiwan Sembelihan Sebagai Perhiasan itu juga turut mengulas tentang kenyataan Imam Nawawi berkenaan penggunaan tulang gajah:

HAIWAN yang haram dimakan selain daripada anjing dan babi hukumnya adalah makruh. -Foto: Canva

Maksudnya: “Telah berkata ulama kami (ulama-ulama mazhab syafie): Makruh menggunakannya (gading gajah) pada sesuatu yang kering kerana bersentuhan dengan najis dan tidaklah haram kerana sesuatu yang kering itu tidak akan ternajis dengan sebabnya. Kalau seorang membuat sikat rambut dengan tulang gajah dan menggunakan pada kepalanya atau janggutnya maka jika basah salah satu dari keduanya nescaya ternajislah rambutnya dan jika tidak basah salah satunya maka tidaklah ternajis akan tetapi hukumnya adalah makruh dan tidaklah haram”.

Baca Juga Termakan daging babi tanpa sengaja, apa perlu dibuat?

Mufti menyimpulkan bahawa tulang atau tanduk haiwan yang disembelih adalah suci dan halal untuk dijadikan perhiasan sekiranya haiwan tersebut adalah haiwan yang halal dimakan dagingnya disisi syarak.

“Bagi haiwan yang diambil tanduknya ketika hidup adalah tidak suci dan najis hukumya kerana ia dikategorikan sebagai bangkai.

“Haiwan yang haram dimakan selain daripada anjing dan babi hukumnya adalah makruh untuk mengambil dan menyimpan tulangnya sebagai perhiasan,” jelas Mufti di laman berkenaan.

ibadah korban
Ibadah,

Warna haiwan korban yang lebih adfal

PADA asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu, kambing dan biri-biri sahaja.

Hal ini berdasarkan firman ALLAH SWT “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama ALLAH sebagai bersyukur akan pengurniaan-NYA kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Surah al-Haj ayat 34)

Untuk menjadikan korban lebih afdal, kadang-kala timbul jua persoalan mengenai warna haiwan ternakan apakah yang sesuai dijadikan sebagai korban.

Agamawan terkemuka, Dato Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan mana-mana haiwan ternakan daripada unta, lembu dan kembing berserta jenis-jenisnya seperti kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban.

Tidak kira warna apa pun dengan syarat ia memenuhi syarat sebagai haiwan korban dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

Para ulama ada membahaskan berkenaan keutamaan haiwan korban dari sudut warna.

Pengorbanan

SESUNGGUHNYA, penilaian ALLAH SWT bukan terletak pada korban kita, tetapi ketakwaan dan keikhlasan seorang hamba kepada-NYA. -Foto: 123rf

1.Imam al-Nawawi menyebutkan, warna haiwan korban yang paling baik (afdhal) ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna al-ghabra’ (warna seperti debu atau tanah) iaitu tidak menggambarkan keputihannya, kemudian warna balqa’ iaitu sebahagiannya berwarna putih dan sebahagiannya lagi berwarna hitam, kemudian warna hitam.

2.Ibn Qudamah turut menyebutkan, sebaik-baik haiwan korban daripada jenis kambing ialah yang berwarna putih.

ARTIKEL BERKAITAN 

3.’Begitu juga dalam Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ada menyatakan pendapat Dr. Nidhal Sultan bahawa sebaik-baik haiwan korban dari sudut warna ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna ‘afra’ (putih yang tidak bersih), kemudian warna kemerahan, kemudian warna hitam. Manakala dari sudut saiznya pula adalah yang paling gemuk.

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibas yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.” (Riwayat al-Bukhari Muslim)

MAZHAB Syafie yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan korban. Menurut sebahagian ulama lain, ia adalah yang banyak warna merahnya. 

4.Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Perkataan amlah (أَمْلَح) bermaksud yang berwarna hitam dan putih, tetapi warna putihnya lebih banyak, dan kadang-kala disebut aghbar.

5.Demikian menurut al-Asma’i. Al-Khattabi pula menambah: “Ia adalah yang berwarna putih dan terdapat warna hitam di sela-sela bulunya.”

6.Ada pula yang berpendapat bahawa ia adalah yang berwarna putih bersih, sepertimana pendapat Ibn al-A‘rabi.

Baca Juga Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?  

Pendapat ini dijadikan dalil ulama mazhab Syafie yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan korban. Menurut sebahagian ulama lain, ia adalah yang banyak warna merahnya.

Sekalipun para ulama di atas membahaskan berkenaan keutamaan haiwan korban dari segi warna dan menyatakan warna putih adalah warna yang paling baik tetapi mereka tidak menghukumkan sebagai makruh bagi warna-warna lain pada haiwan korban. Cumanya di sisi mereka warna putih adalah lebih baik (afdal).

Daging korban siap dimasak

ANTARA syarat haiwan untuk berkorban adalah perlu diutamakan dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa sebaik-baik warna haiwan korban adalah warna putih. Ini tidaklah bermaksud haiwan korban selain daripada warna putih dihukumkan sebagai makruh. Hal ini kerana ia hanyalah dari sudut keutamaan atau afdhaliyyah sahaja.

Turut Disyorkan Kekeliruan kaum ibu, daging korban tidak boleh disimpan melebihi 3 hari? Ini penerangan agamawan

Justeru, mana-mana haiwan ternakan daripada unta, lembu dan kembing berserta jenis-jenisnya seperti kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban, tidak kira haiwan korban itu warna apa pun sekalipun bukan warna putih ataupun warna-warna yang disebutkan oleh para ulama mengikut turutan keutamaan.

Akan tetapi dengan syarat ia memenuhi syarat sebagai haiwan korban dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

SUMBER : Maktabah al-Bakri