Browsing Tag

layan porno

Porno
Berita Semasa,

Natijah ‘layan’ porno boleh memakan diri

Natijah ‘layan’ porno boleh memakan diri

PADAH memiliki 169 gambar dan video lucah dalam telefon bimbit, seorang bapa kepada tiga anak didenda RM6,000 oleh sebuah Mahkamah Majistret.

Sebelum itu, seorang pembantu kedai pernah diperintahkan membayar RM5,000 oleh Mahkamah Majistret lain atas kesalahan sama. Pemuda berkenaan memiliki 67 gambar dan 55 video lucah dalam telefon miliknya.

Kedua-dua kes itu direkodkan berasingan dan mendapat liputan meluas pada bulan lalu. Apa yang menyedihkan apabila pelakunya membabitkan saudara seagama kita.

Sedangkan Islam begitu melarang keras umatnya menghampiri zina. Hakikatnya, aurat sendiri pun jika tiada keperluan tidak boleh dilihat, inikan pula tanpa segan silu menonton aurat orang lain secara terang-terangan.

Apa pandangan Islam tentang hal itu? Benarkah menonton porno atau gambar lucah menyebabkan hati pelakunya gelap dan ibadahnya ditolak? Bagaimana pula jika seseorang hanya membaca bahan bacaan berunsur lucah?

Baca juga Haram menulis atau baca bahan bacaan berunsur lucah

Larangan keras

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, Sinar Islam Plus menemubual Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Jelas beliau, ketagihan menonton pornografi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, kaum, usia mahupun jantina.

Malah katanya, ia sesuatu yang membimbangkan kerana boleh memudaratkan bukan sahaja kepada diri, tetapi juga pasangan, anak-anak dan insan di sekeliling.

“Ketahuilah, Islam melarang keras umatnya terlibat dalam aktiviti menonton video lucah, apatah lagi hingga mengakibatkan ketagihan. Haram melihat aurat individu lain yang bukan mahramnya sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Mukminun, ayat 5-7,” katanya.

Jika mahu dirungkaikan satu persatu, terlalu banyak faktor penyebab ketagihan pornografi. Bagaimanapun, pendakwah itu mempunyai perspektif tersendiri.

Beliau berpandangan, perkara tersebut bermula dengan diri sendiri iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

Sedangkan, setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan apa segala tindak-tanduk, ungkapnya.

Baca juga Jaga diri elak berbuat jahat, berjuta saksi di Padang Mahsyar

Ia bertepatan dengan hadis diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin…”. (Hadis Riwayat Muslim)

Porno

MESKIPUN seorang hanya ketagih menonton video atau gambar lucah semata-mata tanpa melakukan perbuatan tersebut, perilaku itu tetap mengundang terjadinya zina pada kemudian hari. -Foto: Freepik

“Seandainya kita benar-benar menghayati maksud hadis ini, pasti kita akan menjaga diri daripada melakukan perkara yang memudaratkan sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat,” ujarnya.

Meskipun seseorang itu hanya ketagih menonton video atau gambar lucah semata-mata tanpa melakukan perbuatan tersebut, Ustazah Noor Rashidah menegaskan, perilaku itu tetap mengundang terjadinya zina pada kemudian hari.

“Banyak berita memaparkan jenayah seksual dalam kalangan masyarakat yang rata-ratanya bermula daripada ketagihan menonton pornografi.

“Sedangkan ALLAH berfirman dalam Surah al-Ankabut, ayat 45 yang menyebut bahawa solat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Maka jelaslah bahawa itu hikmahnya dan matlamat kefarduan solat iaitu mencegah individu yang mendirikan sembahyang daripada melakukan perkara-perkara dimurkai oleh ALLAH.

“Seandainya seseorang itu sudah solat, tetapi masih tidak mampu menghindari dirinya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, pasti ada ketidaksempurnaan dalam pelaksanaannya. Ia perlu dinilai semula,” ungkapnya.

Cenderung tinggalkan ibadah

Benarkah ALLAH tidak akan menerima ibadah orang yang menonton video dan gambar lucah?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Noor Rashidah menjelaskan, seseorang yang menonton pornografi hingga ketagihan atau tidak, amalnya tetap diterima oleh-NYA.

“Namun, rasa nikmat akan dicabut daripada hati sehinggakan dia tidak lagi serius dan seronok untuk beribadah.Akhirnya kelompok ini akan cenderung untuk meninggalkan kewajiban fardu dan berterusan di dalam kemaksiatan,” ungkapnya.

Beliau kemudian menukilkan pandangan yang pernah dikemukakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, at-Taubah Ilallah yang memperincikan kesan dan pengaruh maksiat.

Baca juga Usah seronok bergelumang maksiat, rupanya itu antara azab ALLAH

“Antaranya termasuklah terhalang daripada mendapat ilmu dan rezeki yang murah, merasa jauh daripada rahmat ALLAH, terpinggir daripada hubungan sesama manusia, segala urusan menjadi sukar serta hati menjadi gelap.

“Di samping itu, dirinya terhalang daripada melakukan ketaatan, memendekkan umur, mengheret kepada kemungkaran lain dan melemahkan rangsangan ketaatan, terhalang daripada mendapat doa nabi dan malaikat serta banyak lagi,” terangnya panjang lebar.

Impaknya bukan calang-calang. Bukan sekadar disebutkan dalam kitab-kitab agama, tetapi juga kajian kesihatan.

Lohong hitam

Porno

HENTIKANLAH daripada menonton porno atau video dan gambar lucah yang kelak akan mengundang sengsara. -Foto: Freepik

Memetik contoh kajian dijalankan oleh Universiti Cambridge pada tahun 2013, Ustazah Noor Rashidah menjelaskan, hasil dapatannya mendedahkan, otak seseorang yang gemar menonton pornografi hampir sama dengan penagih dadah!

Dalam kajian lain oleh Amirul Ashraaf Norman dan Nooraini Othman dari Universiti Teknologi Malaysia bertajuk ‘Ketagihan Pornografi di kalangan Remaja: Faktor dan Implikasi terhadap Sahsiah Diri Remaja’ jelas menunjukkan, perlakuan tersebut memberi kesan negatif terhadap perkembangan otak manusia.

“Mereka akan mudah mempercayai gambaran palsu (kenikmatan melakukan hubungan seks) yang akhirnya cenderung untuk meniru aksi yang dilihat dalam dunia sebenar.

“Bahkan, individu ‘bermasalah’ itu juga dilihat gemar menyendiri daripada bersosial bersama masyarakat. Ini adalah kesan daripada perkembangan otak yang tidak normal akibat daripada menonton video lucah,” ujarnya.

Kepada mereka yang sudah terjebak ke ‘lohong hitam’ tersebut, Ustazah Noor Rashidah berkata, masih belum terlambat untuk kembali semula ke alam normal.

“Kuatkan diri untuk berhenti dan cari sesuatu atau perkara lain yang berfaedah sebagai ruang ganti. Pada masa sama, bertaubatlah bersungguh-sungguh kepada ALLAH SWT atas ketelanjuran menzalimi diri sebelum ini.

Baca juga Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

“Ketahuilah, ALLAH MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI. Letakkan keazaman yang tinggi untuk tidak kembali melakukan perkara dimurkai-NYA. Satu lagi, banyakkanlah berdoa semoga ALLAH kuatkan hati, emosi dan minda untuk kita terus menjadi hamba-NYA yang berkualiti,” titipnya.

Bagi mereka yang terperangkap dengan kancah negatif itu, beliau berpesan agar jangan sesekali pernah mencuba untuk menontonnya atas apa jua alasan sekalipun.

Porno

KEPADA mereka yang sudah terlanjur melakukannya, masih ada kesempatan untuk bertaubat selagi hayat dikandung badan. -Foto: 123rf

ANEKDOT

Kesan menonton pornografi terhadap kesihatan

– Hilang keghairahan seksual.

– Mati pucuk.

– Tidak tertarik untuk melakukan hubungan seks di dunia sebenar.

– Menjejaskan kerjaya dan pengurusan hidup.

Impak dan pengaruh maksiat menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi

– Terhalang daripada mendapat ilmu.

– Terhalang daripada rezeki yang murah.

– Merasa jauh daripada rahmat ALLAH.

– Berasa terpinggir dari hubungan sesama manusia.

– Segala urusan menjadi sukar dan sulit.

– Hati menjadi gelap.

– Terhalang daripada melakukan ketaatan.

– Boleh memendekkan umur seseorang.

– Mengheret kepada kemungkaran yang lain.

– Melemahkan rangsangan ketaatan.

– Berasa bangga dengan maksiat.

– Mendapat penghinaan daripada ALLAH.

– Menganggap kecil terhadap maksiat kepada ALLAH.

– Kesan buruk maksiat terhadap semua makhluk yang bernyawa.

– Menyebabkan kehinaan dalam kalangan manusia.

– Boleh melemahkan akal fikiran.

– Menyebabkan hatinya tertutup dan mati.

– Mengundang banyak laknat.

– Terhalang daripada mendapat doa Nabi dan malaikat.

– Melemahkan perjalanan hati kepada ALLAH.

– Boleh menghilangkan banyak nikmat.

– Boleh mengabaikan diri sendiri.

– Merasakan kehidupan seolah-olah menjadi sempit.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.