Browsing Tag

Latih anak puasa

Latih anak puasa
Panduan,

Teladani sahabat nabi latih anak rajin puasa

Oleh MUHD AZMAN MOHD NAWI

WALAUPUN seruan berpuasa sama seperti ibadah solat dalam rukun Islam yang hanya diwajibkan ke atas kanak-kanak yang sudah baligh iaitu 13 tahun ke atas bagi lelaki manakala perempuan lapan atau sembilan tahun, namun pada usia tujuh tahun anak-anak sudah disuruh solat dan boleh dirotan sekiranya tidak solat pada usia 10 tahun.

Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar , Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Zaizul Ab Rahman berkata, proses mendidik anak bukan bermaksud memaksa mereka.

DR ZAIZUL

“Menurut Dr Nasih Ulwan, ramai ulama memberikan pendapat yang sama mengenai puasa iaitu bermula pada usia tujuh tahun.

“Tetapi harus kita ingat proses mendidik bukan bermaksud memaksa. Sekiranya seseorang anak itu masih belum berupaya untuk berpuasa sehingga memudaratkan kesihatannya, ibu bapa tidak boleh memaksa,” katanya.

Baca juga Elak melakukan perkara ini ketika Ramadan, agar tidak merugikan diri sendiri

Sebaiknya jelas beliau, biarlah mereka bermula secara berperingkat iaitu separuh hari, kemudian diteruskan pula sehari sehinggalah cukup sebulan. Mungkin ibu bapa boleh memberikan ganjaran kepada anak-anak agar mereka merasa seronok untuk berpuasa sesama adik beradik yang lain. Jadi ini secara tidak langsung akan menimbulkan suasana yang menggembirakan dalam menjalankan ibadah puasa seharian walaupun badan terasa letih dengan lapar dan dahaga.

“Sepatutnya pelbagai kaedah yang kreatif dan inovatif dalam menggalakkan anankanak agar rasa seronok untuk berpuasa. Antaranya ialah seperti memberitahu anak-anak dengan santai bahawa bulan Ramadan ialah bulan yang penuh kegembiraan dan keberkatan ALLAH SWT.

“Ceritakan kepada mereka tentang aktiviti pada bulan Ramadan seperti keseronokan untuk bangun sahur, berpuasa di siang hari dan berbuka puasa apabila masuk waktunya di awal malam. Ini kerana sifat ingin tahu anak-anak berkobar-kobar tentang apa yang istimewanya bulan Ramadan ini. Jadi, ibu bapa mestilah dengan penuh kasih sayang bercerita tentang kelebihan-kelebihan Ramadan serta cara berpuasa yang betul,” jelasnya.

Ibu bapa pula kenalah banyak bersabar melayan keletah mereka dengan janganlah terlampau menekan anak-anak yang belum lagi cukup umur tentang ibadah berpuasa. Jelaskan aktiviti yang menarik sepanjang puasa contohnya anak-anak boleh menikmati pelbagai juadah enak waktu berbuka, berkumpul dan bermain di masjid waktu solat tarawih.

Sebenarnya, dalam mendidik anak berpuasa, kita dapat mengambil contoh daripada sahabat Nabi SAW memberikan contoh berpuasa terlebih dulu kepada anak mereka, dengan demikian anak-anak akan mudah mengikuti apa yang dijadikan teladan oleh orang tua mereka.

Baca juga Dah bulan Syaaban, jom latih anak puasa

Janganlah pula ibu bapa menjadi ketam mengajar anaknya berjalan betul, kerana ada juga kedapatan ibu bapa yang tidak berpuasa atau masih berpuasa tetapi konsisten melakukan dosa-dosa di bulan yang mulia ini.

Latih anak puasa

IBU bapa disarankan supaya sentiasa menceritakan keistimewaan bulan Ramadan kepada anak-anak supaya semangat mereka berkobar-kobar untuk berpuasa.

Tambah Zaizul, mengikut cara para sahabat Rasulullah, anak-anak kecil perlu dibawa ke masjid bagi menghidupkan suasana kemeriahan Ramadan.

“Andainya ketika itu ada anak sahabat menangis dan merengek ingin berbuka puasa, sahabat Nabi memberikan mainan kepada anak mereka sebagai hiburan. Secara tidak langsung anak-anak ini lupa dengan permintaan untuk berbuka puasa di awal waktu dan dapat berpuasa penuh,” ungkapnya.

Saran beliau lagi, pihak jawatankuasa masjid juga mestilah sentiasa menyantuni anak-anak kecil dengan peraturan yang tidak melampau, kesannya ia akan menjauhkan mereka dengan rumah ALLAH.

“Layanilah anak-anak dengan penuh hikmah dan kesantunan contohnya mengadakan ruang untuk mereka bermain secara indoor game di dalam masjid dan sebagainya,” katanya menutup bicara.

Foto: Freepik