Browsing Tag

larangan buka salun kecantikan

Salun kecantikan
Antarabangsa, Hukum,

Taliban haramkan salun di Afghanistan, ketahui hukum buka pusat kecantikan dalam Islam

Taliban haramkan salun di Afghanistan, ketahui hukum buka pusat kecantikan dalam Islam

APABILA kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan mengharamkan beratus-ratus salun kecantikan wanita ditutup baru-baru ini, ramai yang terkedu.

Dalam fikiran sudah terbayang pendapatan yang diraih selama ini hilang dalam sekelip mata! Bukan seorang dua, bahkan mungkin beratus atau beribu orang yang tiada mata pencarian lagi.

Pengumuman itu menjadi sekatan terbaharu terhadap kaum Hawa. Sebelum ini, beberapa siri larangan membabitkan wanita sudah dilaksanakan.

Bermula dengan arahan memakai burqa menutupi keseluruhan tubuh di khalayak ramai, kemudian golongan wanita tidak boleh meninggalkan rumah tanpa saudara lelaki, larangan kanak-kanak perempuan ke sekolah dan universiti serta tegahan ke taman hiburan.

Baca juga Taliban larang wanita belajar di IPT, tetapi Islam mewajibkan mereka menimba ilmu

Berbalik kepada pengumuman terbaharu itu, ia tidaklah begitu mengejutkan. Cuma agak ralat apabila ia membabitkan isu-isu sensitif seperti pekerjaan kerana melibatkan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Salun kecantikan

TALIBAN mengharamkan salun kecantikan wanita di Afghanistan baru-baru ini. -Foto: AP

Sedangkan, agama Islam sendiri tidak melarang suatu pembukaan pusat kecantikan.

Malah, hukumnya adalah harus selagi ia tidak menyediakan perkhidmatan berhias yang diharamkan atau melakukan perkara bertentangan dengan syarak.

Fakta itu Sinar Islam Plus petik daripada artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-559: Hukum Membuka Pusat Kecantikan yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Bagi Muslimah yang membuka salun kecantikan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan agar mereka perlu sentiasa mementingkan perihal aurat sesama jantina, apatah lagi yang berbeza gender.

“Haram bagi lelaki membuka pusat kecantikan bagi wanita dan begitu juga sebaliknya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Selain itu, terdapat beberapa garis panduan yang disyorkan oleh pejabat mufti berkenaan bagi mereka yang membuka salun kecantikan iaitu:

i. Berhias dan berdandan hendaklah menepati kehendak syarak iaitu tiada unsur penipuan serta tidak mengubah ciptaan ALLAH SWT.

ii. Tidak menyediakan khidmat yang diharamkan seperti membuat tatu, mencukur alis dan menyambung rambut.

Salun kecantikan

TIADA masalah membuka salun kecantikan, asalkan memenuhi tuntutan syarak dan tidak melakukan perkara yang dilarang agama. -Foto: Canva

iii. Menggunakan peralatan dan barang kosmetik yang suci serta tidak berbahaya.

iv. Premis pusat kecantikan tidak terdedah dan terbuka sehingga boleh menampakkan aurat.

v. Mengkhususkan salon kecantikan itu untuk pelanggan dan pekerja sesama jantina sahaja.

Melihat kepada pernyataan itu, tiada masalah untuk orang Islam membuka salun kecantikan dengan memenuhi syarat-syarat dinyatakan.

Semoga saudara seagama kita di Afghanistan yang terkesan akibat sekatan terbaharu membabitkan pengharaman pusat itu dipermudahkan segala urusan mereka. Sama-sama kita doakan.

***Foto: Canva

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.