Browsing Tag

kunjung-mengunjung

Raya berjemput
Isu,

Hendak raya rumah orang pun kena berjemput ke? Ketahui pandangan Islam dalam hal ini

Hendak raya rumah orang pun kena berjemput ke? Ketahui pandangan Islam dalam hal ini

“JOM kita beraya rumah kakak abang hujung minggu ni,” ajak si isteri pada suaminya dalam nada teruja.

Pasangan tersebut baru sahaja mendirikan rumah tangga empat bulan lalu. Namun, balasan yang meluncur dari bibir lelaki itu benar-benar membuatkan wanita tersebut terkejut.

“Dia tak jemputlah, mana boleh datang rumah kakak,” ujar si suami.

Bermacam-macam andaian dan telahan menerpa dalam benak fikiran wanita itu. Masakan tidak, dalam keluarganya, tiada masalah andai mahu beraya di rumah saudara-maranya pada bila-bila masa.

Bagi mereka, Hari Raya Aidilfitri mestilah rumah sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran tetamu.

Baca juga Besarnya kasih ALLAH SWT kepada orang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana DIA

Dalam situasi berasingan, terdapat pula tuan rumah yang sudi menerima kunjungan, tetapi ada kekangan lain.

“Aku ni tak kisah orang datang beraya, cuma kena beritahulah. Bukannya tak mahu buat rumah terbuka, bimbang pula orang fikir aku buat majlis besar dan jemput ramai orang. Sedangkan, aku cuma ada bajet kecil saja,” monolog seseorang dalam hati.

Dua keadaan itu antara yang sering dihadapi kebanyakan orang ketika Hari Raya Aidilfitri. Situasi raya berjemput seakan mencetus fenomena tersendiri.

Apakah pandangan Islam dalam hal itu? Benarkah amalan ziarah-menziarahi perlu ada jemputan tertentu?

Situasi setempat

Ketika pertanyaan itu diajukan kepada pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah, beliau menjelaskan, suasana itu berlaku disebabkan situasi setempat.

USTAZ MOHAMAD HADI

Jika di kampung, katanya, hubungan jiran tetangga begitu akrab hinggakan tiada rasa janggal untuk ke rumah mereka termasuklah pada Hari Raya Aidilfitri.

“Berbeza pula dengan di bandar yang barangkali sibuk dan tuan rumah tidak bersedia menerima kehadiran tetamu. Bimbang nanti tiada pula jamuan makan yang boleh dihidang kepada tetamu.

Baca juga Bolehkah tuan rumah menolak tetamu yang datang ziarah lewat malam?

“Disebabkan itu, andai kita mahu menziarahi mereka, sebaiknya hubungilah tuan rumah terlebih dahulu. Sekarang ada banyak kemudahan untuk berhubung dan meminta izin bertandang.

“Ada segelintir orang tidak bersedia menerima tetamu kerana mereka tiada di rumah. Fenomena ini tidaklah menjadi suatu perkara yang menyalahi syariat kerana ia suatu bentuk budaya masyarakat setempat,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz Mohamad Hadi mengingatkan agar umat Islam prihatin akan keadaan tuan rumah yang ingin diziarahi.

Beliau berpesan agar tidak terlalu mengharapkan jamuan makan. Lebih-lebih apabila berkunjung ke rumah orang yang kurang berkemampuan.

“Benar, semua perkara perlukan sejumlah bajet termasuklah untuk menjamu tetamu lebih-lebih lagi ketika hari raya. Apalagi banyak yang sudah dibelanjakan untuk membeli pakaian baharu, kuih raya, pulang ke kampung dan sebagainya.

“Jika beraya di rumah orang berada, mungkin tiada masalah dari segi makanan untuk dihidangkan kepada tetamu.

Baca juga Syawal pengikat mahabbah sesama insan, tetapi usah terlampau seronok sangat

“Sebaliknya, apabila menziarahi orang yang kurang berkemampuan, elakkan ziarah mereka semata-mata bagi mengharapkan jamuan,” titipnya.

Eratkan silaturahim

Raya berjemput

SAMA ada raya berjemput atau tidak, usahlah menziarahi tuan rumah semata-mata mengharapkan jamuan makan, sebaliknya lakukan amalan itu demi mengeratkan hubungan silaturahim. -Foto: 123rf

Agamawan itu mengingatkan, biarlah kunjungan tersebut dilakukan untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

“Barangkali itulah masa yang sesuai untuk kita memberikan duit raya kepada mereka, di samping memberi bantuan dan menggembirakan hati mereka supaya tidak berasa terasing daripada masyarakat,” ungkapnya.

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, Islam begitu menganjurkan umatnya agar menyuburkan amalan mengunjungi orang lain.

Bahkan, ia turut menjadi amalan yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq apabila khalifah Islam pertama itu menziarahi Nabi Muhammad SAW.

“Lebih-lebih lagi pada hari raya pertama kerana 1 Syawal merupakan hari untuk makan dan minum. Ini bermakna, rumah terbuka pada hari berkenaan untuk ziarah-menziarahi kerana tiada sesiapa melarang untuk kita ke mana-mana.

Baca juga Doakan tuan rumah ketika beraya, perkara ini yang sering diabaikan

“Ziarah dalam Islam secara umumnya adalah sesuatu yang dianjurkan. Malah, menjamu orang makan juga merupakan sunnah yang baik apatah lagi jika ia diberikan kepada golongan fakir miskin dan memerlukan,” ujarnya.

Kepada satu soalan, beliau menjawab: “Kalau jiran ada di rumah, ketuk pintu dan masuk sajalah ke rumah mereka untuk beraya. Lebih-lebih lagi jiran merupakan kelompok aula (utama) untuk kita muliakan dan raikan.

Raya berjemput

JANGAN abaikan untuk menziarahi jiran tetangga ketika Hari Raya Aidilfitri ini. -Foto: 123rf

“Dengan tetangga, hubungan perlu dirapatkan daripada orang jauh. Jangan sesekali abaikan mereka.”