Browsing Tag

kudrat

Lupa baca doa awal dan akhir tahun
Isu,

Panjatkan doa jika tak mampu hulur wang, sumbang kudrat

GETAR rasa ingin hulur wang atau bantuan terhadap insan yang dihimpit kesempitan begitu membuak-buak dalam diri. Hati bagaikan ditarik-tarik mahu membantu mereka.

Namun apakan daya, diri tidaklah berpoket tebal, apatah lagi menyimpan gunungan harta. Wang yang berbaki dalam dompet hanya sekadar cukup-cukup makan.

Bukan itu sahaja, faktor jarak adakalanya membantutkan niat murni kita tadi. Mahu menyumbang kudrat pula kadangkala tidak terdaya.

Bukan mahu beralasan, tetapi barangkali ada dalam kalangan kita yang mempunyai hambatan kesulitan tersebut.

“Aku nak tolong mereka, tapi aku tak ada duit, sudahlah mereka duduk jauh.”

Hulur wang

MENGHULUR bantuan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit, banyak lagi cara lain boleh dilakukan. -FOTO: 123RF

Demikian antara frasa yang acap kali dibangkitkan. Masakan tidak, apabila melihat orang lain dirundung kesusahan, tetapi kita pula tidak mampu hulur wang atau membantu apa-apa. Sukar untuk diungkapkan perasaan terkilan yang membelenggu jiwa.

Baca juga Tidak Mampu Bantu, Jangan Pula Beri Mudarat Kepada Orang Lain

Ketahuilah bahawa dengan berdoa, kita sebenarnya boleh membantu meringankan beban ditanggung oleh insan yang ditimpa ujian.

Perkara itu juga dilakukan oleh Rasulullah SAW saat baginda tidak mampu membantu orang yang mendapat musibah dengan kudratnya.

Bahkan, ada sebuah hadis yang memerihalkan bahawa antara doa yang ‘diangkat’ oleh ALLAH SWT adalah apabila seorang hamba mendoakan saudaranya dalam keadaan mereka tidak mengetahuinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu mustajab. Di sisi orang (yang berdoa) itu ada malaikat yang mencatatnya. Setiap kali orang itu mendoakan kebaikan bagi saudaranya, maka malaikat mengucapkan: ‘Semoga ALLAH mengabulkan dan untukmu juga seperti itu.'” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Betulkan niat masa tolong orang, kelak ALLAH akan bantu kita

Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, pada suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh sekumpulan manusia yang sangat miskin.

DR AHMAD SANUSI

Mereka hanya berkaki ayam, di samping berpakaian dan berpenampilan yang menggambarkan kesusahan hidup masing-masing.

Sahabat nabi yang menyaksikan peristiwa itu berkata: “Berubah wajah Rasulullah bila mana melihat keadaan susah yang mereka hadapi.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Begitulah Rasulullah. Pemimpin yang sangat sensitif melihat kesusahan rakyat sehingga dapat dikenali daripada riak wajahnya. Rasulullah segera menghimpunkan para sahabat (setelah selesai solat) dan Baginda menyarankan agar golongan susah ini dibantu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Sama-sama Hulur Pertolongan Kepada Insan Yang Dihimpit Kesukaran Ketika Pandemik

Rasulullah SAW kemudian lantas membaca ayat 18, Surah al-Hasyr yang sering kita dengar dalam solat yang bermaksud: “Bertakwalah kamu sekalian kepada ALLAH dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dipersiapkan buat dirinya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada ALLAH.”

Jelas ahli akademik berkenaan, Surah al-Hasyr dipilih kerana ia seakan Rasulullah SAW ingin menjelaskan kepada kita bahawa sumbangan yang kita berikan kepada orang susah akan menjadi bekalan yang pasti buat kita di akhirat kelak.

“Mengertilah, membantu orang susah adalah sebahagian daripada sifat takwa. Begitulah kecintaan Rasulullah untuk membantu dan duduk bersama orang-orang yang susah.

“Baginda bukan sahaja mempunyai sifat kasih yang tinggi pada mereka, malah menyeru para sahabat agar membantu saudara mereka ini,” ungkapnya.

Hulur wang

HULUR wang atau bantuan mengikut kemampuan masing-masing terhadap insan yang memerlukan pertolongan. -FOTO: 123RF

Perbuatan dicintai ALLAH

Suatu perkara yang perlu diingati, menghulur bantuan tidak hanya terbatas kepada golongan fakir dan miskin sahaja, tetapi juga kepada semua yang memerlukan pertolongan.

Ia boleh sahaja datang dalam bentuk bantuan yang memberi manfaat kepada orang lain.

Dalam sebuah riwayat yang masyhur, pada suatu hari, terdapat seorang hamba ALLAH mendapati satu dahan pokok yang merentasi laluan orang ramai.

Dia pun bertekad: “Demi ALLAH, aku akan mengalihkannya supaya tidak menyakitkan (mengganggu) orang Islam. Hasilnya dia dimasukkan ke syurga kerana amalannya itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menerusi hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu memandang remeh terhadap kebaikan sekalipun hanya dengan kamu menuang air baldi ke dalam bekas orang yang meminta minuman. Ataupun hanya ketika kamu bertemu rakan kamu, kamu tersenyum kepadanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya, Islam memang sangat menganjurkan umatnya supaya saling membantu dan memudahkan urusan orang lain.

Baca juga Amalkan Selalu, Mudah-mudahan Bantuan ALLAH Segera Tiba

Memetik artikel yang disiarkan dalam portal berita berpengaruh Indonesia, Republika menjelaskan, sesiapa yang berbuat demikian, ALLAH SWT akan melepaskannya daripada satu kesukaran pada hari kiamat kelak dan akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang melapangkan seorang mukmin daripada kesusahan dunia, maka ALLAH SWT akan melapangkannya daripada kesusahan di hari kiamat…” (Sahih Muslim)

Hulur wang

RINGANKAN beban orang lain dan mudahkanlah urusan mereka. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Bahkan, dalam sebuah hadis lain, ketika ditanyakan oleh sahabat tentang perbuatan apa yang dicintai oleh ALLAH SWT, maka baginda SAW bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh ALLAH ialah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia lain. Sedangkan perbuatan yang paling dicintai ALLAH adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapus kesusahan orang lain, atau melunaskan hutang orang yang tidak mampu atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang Muslim untuk suatu keperluan lebih aku cintai daripada beriktikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan penuh.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Baca juga 6 ciri orang dicintai ALLAH, adakah anda salah seorang darinya?

Lihat betapa besarnya imbalan buat mereka yang menghulurkan pertolongan kepada golongan memerlukan.

Semoga bantuan kecil yang diberikan memberi kebahagiaan kepada orang lain dan memudahkan urusan mereka. Insya-ALLAH asbab amalan kita tadi, ALLAH SWT akan membantu kita kelak.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.