Browsing Tag

Kuasa sedekah

Kebaikan kecil
Gaya Hidup,

Besarnya kuasa sedekah hingga boleh panjangkan umur, terlindung daripada bahaya

JIKA mahu dihuraikan satu persatu, terlalu banyak kuasa sedekah hingga tidak terungkap kesemuanya.

Ya, bukan mudah untuk kita memberikan harta kita kepada orang lain. Sudah tentu ia memerlukan mujahadah yang tinggi untuk kita melakukan amalan mulia tersebut.

Lebih-lebih lagi tatkala kita dihimpit kesempitan hidup. Detik itulah sebenarnya waktu terbaik untuk bersedekah.

Adakalanya kita sudah memasang niat untuk bersedekah. Namun, dek kerana hambatan tertentu, akhirnya ia hanya tinggal nawaitu sahaja.

Antara waktu yang dianjurkan untuk kita berinfak adalah ketika diri dalam keadaan sihat, bimbang jatuh miskin dan berharap menjadi kaya.

Baca juga 10 adab bersedekah yang mesti kita amalkan

Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata, seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”

Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan, harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kuasa sedekah

SEDEKAH tidak akan mengurangkan hartamu tetapi menambahkan berkat dan rezeki daripada-NYA. -Foto: 123rf

Suatu perkara yang menarik apabila bersedekah, perbuatan baik itu sebenarnya dapat memanjangkan umur kita!

Ia bukan omongan kosong semata-mata kerana ada sebuah hadis yang memerihalkan tentangnya sebagaimana dipetik menerusi artikel disiarkan people.utm.com.

Daripada Amru bin Auf RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan ALLAH SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (daripada pemberiannya).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain memanjangkan usia dan mencegah kematian dalam keadaan teruk, banyak lagi kuasa sedekah yang boleh memberi impak kepada kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Dengan merujuk sumber daripada people.utm.com, Perkim Datuk Keramat dan laman web Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), Sinar Islam Plus menyenaraikan kelebihan apabila kita berinfak.

Berikut perinciannya:

1. Menguatkan iman dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Biarlah apa yang kita lakukan itu dibuat semata-mata kerana-NYA demi mendekatkan diri kepada Sang Khalik, bukan mahu menunjuk-nunjuk.

Kuasa sedekah

BERSEDEKAH merupakan salah satu amalan untuk menghampirkan diri kepada ALLAH SWT. -Foto: 123rf

Insya-ALLAH amalan itu akan diterima oleh-NYA. Ingatlah, ALLAH begitu menyayangi hamba-NYA yang banyak memberi kerana-NYA.

2. Ubat segala penyakit.

Sebab itulah kita digalakkan untuk banyakkan menghulur pemberian. Ini kerana sedekah menjadi penawar bukan sahaja untuk penyakit berbahaya dan biasa.

Baca juga 6 kehebatan iringi Muslim yang bersedekah

Malah, ia turut berupaya mengubati penyakit hati seperti dengki, sombong, kedekut, riak dan bongkak dengan harta dimiliki.

3. Menghapuskan dosa.

Andai dosa boleh dilihat, pasti ramai yang berasa gerun. Tanpa berlengah, terus sahaja ia ditebus dengan amalan seperti bersedekah.

Dalam hadis riwayat Imam at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.”

4. Menambah rezeki.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka pasti azab-KU sangat berat.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kuasa sedekah

ALLAH SWT melapangkan dan menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.

5. Terhindar daripada sifat kedekut.

Orang yang memberi sudah pastilah mereka tidak kedekut. Perbuatan memberi sumbangan itu sebenarnya memupuk diri menjadi dermawan seperti dianjurkan Islam.

Baca juga Hidup di dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu

Ketahuilah, sedekah juga sebenarnya diajarkan menerusi amalan berzakat dan berkorban sebagai ibadah wajib dalam Islam.

6. Terhindar daripada azab kubur.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Sahih Muslim)

7. Melindungi diri daripada bahaya.

Rasulullah SAW bersabda: “Bersegeralah bersedekah sebab bala tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani)

8. Memudahkan urusan hidup.

Kuasa sedekah

ALLAH SWT akan memudahkan urusan kehidupan kita jika kita berbuat demikian kepada orang lain.

Seandainya kita tidak berharta, berdoalah semoga kehidupan kita akan jadi lebih baik. Ini kerana doa juga merupakan satu bentuk sedekah.

Baca juga Lakukan tujuh amalan ini supaya pahala kekal mengalir setelah kita meninggal dunia

Jika infak itu dilakukan dengan ikhlas, insya-ALLAH kita akan dilindungi dan dirahmati. Malah, menerusi amalan itu, kita sebenarnya sudah memudahkan urusan orang lain. Maka ALLAH SWT akan membalasnya dengan memudahkan urusan kita.

Subhanallah, kuasa sedekah itu bukan calang-calang imbalannya. Hebatnya manfaat berinfak itu bukan sekadar memperelokkan kehidupan orang yang memerlukan, tetapi ALLAH SWT juga memperbaiki kehidupan kita di akhirat kelak.