Browsing Tag

kriket

Khawaja-1
Jendela Dunia,

Usman Khawaja lompat dari pentas elak kena semburan arak

 

ARAK menyebabkan ahli sukan Muslim berdepan masalah bagi meraikan kemenangan dalam pertandingan antarabangsa seperti yang dilalui oleh pemain kriket Australia, minggu lalu.

Pemain kelahiran Islamabad, Pakistan, Usman Khawaja, melompat dari pentas apabila rakan sepasukannya membuka penutup botol champagne untuk menyembur arak bagi meraikan kemenangan 4-0 Australia terhadap England dalam Siri Ashes.

Klip video memaparkan Usman, melompat dari pentas di Hobart’s Bellerive Oval untuk mengelakkan terkena semburan champagne menjadi viral di media sosial.

Namun, Usman bernasib baik kerana kapten pasukannya, Pat Cummins, yang menyaksikan tindakan itu, segera meminta rakan sepasukan lain meletakkan botol arak di tepi dan memanggilnya kembali ke pentas dengan menggunakan gerak isyarat tangannya, lapor portal Firstpost.

Usman yang bermain dalam dua perlawanan terakhir siri lima perlawanan ujian, kembali ke pentas dan berlutut di sisi Cummins ketika anggota pasukan itu bersorak riang di hadapan kamera.

Tindakan Cummins memastikan Usman, pemain kriket Muslim pertama Australia, tidak terkena arak ketika meraikan kemenangan itu.

“Anggota pasukan kami datang dari pelbagai latar belakang. Perbezaan ini perlu diraikan. Anda mahu memastikan setiap orang selesa menjadi sebahagian pasukan ini.

“Mereka (anggota pasukan) sangat menakjubkan di ruang itu. Mereka selalu memerhatikan antara satu sama lain. Kami benar-benar sebuah kumpulan yang rapat,” kata Cummins.

Cummins berpendapat bahawa antara faktor menyebabkan mereka mengenepikan botol arak itu kerana sikap saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain serta mahu memastikan setiap anggota pasukan diabadikan dalam foto.

Usman yang bermain buat kali pertama perlawanan ujiannya dalam tempoh lebih dua tahun, memukul ratusan kali setiap kali gilirannya dalam perlawanan keempat di Sydney.

Memulakan giliran di Hobart, pemain kidal itu membuat enam dan 11 jaringan, serta muncul sebagai penjaring kelima tertinggi dalam lima perlawanan siri ujian itu.

Usman menjadikan Twitter sebagai platform untuk mengucapkan terima kasih kepada Cummins kerana memberikan gerak isyarat supaya kembali ke pentas.

“Saya menghargai tindakan rakan sepasukan yang sanggup menghentikan meraikan kemenangan dengan champagne supaya dapat bersama mereka. Nilai ini dalam sukan sangat penting. Saya berpendapat kami sedang bergerak ke arah yang betul,” katanya.

Tindakan Cummins memberi gerak isyarat dipuji peminat, termasuk mantan pemain kriket England, Isa Guha yang berkata: “pemimpin yang baik sentiasa melihat pasukan secara keseluruhan dan menghormati setiap orang secara saksama.”

Algulf
Jendela Dunia,

Taliban Larang Siar IPL di Afghanistan Kerana Kandungan Anti-Islam

PEMINAT sukan kriket antarabangsa khususnya warga di Afghanistan, tidak lagi akan dapat menonton Liga Perdana India (IPL) yang kembali bersambung tahun ini kerana mendapat tentangan oleh pemerintahan Taliban.

Mereka antara pemain kriket kelahiran Afghanistan yang bermain dalam Liga Perdana India. Gambar: Sportslightmedia

IPL 2021 yang diadakan di Emirah Arab Bersatu (UAE) dan turut disertai beberapa pemain handalan dari Afghanistan seperti Rashid Khan, Mohammad Nabi dan Mujeeb ur Rahman tidak akan disiarkan secara langsung di negara itu kerana Taliban mendakwa penyiarannya mengandungi kandungan anti-Islam.

Perlawanan pertama yang diadakan pada Ahad lalu antara Chennai Super Kings dan juara bertahan, Mumbai Indian tidak dapat disaksikan seluruh penduduk di Afghanistan atas arahan kerajaan pimpinan Taliban.

Bekas Pengurus Media Lembaga Kriket Afghanistan, M Ibrahim Momand menulis di dalam akaun media sosialnya menyatakan bahawa, kemungkinan kandungan anti-Islam, gadis menari dan kehadiran wanita yang tidak memakai tudung antara sebab utama siarannya diharamkan di negara itu.

Malah banyak media antarabangsa juga turut melaporkan bahawa pemerintah Taliban telah melarang IPL disiarkan di Afghanistan.

Salah satu pasukan Kriket Afghanistan yang banyak melakar kejayaan. Gambar: Medium

Pada bulan Ogos lalu, Taliban telah mengatakan bahawa mereka tidak akan mengganggu pasukan Kriket Lelaki Kebangsaan Afghanistan. Ia kerana kriket sering menjulang kejayaan sukan terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah Taliban juga tidak akan menghentikan penyertaan pasukan itu dalam liga utama Twenty20.

Minggu lalu, Ketua Sukan Afghanistan, Bashir Ahmad Rustamzai mengatakan bahawa Taliban akan membenarkan rakyatnya menyertai 400 jenis sukan di negara itu, namun enggan mengesahkan sama ada wanita antara dibenarkan atau tidak terlibat sama dalam antara sukan berkenaan.

“Jangan tanya lebih banyak mengenai wanita,” kata Bashir kepada agensi berita AFP.

Semasa rejim itu menindas rakyatnya dari tahun 1996 hingga 2001, wanita dilarang sama sekali bermain apa saja sukan,  sementara sukan lelaki dikawal dengan ketat. Wanita juga dilarang mendapat pendidikan dan pekerjaan.

Banyak aktivis hak wanita Afghanistan secara global takut sekiranya pemerintahan Taliban akan mengulangi dasar sebelum ini setelah kumpulan itu berjaya menggulingkan pemerintah yang disokong AS bulan lalu.

 

Sumber: The Indian Express