Browsing Tag

kiri atau kanan

jam tangan
Gaya Hidup,

Tangan kanan atau kiri, mana lebih afdal untuk pakai jam tangan?

KETIKA ini, walaupun masih ramai memilih menjadikan telefon bimbit untuk melihat masa, namun penggunaan jam tangan masih lagi relevan.

Bercakap tentang jam tangan, ada yang lebih selesa untuk memakainya pada tangan kiri, tidak kurang juga yang menggayakannya pada bahagian kanan. Semuanya mengikut keselesaan si pemakai.

Namun, tangan manakah sebenarnya yang lebih baik untuk pemakaian jam tersebut? Tangan kanan atau kiri? Adakah ia dilihat tidak elok atau ‘gagal’ menepati sunnah andai dipakai pada tangan kiri?

Menjawab persoalan tersebut, agamawan terkemuka, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan, pemakaian jam tangan adalah diharuskan secara ringkasnya.

Pun demikian, beliau mengajak umat Islam untuk memahami bahawa jam tangan yang dipakai pada hari ini tidak dikenali pada zaman dahulu.

Baca Juga Jumpa wang di tepi jalan, ambil atau biarkan. Ini penjelasan Dr Zulkifli

“Justeru, kita hendaklah melihat perhiasan yang serupa atau mirip kepada jam tangan dan secara zahirnya, ia dilihat menyerupai perbuatan memakai cincin,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.

Agamawan itu kemudian menukilkan pandangan Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin yang menyatakan, memakai jam tangan pada tangan kanan tidak ada masalah dan tidak juga ada keutamaan (afdhaliyyah) padanya. Malah, seseorang itu boleh memilih untuk memakai jam tangannya pada mana-mana tangan, sama ada kanan atau kiri.

SESEORANG lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu. Foto: Pexels

“Sesungguhnya telah sabit daripada Nabi Muhammad SAW bahawasanya Baginda kadang-kadang memakai cincin pada tangan kanannya, dan kadang-kadang memakainya pada tangan kirinya. Pemakaian jam tangan termasuk dalam jenis cincin (dari segi hukumnya).

“Berdasarkan perkara itu, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin berpendapat, tidak mengapa seseorang itu memakai jam tangan pada tangan kirinya. Begitu juga tidak mengapa memakainya pada tangan kanan, dan tidak ada sebarang kelebihan mahupun keutamaan dalam pemakaiannya ke atas yang lain (sama ada kanan atau kiri),” terangnya.

Artikel Berkaitan 

Dalam pada itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan tersebut mengakui, ramai orang pada hari ini mengenakan jam pada tangan kiri lantaran tangan kanan lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding tangan kiri.

“Jika dia memakai jam tangan pada tangan kanannya, berkemungkinan ia akan menghalang atau mengganggu aktiviti sehariannya atau kemungkinan juga akan mendedahkannya kepada kerosakan,” katanya.

“Oleh sebab itu, tidak menjadi masalah mereka berbuat demikian,” katanya.

TIDAK menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan. -Foto: Pexels

Bagaimanapun, Dr Zulkifli menjelaskan, para ulama Mazhab Syafie berpandangan bahawa pemakaian cincin pada tangan kanan adalah lebih afdal dan utama.

Ia sebagaimana pendapat Imam al-Nawawi yang menyebutkan, dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai cincin perak pada jari kelingking tangan kanannya dan sekiranya dia mahu, individu tersebut boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya.

Turut Disyorkan Islam izin kongsi kisah rumahtangga selagi tidak aibkan pasangan

“Kedua-duanya sahih dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Akan tetapi, pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdal untuk memakainya pada tangan kanan kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia,” titipnya.

Berdasarkan kepada kenyataan itu, agamawan tersebut berpendapat, tidak menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan.

Namun, jika seseorang itu memakai jam pada tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW (ittiba‘ al-Nabi) dalam hal mendahulukan anggota kanan, maka tidak syak lagi ia adalah lebih afdal dan mendapat pahala.

Sumber : maktabahalbakri