Browsing Tag

khuluk

Rujuk semula
Hukum,

Cerai fasakh, taklik dan khuluk tak boleh rujuk semula, perlu akad nikah yang baharu

APABILA pasangan selebriti popular, Diana Danielle dan Farid Kamil dilaporkan rujuk semula, memang ramai yang gembira dengan perkhabaran penyatuan tersebut.

Bercakap tentang rujuk selepas bercerai, rupanya bukan semua jenis talak dibenarkan rujuk.

Memetik hantaran yang dikongsikan Tuan Mohamad Azlin dalam laman sosial Facebook miliknya, pasangan yang bercerai melalui cerai fasakh, taklik dan khuluk (tebus talak), mereka tidak boleh rujuk jika ingin bersama semula.

“Andai hendak bersama semula, pasangan ini perlu melalui akad nikah yang baharu,” katanya.

Jelas beliau, suami boleh rujuk semula isterinya jika mahu semasa wanita tersebut masih dalam idah hanya jika mereka bercerai talak raji.

Baca juga Suami mengaku bujang atau duda. Awas, jangan sampai jatuh talak

“Maknanya, selepas berlaku perceraian, jika suami atau isteri mahu kembali semula, mereka hanya perlu rujuk semula tanpa akad nikah yang baharu.

Rujuk semula

JIKA bercerai talak raji, pasangan boleh rujuk semula tanpa akad nikah yang baharu semasa tempoh idah, andai suami atau isteri mahu kembali semula.

“Suami boleh melafazkan lafaz rujuk dan pasangan dikira kembali semula dalam perkahwinan mereka.

“Namun begitu, lafaz rujuk yang dibuat di luar mahkamah perlu kepada pengesahan rujuk di badan kehakiman tersebut,” ungkapnya.

Bagi perceraian secara fasakh atau taklik, Tuan Mohamad Azlin atau nama penuhnya, Mohamad Azlin Razali yang juga pengamal undang-undang syariah menjelaskan, pasangan tersebut tidak boleh rujuk dengan cara seperti itu jika hendak bersama semula.

“Itulah kesan kepada perceraian jenis ini. Ini kerana perceraian ini adalah jenis cerai talak bain sughra (kecil).

“Pasangan yang hendak bersama semula perlu kepada akad nikah baharu iaitu macam mula-mula nikah dulu. Tidak boleh hanya dengan lafaz rujuk,” jelasnya.

Baca juga Rupanya hadis ‘talak menggegarkan Arasy’ tidak sahih

Fakta sama turut disuarakan oleh Mohd Anuar & Co menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Rujuk semula

BAGI perceraian fasakh, kulukh dan taklik, perlu akad nikah yang baharu andai pasangan mahu hidup bersama semula dan ia juga memerlukan kepada mas kahwin yang baharu. -Foto: 123rf

Bukan sekadar akad nikah sahaja, beliau menjelaskan, ia juga memerlukan kepada mas kahwin yang baharu.

Bagaimanapun, bagi perceraian jenis talak bain kubra pula (talak tiga), suami tidak boleh rujuk melainkan bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain dan bersama dengan suami baharunya serta menceraikannya.

“Maka, barulah dia boleh berkahwin dengan bekas isterinya selepas tempoh idah tamat,” katanya.