Browsing Tag

ketibaan jemaah haji

ketibaan jemaah haji terakhir
Istimewa Panggilan Baitullah,

Kumpulan terakhir jemaah haji selamat tiba, berikut 3 tanda haji mabrur yang anda wajib tahu

SERAMAI 284 jemaah haji Malaysia yang menjadi kumpulan terakhir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat MH8391 pada jam 1:15 petang semalam (1 Ogos 2023).

Kumpulan jemaah haji yang berlepas pada Isnin, jam 10:50 malam (waktu Arab Saudi) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah telah disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Tahun ini, seramai 31,600 jemaah Malaysia menunaikan haji membabitkan 98 penerbangan pergi bermula 21 Mei sehingga 21 Jun lalu.

284 jemaah haji terakhir telah disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Ini tanda haji mabrur

Ungkapan ‘Semoga memperoleh haji mabrur’ adalah ungkapan yang sering kali diucapkan kepada para jemaah yang akan berangkat ke tanah suci. Namun, sejauh manakah status mabrurnya haji atau umrah seseorang?

Menerusi portal tzkrh.my, terdapat beberapa pendapat para ulama tentang haji yang diterima oleh ALLAH SWT.

1. Haji yang tidak bercampur dengan dosa dan kemaksiatan

Ulama yang lainnya mengatakan, “Haji mabrur adalah haji yang tidak tercampur dengan dosa.” Pendapat ini dipilih oleh Imam an-Nawawi.

Ilmuan fiqh mengatakan bahawa haji mabrur bermaksud haji yang tidak dikotori dengan kemaksiatan ketika menunaikan manasik haji.

Artikel Berkaitan 

2. Tidak ada keinginan untuk menunaikan maksiat apabila pulang daripada menunaikan haji

Al Qurthubi rahimahullah menyimpulkan, “Haji mabrur adalah haji yang tidak dikotori oleh maksiat saat melaksanakan manasik dan tidak lagi gemar bermaksiat setelah pulang haji.”

Al-Faro’ pula berpendapat bahawa haji yang mabrur adalah apabila jemaah pulang daripada menunaikan haji, tidak ada lagi keinginannya untuk melakukan maksiat. Dua pendapat ini juga ada disebutkan oleh Ibnul ‘Arabi.

3. Menjadi zuhud dengan dunia dan rindu kepada akhirat

Sedangkan Al-Hasan Al Basri rahimahullah mengatakan, “Haji mabrur adalah jika sepulang haji, seseorang itu menjadi orang yang zuhud dengan dunia dan rindu kepada akhirat.”

ILMUAN fiqh mengatakan bahawa haji mabrur bermaksud haji yang tidak dikotori dengan kemaksiatan ketika menunaikan manasik haji. 

Pendapat paling rajih (kuat) tentang haji mabrur

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata, “Pendapat yang paling kuat dan yang paling terkenal, haji mabrur adalah haji yang tidak ternodai oleh dosa, diambil dari kata-kata birr yang bermakna ketaatan.

Ada juga yang berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang diterima. Di antara tanda diterimanya haji seseorang adalah adanya perubahan menuju yang lebih baik setelah pulang dari pergi haji dan tidak membiasakan diri melakukan berbagai maksiat.

Turut Disyorkan Selepas dapat ‘title’ haji dan hajah, apa para hujjaj patut buat setelah balik haji?

Ada pula yang mengatakan bahwa haji mabrur adalah haji yang tidak bercampur dengan unsur riyak. Ulama yang lain berpendapat bahwa haji mabrur adalah jika sepulang haji tidak lagi bermaksiat. Dua pendapat yang terakhir telah terangkum dalam pendapat-pendapat sebelumnya.” (Sahih Muslim)

Haji yang sah tidak semestinya haji yang mabrur. Ia barangkali sah dari sisi syariat namun seseorang itu mungkin masih melakukan perkara-perkara yang dilarang yang dapat mencacatkan pahala ibadah hajinya.

Namun dari segi hukum, telah hilang kewajipan baginya kerana telah selesai menunaikan rukun Islam yang kelima.