Browsing Tag

Kesilapan ketika Hari Raya Aidilfitri

Larangan berziarah
Gaya Hidup,

Elak lakukan 15 kesilapan ini ketika Hari Raya Aidilfitri

Elak lakukan 15 kesilapan ini ketika Hari Raya Aidilfitri

WALAUPUN perasaan seronok bertamu dalam hati dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun usahlah kita terlalu girang hingga mengabaikan perkara lain.

Sebaliknya, bersederhana adalah lebih baik sepertimana dianjurkan oleh agama Islam.

Aidilfitri bukanlah bermakna kita sudah bebas daripada melakukan kesalahan selepas menahan diri daripada segala-galanya ketika Ramadan.

Lebaran itu merupakan hari kemenangan umat Islam yang diraikan setelah kita berjaya menunaikan Rukun Islam keempat dengan sempurna.

Hakikatnya, perkataan Aidilfitri itu sendiri membawa maksud kembali atau pulang kepada fitrah manusia yang lahir dalam keadaan suci dan bersih daripada noda serta dosa.

Baca juga Di sebalik nama bulan Syawal

Lantaran itu, usahlah terlalu bergembira hinggakan tanpa sedar melakukan kesilapan tidak sewajarnya.

Kesilapan ketika Hari Raya Aidilfitri

USAH terlalu berseronok beraya hingga tanpa sedar melakukan kesilapan yang tidak sewajarnya dilaksanakan. -Foto: 123rf

Sinar Islam Plus kongsikan beberapa kesilapan yang sering dilakukan masyarakat ketika Hari Raya Aidilfitri sebagaimana dipetik menerusi artikel yang pernah disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Berikut perinciannya:

1. Tidak menunaikan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat sembahyang, sebaliknya hanya duduk di rumah.

2. Terlalu banyak menonton rancangan televisyen hingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal itu semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.

3. Tidak menutup aurat atau berpakaian menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.

4. Memasang lagu-lagu atau nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya andai ia digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.

5. Beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh yang amat panjang hingga mengganggu tuan rumah.

Kesilapan ketika Hari Raya Aidilfitri

JANGAN terlalu lama beraya di rumah orang. -Gambar hiasan/Foto: 123rf

6. Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan satu rumah yang lain.

Baca juga Menu Rahmah sekalipun, jangan sesuka hati menghina rezeki dari ALLAH

7. Meminta duit secara berlebih-lebihan hingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.

8. Bersalam-salaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram atau berkumpul setempat hingga timbul perasaan kurang senang.

9. Beraya hingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambat-lambatkan solat pada waktunya.

10. Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah para bangsawan dan hartawan.

11. Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. 

12. Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim dan mereka yang berada dalam kedaifan.

Kesilapan ketika Hari Raya Aidilfitri

RINGAN-RINGANKAN tangan untuk menghulurkan sedekah kepada golongan yang memerlukan dan dalam keadaan daif. -Foto: 123rf

13. Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.

14. Terlupa menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan, sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.

Baca juga 70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini

15. Berlebih-lebihan dalam berpakaian hingga menampakkan kemewahan yang melampau dan membawa perasaan takbur, riak dan sombong.

Kepada seluruh umat Islam, elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dinyatakan itu. Bukan apa, kalau boleh biarlah apa yang kita lakukan itu berpahala dan tidak mengundang dosa.

Padahal kita baru sahaja melalui madrasah Ramadan yang mendidik diri menjadi insan lebih bertakwa.