Browsing Tag

kesalahan dan kepalsuan bulan Rejab

Rejab
Ibadah,

Kesalahan dan kepalsuan berkaitan bulan Rejab yang sering dibangkitkan

UMAT Islam sememangnya sedia maklum Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang mulia, selain Muharam, Zulkaedah dan Zulhijah.

Perkara itu jelas dinyatakan menerusi firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut ALLAH ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketentuan ALLAH pada waktu DIA menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketentuan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (keempat-empat bulan) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu. Dan ketahuilah bahawa ALLAH bersama orang-orang yang bertakwa.” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Baca juga Dosa Digandakan Apabila Melakukan Maksiat Dalam Bulan Haram?

Dalam hadis oleh Abi Bakrah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jika diteliti makna kalimah Rejab itu sendiri, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Arieff Salleh Rosman menjelaskan, maksud perkataan itu adalah agung sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali menerusi Lata’if al-Ma’arif.

DR ARIEFF SALLEH

“Oleh sebab itu, Rejab ialah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaannya adalah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang menurut majoriti ulama terjadi pada 27 Rejab,” katanya dipetik menerusi hantaran bertajuk ‘Bulan Rejab: Kemuliaan Dicemari Kepalsuan’ yang disirkan dalam laman sosial Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM.

Bagaimanapun, Dr Arieff Salleh yang pernah menganggotai Felo Fatwa Jakim menjelaskan, terdapat isu lain timbul apabila kemuliaan Rejab sebagai salah satu bulan haram itu telah dicemari dengan pengagungan bersumberkan kepada laporan atau hadis palsu yang direka-reka.

Dalam ilmu hadis, ia diistilahkan sebagai hadis maudhuk, ungkapnya.

Baca juga Maraton ibadah menuju Ramadan bermula pada bulan Rejab ini

Berikut perincian kemuliaan bulan Rejab yang dicemari sumber tidak benar:

1. Mengagungkan Rejab.

Ia bukanlah suatu perkara baharu kerana sifat sebegitu sudah pun wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Masyarakat Arab jahiliah begitu mengagungkan Rejab hingga menjadikannya sebagai perayaan.

Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia saat tibanya Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

2. Janji manis tentang ganjaran amalan khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.

Rejab

LAKUKAN amalan sunat semata-mata kerana ALLAH SWT, bukan disebabkan kemuliaan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain. -FOTO: 123RF

Ketahuilah bahawa tiada amalan khusus dalam bulan ketujuh dalam kalendar Islam itu yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dalam hadis sahih.

Amalan seperti solat sunat Rejab, puasa sunat Rejab dan umrah dalam bulan berkenaan sebahagian kecilnya sebenarnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakannya adalah hadis palsu (maudhuk).

Sebenarnya, isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji ‘manis’ daripada sumber yang palsu wujud sekian lama.

Antara ulama silam yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad SAW berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya ialah Imam Abu al-Khattab ‘Umar bin Hasan Ibn Dihyah (633 Hijrah), ahli hadis yang mengarang buku ‘Ada’ ma wajab min bayan wad’ al-wadda’in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab) dan Imam Ibn Hajar al-’Asqalani (852 Hijrah) menerusi risalah Tabyin al-’ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab).

Dalam bab puasa sunat Rejab misalnya, seorang ulama tabiin, ‘Ata menyatakan, Nabi Muhammad SAW melarang kita daripada berpuasa penuh sebulan dalam bulan berkenaan agar tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana dilakukan oleh masyarakat Arab jahiliyah.

Baca juga Hikmah di sebalik bulan Rejab yang ramai tidak perasan…

Akan tetapi, andai seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa Rejab adalah lebih utama daripada bulan-bulan lain dan tidak mengkhususkan puasa pada hari tertentu bulan berkenaan bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan baginya.

Begitu juga halnya bagi individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dirinya melakukannya dalam bulan-bulan lain.

Rejab

ANDAI seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan-bulan lain dan tidak mengkhususkan puasa pada hari tertentu bulan berkenaan bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan baginya. -FOTO: 123RF

Bagaimanapun, jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan khusus untuk bulan berkenaan, maka ia adalah amalan yang dilarang.

Kelebihan Rejab bersumberkan laporan/ hadis palsu

Bukan sekadar amalan, malah terdapat enam kelebihan bulan Rejab yang begitu masyhur pada pendengaran kita rupanya bersumberkan laporan/ hadis palsu.

Dr Arieff  Salleh memberikan ulasan panjang lebar mengenainya. Berikut butirannya:

1. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya ALLAH muliakan kamu dengan 1,000 kemuliaan pada hari kiamat.

Ketahuilah bahawa laporan itu palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong. Beliau yang dimaksudkan ialah Abu al-Barakat Hibatullah Ibn al-Mubarak al-Saqati.

2. Rejab bulan ALLAH, Syaaban bulan-KU dan Ramadan bulan umat-KU.

Acap kali juga kita mendengar hadis sebegini berlegar-legar setiap kali tibanya bulan Rejab. Malangya, laporan itu palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong itiatu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash.

Malah, dalam rantaian pelapor hadis itu juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa’i.

3. Fadilat Rejab daripada segala bulan seperti kelebihan al-Quran atas segala zikir.

Rejab

BANYAKKANLAH berzikir dan beristighfar tanpa mengira waktu atau bulan-bulan tertentu. -FOTO: 123RF

Pernyataan itu juga palsu kerana ia direka oleh Abu al-Barakat Hibatullah Ibn al-Mubarak al-Saqati, pelapor yang dilabel ulama hadis sebagai seorang pembohong.

4. Sesiapa berpuasa selama tiga hari dalam bulan Rejab, ALLAH SWT menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Barang siapa yang berpuasa tujuh hari, ditutup baginya tujuh pintu neraka dan sesiapa yang berpuasa lapan hari, ALLAH membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan itu, ALLAH menuliskan untuknya memperoleh keredaan-NYA, sesiapa yang ditulis baginya keredaan-NYA, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan dalam bulan berkenaan, ALLAH akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah.

Itu juga termasuk dalam laporan palsu kerana direka oleh pelapor yang dilabel seorang pembohong oleh para ulama hadis. Beliau ualah Aban bin Abi ‘Iyash.

Baca juga Tak puasa sunat Rejab ‘tidak mengikut sunah’?

Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari pada bulan Rejab juga palsu. Antaranya ia direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin ‘Antarah dan Farrat bin al-Sa’ib.

5. Sesiapa yang solat Maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan 10 kali salam, setiap rakaat dibaca Surah al-Fatihah dan selepas itu membaca Surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya?

Kenyataan itu palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim.

Terdapat juga laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi ‘Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai solat sunat Ragha’ib.

6. Bersedekah pada bulan Rejab akan dijauhkan ALLAH daripada api neraka.

Rejab

SEDEKAH pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada bulan-bulan tertentu. -FOTO: 123RF

Ketahuilah, pernyataan itu palsu kerana ia direka oleh Aban bin Abi ‘Iyash, yang dilabel sebagai seorang pereka hadis oleh ulama hadis.

Melihat semua hujah dan fakta tersebut, agak mengejutkan kerana terdapat pernyataan yang seakan sudah sebati dalam masyarakat kita.

Namun begitu, dalam bab amalan, tiada masalah untuk kita berpuasa mahupun mendirikan solat sunat pada bulan ketujuh dalam kalendar Islam itu asalkan memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas semata-mata untuk bertaqarrub kepada ALLAH SWT.

***Foto: Freepik