Browsing Tag

kesal

Menyesal
Gaya Hidup,

Biar kesal di dunia, jangan jadi 5 golongan menyesal pada hari kiamat nanti

KALIMAH menyesal dan bermuhasabah diri kerap kali dituturkan. Dengarlah mana-mana ceramah agama mahupun artikel kerohanian, dua perkataan itu seakan wajib diungkapkan.

Mengertilah, sifat kesal itulah yang akan membawa kita lebih hampir kepada ALLAH SWT. Biar berulang kali disebut, jangan sampai kita tiada langsung pesanan hingga akhirnya kita menyesal apabila tibanya hari perhitungan di akhirat kelak.

Istilah menyesal bukan sahaja wujud di dunia. Ketahuilah bahawa sifat seperti itu akan turut dirasai oleh kelompok tertentu pada hari kiamat nanti.

Baca juga Kenali golongan yang muflis di akhirat… Jangan sesekali menjerumuskan diri

Ia sebagaimana yang dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi hantaran di Facebook miliknya dan portal berita liputan6.com.

DR AHMAD SANUSI

Menerusi dua sumber berkenaan, Sinar Islam Plus menyenaraikan lima golongan menyesal pada hari kiamat yang disebutkan dalam al-Quran.

Perinciannya adalah seperti berikut:

1. Menyesal kerana tidak taat kepada ALLAH dan rasul-NYA.

Baca juga Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

ALLAH SWT berfirman: “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada ALLAH serta taat kepada rasul ALLAH.” (Surah al-Ahzab, ayat 66)

Sebagai seorang hamba, berusahalah untuk menjadi insan yang taat dan patuh kepada YANG MAHA ESA. Usah sesekali melanggar larangan-NYA.

2. Menyesal kerana tidak mengikuti rasul.

Firman ALLAH SWT: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama rasul.” (Surah al-Furqan, ayat 27)

Nabi Muhammad SAW sememangnya menjadi contoh teladan yang baik bagi seluruh umat manusia. Baginda berakhlak al-Quran, malah menyediakan panduan dan bimbingan buat kehidupan Muslim.

3. Menyesal sebab tidak beramal.

Baca juga Hilangnya amal ketika lidah dirajai nafsu

Firman ALLAH SWT: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini).” (Surah al-Fajr, ayat 24)

Menyesal

BERAMALLAH sebanyaknya untuk mengumpul menuai ladang pahala pada hari akhirat kelak dan tidak menjadi individu yang menyesal di alam yang kekal abadi nanti. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Jadi apabila orang berpesan kepada kita supaya banyakkan amalan kebaikan, usah mudah berasa bosan. Tidak mengapa kita saling mengingat antara satu sama lain. Siapa tahu, ada hati yang akan ‘terjentik’ untuk melakukannya dan berubah satu hari nanti.

4. Menyesal kerana salah pilih rakan.

Baca juga Hati-hati pilih kawan. Jangan sampai tersilap langkah

Dalam Surah al-Furqan, ayat 28, ALLAH SWT berfirman: “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib.”

Sebab itulah pentingnya memilih lingkungan seputar sahabat yang baik. Biarlah teman yang dipilih itu melorongkan kita ke arah kebaikan, bukan menjauhkan diri daripada Sang Pencipta!

5. Orang kafir.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMI telah mengingatkan kamu (orang kafir) azab yang hampir, pada hari manusia melihat apa yang telah dilakukan oleh kedua belah tangannya, lalu orang kafir berkata, “Alangkah baiknya jika dahulu aku menjadi tanah”.” (Surah an-Naba’, ayat 40)

Justeru, sama-samalah kita beringat agar tidak menyesal pada kemudian hari.

Sesuailah benarlah dengan peribahasa ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna’.

Usah pula kita membiarkan diri berkata nanti, sedangkan rumah sudah membuka pintu seluas-luasnya untuk kita pergi dan alam barzakh pula memanggil-manggil penghuninya.

Sedih
Isu,

Bila rasa sedih, kesal dan marah, elakkan diri daripada cakap ‘kalau’

APABILA rasa sedih, kesal mahupun marah mula bertamu dalam hati, bibir kita begitu mudah menghamburkan segala sakit yang terbuku dalam hati.

Berhati-hatilah kerana bimbang andai kita menuturkan sesuatu yang boleh menjauhkan diri kita daripada ALLAH SWT seperti menggunakan kalimah ‘kalau’ hingga menidakkan suratan-NYA.

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, terdapat keadaan yang dibenarkan untuk menggunakan istilah berkenaan dan ada juga tegahannya dalam Islam.

Kedua-dua penggunaan perkataan tersebut melibatkan nawaitu dan hati masing-masing, ungkapnya.

Secara spesifiknya, katanya, kalimah ‘kalau’ yang dilarang oleh Nabi Muhammad SAW adalah jika ia menjurus kepada rasa sedih dan membawa kepada penyesalan kisah-kisah lalu hingga menyebabkan seseorang mempertikaikan qada serta qadar ALLAH SWT.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Satu lagi pula jika ungkapan berkenaan memicu kepada kemurkaan (marah dengan kisah silam). Demikianlah penjelasan para ulama mengapa istilah berkenaan dilarang sama sekali dituturkan.

Baca juga Jangan kerana ungkapan ‘kalau’, akidah jadi binasa

“Misalnya, menyebut perkataan ‘kalau’ menyebabkan diri dalam kesedihan, tertekan, menyesal tak sudah, seolah-olah menyalahkan diri sendiri sepertimana yang dilihat dalam realiti masyarakat kita sekarang.

“Ia termasuklah penyakit berkaitan mental dan psikologi yang menimpa seseorang disebabkan mempersoalkan cerita lama hingga menjadi tertekan, lalu menyalahkan diri sendiri,” terangnya panjang lebar ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Dek kerana larut dibuai perasaan yang menyesakkan itu, maka terlontar jua pernyataan-pernyataan seperti ‘kalau aku buat begini, mesti situasi tak jadi begitu’ dan ‘kalau aku datang awal, mesti dia hidup lagi’.

Jika diteliti, jelas Dr Syed Shahridzan, semua yang diperkarakan itu tanpa disedari boleh menyebabkan syaitan menyusup dalam hati manusia hingga akhirnya membuatkan seseorang tidak menerima ketentuan ALLAH SWT.

“Mengertilah, menyesal dan bersedih itu biasa dan memang sudah menjadi fitrah manusia, tetapi kita kena ingat bahawa setiap yang berlaku adalah qada dan qadar ALLAH SWT.

“Segala yang terjadi itu hanyalah sebab sahaja. Umpamanya kemalangan, ia hanya sebab, tetapi hakikatnya ia adalah ketentuan ALLAH. Memang sudah ditakdirkan detik itu waktu kematiannya, keretanya rosak dan sebagainya.

Sedih

USAH terlalu sedih, kesal atau marah hingga membuka peluang kepada syaitan menyusup dalam hati kita dan mempertikaikan apa yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT. -Foto: 123rf

“Malangnya, ada yang tidak boleh menerima suratan-NYA. Lebih teruk lagi apabila ia membuka ‘amalan syaitan’ dan mempertikaikan apa yang ditentukan Sang Pencipta kepada-NYA,” katanya.

Baca juga ENAM cara syaitan sesatkan manusia

Ketahuilah bahawa semua itu terkait dengan soal akidah yang mana umat Islam diajar supaya berpegang teguh kepada Rukun Iman, ungkapnya.

“Rukun Iman terakhir adalah beriman kepada qada dan qadar ALLAH waima baik ataupun buruk. Ingatlah, kita tidak boleh terima (takdir) yang baik saja, tetapi qada dan qadar buruk pun kita kena menerimanya.

“Pendek kata, dalam kita dirundung kesedihan dan penyesalan, fikirkanlah bahawa semua yang berlaku itu adalah ketentuan-NYA. Tidak perlulah kita bangkitkan rasa pilu itu dengan perkataan ‘kalau’ yang tidak memberikan apa-apa manfaat sekalipun.

“Cakaplah macam mana ‘kalau’ sekalipun, ia tetap tidak akan mengubah sejarah dan kisah-kisah lalu. Bahkan, ia akan menimbulkan lagi konflik akidah yang boleh membahayakan keimanan seseorang,” tegasnya.

Hanya untuk sesuatu yang positif

Meneruskan perkongsian ilmunya, Dr Syed Shahridzan kemudian memperincikan perihal keadaan yang dibolehkan untuk seseorang mengungkapkan perkataan ‘kalau’.

Jelas beliau, ia dibenarkan andai kita menuturkan kalimah itu ke arah membawa kepada kebaikan.

“Sebagai contoh, orang berkata ‘kalau aku kaya, aku hendak belanja engkau’ atau ‘kalau aku menang, aku belanja engkau’. Frasa itu tidak menjadi masalah kerana niat kita dalam hati untuk berbuat baik kepada rakan.

Sedih

UNGKAPAN ‘kalau’ boleh digunakan untuk perkara yang membawa kebaikan seperti orang berkata ‘kalau aku kaya, aku hendak belanja engkau’ dan elakkan menuturkan kalimah itu ketika diri dihambat rasa sedih, kecewa dan seumpamanya. -Foto: 123rf

Baca juga Buat kebaikan tak semestinya dengan sesuatu yang ‘grand’

“Begitu juga jika ungkapan ‘kalau’ digunakan untuk perkara yang positif iaitu mengharapkan sesuatu yang baik. Umpamanya, kita menuturkan ‘kalaulah saya dapat pergi haji, saya hendak banyak berdoa dan solat di sana’ ataupun ‘kalaulah saya ada duit segepuk, saya dah derma di masjid dan pada anak yatim’.

“Inilah antara bait-bait ayat ‘kalau’ yang tidak dilarang di sisi agama. Bahkan, ia berupaya menyuntik seseorang untuk melakukan amalan kebaikan,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, agamawan itu menjelaskan, apa sahaja ungkapan tersebut yang boleh membangkitkan kemahuan itu untuk menjadi lebih baik juga sangat disarankan.

Baca juga Biar tamak lakukan kebaikan dalam ibadah, jangan haloba urusan dunia

“Barangkali ada yang mengatakan ‘kalau saya dapat ke sini, nescaya saya akan kenal ramai orang dan banyak menuntut ilmu’. Tidak mengapa menyatakan sedemikian kerana dirinya mengharapkan suatu perkara yang baik berlaku.

“Seperkara lagi, ungkapan ‘kalau’ boleh digunakan untuk tujuan post-mortem (pemeriksaan bagi tujuan penambahbaikan). Sebagai contoh, ada orang mengatakan ‘tahun ini aku solat tarawih lapan rakaat, kalaulah aku diberi umur yang panjang dan bertemu Ramadan akan datang, aku nak solat tarawih 20 rakaat’.

“Pernyataan itu juga tiada masalah diungkapkan. Ini kerana walaupun ia melibatkan perkara telah lalu, tetapi tiada pertikaian perkataan ‘lau’ dengan urusan yang dibuat pada masa lepas dengan penyesalan tidak bermanfaat, cuma kita inginkan penambah baik dilakukan pada masa akan datang,” terangnya sambil menitipkan pesan agar melazimkan zikrullah dan membaca al-Quran bagi menenangkan hati yang sedih mahupun gundah-gulana.