Browsing Tag

kereta

gempa Turkiye
Antarabangsa,

Kereta ‘usang’ sarat dengan bantuan mangsa gempa Turkiye, netizen kagum kegigihan pemuda ini

SEORANG warga Azerbaijan meraih perhatian komuniti netizen antarabangsa apabila tular gambar memaparkan lelaki berkenaan memandu kereta lama sarat dengan bantuan untuk mangsa gempa Turkiye.

Kata pemuda berusia 33 tahun bernama Sarvar Bashirli itu kepada Agensi Anadolu, dia terpanggil menghulurkan bantuan kepada ‘saudara-saudara’ di Turkiye setelah melihat musibah yang menimpa negara Uthmaniyyah tersebut.

“Pada hari kejadian (gempa bumi di Turkiye), saya sedang duduk bersama saudara-mara. Kami terus memutuskan untuk mencari jalan membantu rakyat Turkiye yang sememangnya kami anggap sebagai ‘saudara’,” ujarnya.

Baca juga 5 kisah meruntun hati di sebalik gempa bumi Turkiye-Syria

gempa Turkiye

ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di bandar Sanliurfa selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud landa Turkiye. Foto: AFP

Baca juga Bantuan kemanusiaan gempa bumi di Turkiye dan Syria dilancarkan

Sarvar dan keluarganya berasal dari wilayah Karabakh dan Lachin di Azerbaijan yang kini diduduki secara haram oleh kerajaan Armenia.

Kekangan wang yang dihadapi setelah mereka dipaksa berpindah keluar dari tanah halaman walau bagaimanapun tidak menjadi penghalang buat Sarvar.

Keesokan pagi selepas kejadian gempa bumi pertama, Sarvar bertemu keluarga dan sahabat handai untuk mengumpulkan apa sahaja barangan yang boleh dihantar sebagai bantuan kepada masyarakat Turkiye.

“Sesetengah barang saya dapat daripada keluarga seperti bapa saudara dan nenek. Ada juga yang diterima daripada jiran tetangga,” katanya.

Baca juga Gempa bumi Turkiye dan Syria: Pelajar Malaysia mohon doa orang ramai

gempa Turkiye

HARAPAN mencari mangsa terselamat kian hari semakin tipis.

Sarvar menggunakan kereta lama tahun 80-an miliknya untuk membawa barangan tersebut ke sebuah pusat pengumpulan bantuan di ibu negara, Baku.

Gambar Sarvar sedang memandu kereta yang sarat dengan tilam dan kotak pakaian disertai bendera Turkiye sempat diambil oleh pengguna jalan lain.

Rata-rata para netizen kagum dengan kegigihan Sarvar, bahkan ada yang berharap foto berkenaan dijadikan inspirasi supaya lebih ramai orang terlibat dalam aktiviti sukarela.

Turut disyorkan Lakukan amalan ini ketika gempa bumi

FOTO dirakamkan dron menunjukkan bangunan musnah di Antakya, Turkiye. Foto: AP

Sarvar memberitahu, sehingga kini pihaknya masih meneruskan usaha mengumpul barangan sebanyak mungkin untuk dihantar ke pusat pengumpulan.

Katanya lagi, “Kami akan terus memberikan bantuan. Hari ini, kami telah menghantar makanan kepada pusat pengumpulan.

“Azerbaijan dan Turkiye adalah seperti adik-beradik, namun berlainan ibu bapa. Kami anggap ia adalah satu tanggungjawab untuk membantu rakyat Turkiye.

Dalam pada itu, Sarvar mendoakan yang terbaik buat pihak yang terlibat dalam gempa bumi di Turkiye.

“Saya bersimpati dengan negara Turkiye. Semoga ALLAH mengurniakan kesabaran buat rakyatnya,” ujar Sarvar.

Sumber: Agensi Anadolu

Foto: AP & AFP