Browsing Tag

Kerala

Berjalan kaki
Istimewa Panggilan Baitullah,

Sampai ke Tanah Suci selepas setahun berjalan kaki 8,640 km

Sampai ke Tanah Suci selepas setahun berjalan kaki 8,640 km

SELEPAS setahun, perjalanan seorang lelaki India Muslim dari Kerala, India ke Tanah Suci akhirnya menemui titik noktahnya.

Lelaki bernama Shihab Chottur itu berjaya sampai ke Makkah selepas melalui pengembaraan berjalan kaki melangkaui 8,640 kilometer (km)! Ia sebagaimana yang dilaporkan oleh portal India Today.

Benarlah, usaha itu tangga kejayaan. Apatah lagi ia membuahkan kebugaran yang sukar diungkapkan.

Masakan tidak, beliau bukan sahaja dapat menjejakkan kaki di tanah haram, tetapi juga menjadi tetamu ALLAH untuk menunaikan ibadah haji. Itu sememangnya menjadi impian setiap umat Islam.

Menjejaki misinya itu, ternyata bukan mudah pengembaraan yang ditempuh. Chottur, 31, yang memulakan perjalanannya pada 2 Jun tahun lalu dari Kerala kemudian melintasi India, Pakistan, Iran, Iraq dan Kuwait sebelum tiba di Arab Saudi.

Baca juga Jalan kaki lebih 6,000 km ke Makkah untuk tunaikan haji

Beliau yang juga YouTuber terkenal di India itu tiba ke destinasi yang diidam-idamkan pada 7 Jun iaitu dalam tempoh 12 bulan 5 hari atau secara tepatnya 370 hari.

Berjalan kaki

SHIHAB CHOTTUR tiba di Arab Saudi selepas 370 hari berjalan kaki. -Foto: India Today

“Sesiapa sahaja yang mempunyai niat baik boleh mencapai objektifnya,” demikian responsnya ketika ditemu bual saluran TV Arab Saudi, Al-Ekhbariya.

Meskipun pendekatan yang dipilih Chottur amat tidak popular untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, anak kelahiran Valancherry di daerah Malappuram, Kerala itu sebenarnya tidak asing lagi dengan cara sebegitu.

Beliau sebenarnya dibesarkan dengan cerita-cerita orang ke Makkah dengan hanya berjalan kaki pada zaman dahulu!

Di sebalik ekspedisi epiknya, rupanya banyak yang terpaksa direntas oleh Chottur.

Jejaka yang mengusahakan sebuah pasar raya di kampung halamannya itu pernah melalui detik-detik sukar apabila dihalang oleh pihak berkuasa Pakistan gara-gara dirinya tidak mempunyai visa.

Baca juga Jalan kaki lebih 6,000 km ke Makkah untuk tunaikan haji

Pada bulan September tahun lalu, beliau sebenarnya sudah tiba di sempadan Wagah, Punjab.

Berjalan kaki

SEPANJANG setahun perjalanan Shihab Chottur di Tanah Suci, ia bukan sesuatu yang mudah dan banyak terpaksa direntasnya demi menjayakan misi murninya itu. -Foto: About Islam

Bagaimanapun, akibat sekatan itu, Chottur terpaksa menunggu visanya diluluskan sehingga bulan Februari lalu sebelum akhirnya memasuki Pakistan dan meneruskan perjalanan ‘sucinya’.

Sepanjang tempoh berkenaan, anak muda itu terpaksa berteduh di Aafiyah Kids School di Punjab.

“Bukan itu sahaja, beliau turut berdepan kesukaran seperti berhadapan ‘haiwan pemangsa dan cuaca sejuk di Iran’,” lapor portal siasat.com.

Selepas memasuki Arab Saudi, Chottur dilaporkan ke Madinah tempat di mana Nabi Muhammad SAW dimakamkan. Beliau menghabiskan 21 hari di kota itu sebelum berangkat ke Makkah.

Menurut portal About Islam, beliau menempuh perjalanan 440 km antara Madinah dan Makkah dalam sembilan hari.

“Beliau akan menunaikan haji selepas ibunya, Zainaba tiba dari Kerala,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal aboutislam.com.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.