Browsing Tag

kepapaan

Pinggan mangkuk tak basuh semalaman
Gaya Hidup,

Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

DEK kepenatan melayan tetamu ketika hari raya dan menyediakan hidangan, pinggan, mangkuk, cawan dan segala jenis perkakasan dibiarkan tanpa dibasuh semalaman.

Ya, itulah situasi yang dihadapi oleh segelintir orang. Lantaran itu, ramai yang memilih untuk menggunakan cawan, pinggan dan mangkuk pakai buang bagi menjimatkan masa masing-masing.

Namun begitu, masih ada lagi individu yang menggunakan kelengkapan yang ada di rumah bagi menjamu tetamu masing-masing. Cuma apabila sudah kelelahan, pinggan dan mangkuk tadi akan disambung basuh keesokannya.

Baca juga Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab

Begitupun, ada yang menyanggah cara sebegitu kerana dikatakan membiarkan pinggan dan mangkuk semalaman boleh mengundang kepapaan.

Pernyataan itu tidak asing lagi buat kita. Ini kerana ia sering kali diingatkan oleh ibu bapa dan nenek moyang kita. Benarkah begitu dahsyat sekali penangannya gara-gara tidak larat basuh pinggan?

Begitu juga halnya apabila menyapu ketika waktu malam atau Maghrib. Ada yang melarang kita berbuat demikian kerana perbuatan itu dikatakan menjadikan kita miskin.

Ketahuilah bahawa dua contoh yang diberikan tadi itu mitos semata-mata.

Menurut pendakwah dan penulis terkemuka, Ustaz Addien Abdul Kadir, ia sebenarnya termasuk dalam kepercayaan lama yang tidak ada dalil sandarannya sama sekali walaupun ada disebutkan dalam beberapa kitab kuning (kitab agama zaman silam).

USTAZ ADDIEN

Beliau kemudian mengemukakan pandangan Syaikh Ali Mahfuz dalam al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ yang menyatakan: “Sapu rumah waktu malam mengundang kemiskinan ialah kepercayaan khurafat.”

Ustaz Addien menjelaskan, dalam bab kebersihan secara umumnya, Islam tidak menetapkan waktu spesifik sama ada boleh melakukan pembersihan pada masa-masa tertentu.

Baca juga ‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

“Sebaliknya, prinsip asal Islam ini adalah agama yang mengajar tentang kebersihan secara keseluruhannya bermula dari akidah, ritual, harta dan sampai ke (bab) hygiene. Asalkan nampak kotor saja, bersihkanlah. Tak perlu tunggu waktu spesifik.

“(Waima) Pagi, petang, siang atau malam, semua itu tidak ada masalah dalam hal kebersihan,” tegasnya sebagaimana dipetik menerusi bebenang Twitter miliknya.

Andai kata, rumah atau diri kita kotor pada waktu malam, Ustaz Addien yang juga pakar motivasi menjelaskan, tidak munasabah jika kita terpaksa menunggu waktu siang untuk membersihkannya.

“Malah, ia agak bertentangan dengan prinsip asas yang Islam ajar,” ungkapnya.

Pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman

DALAM bab kebersihan secara umumnya, Islam tidak menetapkan waktu spesifik sama ada boleh melakukan pembersihan pada masa-masa tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Begitu juga halnya dengan ‘larangan’ memotong kuku pada waktu tertentu kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menyempitkan rezeki dan sebagainya, terangnya.

“Semua ini dakwaan palsu yang direka-reka. Agama Islam datang untuk memandaikan manusia.

“Islam tidak ajar perkara-perkara yang merepek dan membodohkan akal,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kebanyakan kepercayaan orang tua dahulu disebabkan faktor lain seperti keselamatan, kesihatan dan seumpamanya.

“Cuma ia menjadi masalah sebab ditokok tambah dan direka ancaman/kelebihan berunsurkan agama. Jika ditelusuri sejarah munculnya hadis palsu, majoritinya sebab-sebab macam inilah,” katanya.

Baca juga [VIDEO] Neraka menanti pencipta hadis palsu

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Addien menitipkan pesanan bernilai buat seluruh umat Islam.

Sebagai generasi baharu yang lebih terdedah kepada ilmu pengetahuan, kemajuan teknologi dan kemudahan, beliau menyarankan agar kita mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan kefahaman dan kepercayaan mitos sebegitu.

“Kalau tak mampu betulkan, kita ubah dengan amalan sendiri supaya dicontohi generasi masa akan datang,” pesannya.

***Foto: Canva