Browsing Tag

Kelebihan al-Quran

Kekacauan 13 September
Aqidah,

Ini kelebihan al-Quran berbanding dengan kitab-kitab yang lain

Ini kelebihan al-Quran berbanding dengan kitab-kitab yang lain

SEBUT sahaja Nuzul Quran, ingatan kebanyakan kita pasti terarah kepada sejarah penurunan kitabullah itu sendiri.

Masakan tidak, jika ditelusuri historiografinya, proses penurunan kitab suci itu kepada Nabi Muhammad SAW berlaku dalam tiga peringkat.

Menurut Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Izzat Husman, peringkat pertama adalah daripada ALLAH SWT ke Lohmahfuz, diikuti Lohmahfuz ke Baitul Izzah (langit kedua) dan seterusnya daripada Baitul Izzah kepada Rasulullah SAW selama lebih kurang 23 tahun.

Begitu agungnya kalam ALLAH itu sehingga mengambil masa lebih dua dekad untuk diturunkan dan melalui peringkat-peringkat tertentu.

Baca juga Antara 17 Ramadan Dan Malam Lailatulqadar, Ini Penjelasan Tentang Tarikh Nuzul Al-Quran

Sesungguhnya, al-Quran sememangnya terlalu istimewa. Bukan sekadar untuk dibaca, sebaliknya ia menjadi manual kehidupan umat Islam dalam apa jua masalah.

Kelebihan al-Quran

AL-QURAN bukan sekadar dibaca bahkan diambil pengajaran daripadanya. -Foto: 123rf

Sempena Nuzul Quran yang bakal disambut pada 17 Ramadan iaitu hari Sabtu ini, Sinar Islam Plus kongsikan lapan keistimewaan al-Quran berbanding kitab-kitab samawi lain yang dipetik daripada laman sosial Facebook Pusat Pengajian Iqra’ dan bekalislam.firanda.com.

Berikut perinciannya:

1. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur, manakala kitab samawi lain diturunkan secara serentak.

2. Syariat yang ada dalam kitab suci itu memansuhkan apa yang ada dalam kitab-kitab yang lain.

3. Bahkan, syariat al-Quran meliputi sekalian manusia dan jin. Sedangkan kitab samawi yang lain pula hanya dikhususkan pada sesuatu umat sahaja.

4. Suatu perkara menarik tentang kitabullah itu, al-Quran terpelihara hingga hari kiamat daripada sebarang perubahan. Jika dibandingkan dengan kitab-kitab lain, ia telah diubah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Baca juga Mukjizat Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW Paling Agung Berbanding Kitab-Kitab Samawi Lain

5. Mereka yang membaca al-Furqan akan diberikan ganjaran pahala dan sebaliknya pada kitab-kitab samawi.

Kelebihan al-Quran

Al-Furqan mudah untuk dihafal dan tidak boleh ditiru. -Foto: Unsplash

6. Berbanding dengan yang lain, al-Quran mudah untuk dihafal, selain diambil pengajaran daripadanya.

7. Al-Quran juga merupakan satu mukjizat. Selain laras bahasanya yang teratur dan tidak boleh ditiru, kalam ALLAH itu mengandungi banyak perkara yang menakjubkan seperti informasi sanis yang hanya diketahui oleh manusia selepas ratusan tahun kemudian dan kisah-kisah umat terdahulu.

8. Al-Quran menjadi Muhaimin iaitu sebagai kepercayaan, saksi dan hakim bagi kitab-kitab suci terdahulu. Mudah kata, kitabullah itu menjadi saksi kebenaran kepada kitab-kitab samawi sebelum ini.

Melihat kepada kelebihan-kelebihan itu, sesungguhnya kita umat yang beruntung kerana dikurniakan kitab suci berkenaan melalui Nabi Muhammad SAW.

Alangkah ruginya andai kita membiarkan al-Quran itu ‘suci dalam debu’. Hanya dilihat dan jadi bahan pameran, tetapi langsung tidak terusik untuk dibaca.

Kepada mereka yang masih merangkak-rangkak membaca kalamullah itu, masih belum terlambat untuk kita memperbaiki diri. Semoga berkat Ramadan kali ini membawa kita menjadi insan yang dekat dengan-NYA.

GLOSARI

Al-Furqan: nama lain bagi al-Quran.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus