Browsing Tag

Kehebatan Ramadan

Kehebatan Ramadan
Ibadah,

Ini 7 kehebatan Ramadan yang perlu kita rebut

Ini 7 kehebatan Ramadan yang perlu kita rebut

BULAN Ramadan yang dirindui oleh umat Islam telah menjengah tiba dalam suasana Malaysia yang penuh kesederhanaan. Pada bulan Ramadan, seorang Mukmin secara syar’inya mempunyai beberapa tanggungjawab yang sudah dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sunnah qauliyah (perkataan) dan amalan-amalan Baginda.

Bulan Ramadan merupakan musim menggandakan ibadah serta menuai jutaan kebaikan. 30 hari terhebat yang penuh limpahan nikmat ALLAH SWT sedang disajikan kepada para hamba-NYA yang soleh jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

1. Siyam (Puasa).

Secara umumnya, puasa mempunyai darjat keutamaan yang besar yang telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah.

“Semua amal perbuatan bani Adam adalah kepunyaan bani Adam sendiri, kecuali puasa. Puasa itu kepunyaan-KU, dan AKU yang akan memberikan balasan. Maka, demi Dzat yang nyawa Muhammad ada ditangan-NYA, sungguh di sisi ALLAH, aroma mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum daripada minyak kasturi”.

Kehebatan Ramadan

KEHEBATAN Ramadan banyak dirakamkan dalam al-Quran dan hadis antaranya ALLAH SWT menjanjikan pahala yang bukan calang-calang kepada mereka yang berpuasa dan beribadah semata-mata kerana-NYA. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Imam Mazari Rahimahullah dalam kitab alMu’lim Bifawa-idi Muslim juga ada menjelaskan bahawa ALLAH secara khusus menyebut puasa sebagai “milik-KU”, padahal semua perbuatan baik yang dilakukan secara ikhlas juga milik-NYA. Ini kerana dalam ibadah puasa tidak mungkin terdapatnya aspek riak sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.

Ini kerana puasa itu perbuatan menahan diri dan menahan lapar, sementara hakikatnya orang yang menahan diri kerana sudah kenyang atau pun kerana miskin – pada zahirnya sama saja dengan orang yang menahan diri ketika beribadah kepada ALLAH. Elemen yang paling penting ialah niat ikhlas yang tersimpan dalam hati manakala ibadah solat, haji dan zakat merupakan perbuatan lahiriyah yang berpotensi untuk menimbulkan riak. Oleh kerana itulah, puasa dikhususkan sebagai milik ALLAH sementara yang lainnya tidak.

Baca juga Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Di samping keistimewaan yang bersifat umum ini terdapat kelebihan lain yang terdapat pada bulan Ramadan seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah:

“Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan kerana ingin mendapatkan pahala, maka dia diampuni dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Kehebatan Ramadan

JANGAN lepaskan peluang untuk bertarawih yang hanya datang sebulan sekali dalam setahun. -Foto: 123rf

Baginda SAW juga menjelaskan lagi: “Satu bulan sabar (berpuasa Ramadan) ditambah tiga hari puasa pada setiap bulan, sama dengan puasa satu tahun.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Apa yang dimaksudkan dengan bulan sabar iaitu bulan Ramadan seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Abdil Barr Rahimahullah dalam kamus Lisanul Arab, shaum juga bermakna sabar. ALLAH merakamkan aspek ini dalam Surah az-Zumar ayat 10 yang berbunyi: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

2. Qiyamullail (Tarawih).

Solat tarawih ini sunnahnya dikerjakan secara berjamaah selama satu bulan Ramadan. Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya barang siapa yang solat bersama imam sampai imam itu selesai, maka ditetapkan pahala baginya, seperti solat sepanjang malam.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Baca juga Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

Dalam menerangkan kelebihan solat tarawih ini, Rasulullah bersabda. “Barang siapa yang solat tarawih kerana iman dan mengharap pahala, maka dia diampuni dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun ‘alaih)

3. Sedekah.

Kedermawanan Rasulullah paling menonjol pada bulan Ramadan. Baginda banyak memberi dan ini mencakupi berbagai macam amal kebajikan dan perbuatan baik.

Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

4. Mengadakan iftar kepada orang yang berpuasa.

Rasulullah telah menganjurkan umatnya untuk melakukannya dan memberitahukan pahala yang sangat besar sebagai hasil yang mereka peroleh seperti apa yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Kehebatan Ramadan

BETAPA melimpahnya pahala bila memberi makan orang berpuasa. -Foto: 123rf

“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tarmizi dan al-Baihaqi)

5. Membaca al-quran.

Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran, sebagaimana difirmankan oleh ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang berbunyi:

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) AlQuran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)”.

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

Dalam sunnah ‘amaliyah Nabi Muhammad terdapat keterangan tentang praktik nyatanya. Jibril AS mengajak Nabi SAW bertadarus al Quran pada setiap malam bulan Ramadan.

6. Umrah.

Imam Bukhari rahimahullah dan Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis yang menjelaskan bahawa Nabi SAW bersabda: “Umrah pada bulan Ramadan sama dengan haji bersamaku.”

7. Mencari lailatulqadar.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Qadr ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu, apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.”

Kehebatan Ramadan

ISTIQAMAH dalam beribadah dan usah terlalu menimbang-nimbang malam lailatulqadar untuk menjadi hamba ALLAH yang begitu dekat dengan-NYA. -Foto: Bernama

Nabi SAW juga bersabda: “Barangsiapa solat pada malam qadar kerana iman dan kerana ingin mencari pahala, maka dia diampuni dosanya yang telah lalu.”

Baca juga Lailatulqadar: Mengapa ALLAH SWT menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia?

Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis: “Wahai Rasulullah, apakah yang aku katakan, jika aku mendapati Lailatul Qadar?” Baginda SAW menjawab,” Katakanlah: “Ya ALLAH, sesungguhnya engkau MAHA PEMBERI MAAF, maka maafkanlah aku.”

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia & Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman

Foto: Canva