Browsing Tag

kehebatan doa seorang ibu

Kehebatan doa seorang emak
Berita Semasa,

Jangan sesekali sakiti ibu, ini 6 kehebatan doa seorang emak

Jangan sesekali sakiti ibu, ini 6 kehebatan doa seorang emak

APA sahaja perkara melibatkan ibu, hati kita akan mudah tersentuh. Maklum sahajalah, mereka ialah insan yang bersusah payah mengandung dan bertarung nyawa melahirkan kita untuk melihat dunia ini.

Maka tidak hairanlah mengapa seorang ibu diberi penghormatan tinggi dan dipandang mulia oleh Islam.

Lihat sahaja hadis yang direkodkan daripada Abu Hurairah RA. Beliau berkata: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah SAW, siapakah orang yang saya lebih berhak menghormati?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi: “Lalu siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi: “Setelah itu siapa?” Rasulullah SAW menjawab: “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Akhirnya Baginda pun menjawab: “Kemudian ayahmu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bukan sekadar dihormati, doa seorang ibu juga boleh terus sampai ke ‘langit’ tanpa hijab.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa yang mustajab tanpa syak lagi; doa orang dizalimi, doa orang musafir dan doa bapa kepada anaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Atas asbab itulah peri pentingnya reda dan restu seorang ibu, emak, mama, ummi dan apa jua panggilan seumpamanya dalam kehidupan anak-anak.

Sempena bulan Hari Ibu ini, Sinar Islam Plus kongsikan kelebihan doa ibu yang tiada ‘tapisan’ anugerah ALLAH SWT sebagaimana dipetik daripada portal Islam Itu Indah dan Tazkirah.net.

Berikut perinciannya:

1. Doa ibu membawa husnul khatimah.

Kehebatan doa seorang emak

KASIH ibu membawa ke syurga. Justeru, hargailah insan yang telah mengandung dan melahirkan kita kerana kehebabatan doa seorang emak boleh membawa kepada husnul khatimah. -Foto: 123rf

Ramai yang biasa mendengar kisah yang begitu masyhur tentang seorang lelaki bernama Alqomah. Saat sakaratulmaut menghampirinya, lidahnya kelu untuk mengucapkan kalimah syahadah.

Hakikatnya, beliau digambarkan seorang yang kuat beribadah, soleh, berpuasa dan kerap berinfak. Situasi itu membuatkan sahabat lain hairan.

Namun, Rasulullah SAW mengetahui sebabnya. Ibu beliau tidak reda kepadanya! Wanita tersebut terasa hati atas perbuatan Alqomah suatu masa dulu.

Baca juga Memuliakan ibu, akhlak sebenar Islam

Akhirnya, Nabi Muhammad SAW bermuslihat dengan memerintahkan beberapa orang sahabat membuat persediaan untuk membakar Alqomah.

Melihat longgokan kayu tersebut, hati ibu Alqomah terasa sayu.

Lantas beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah yang hendak engkau lakukan kepada anakku?”

Baginda SAW menjawab: “Aku hendak membakar anakmu kerana dia tidak mungkin meninggal dengan tenang sekiranya engkau tidak mahu mendoakannya.”

Mendengar kata-kata Baginda, ibu Alqomah segera menadah tangan ke langit dan berdoa: “Ya ALLAH, aku bersaksi kepada-MU dan kepada kerasulan Nabi-MU. Sesungguhnya aku ikhlas atas segala perbuatan Alqomah kepadaku. Semoga dia meninggal dunia dalam husnul khatimah.”

Selesai sahaja berdoa, Alqomah akhirnya dapat mengucap kalimah Tauhid dengan lancar dan menemui Sang Pencipta dengan tenang.

Betapa pentingnya berkat doa dan restu ibu agar kita dijemput Ilahi dengan ketenangan.

2. Doa ibu sumber kekuatan dan keyakinan.

Kehebatan doa seorang emak

KEHEBATAN doa seorang emak juga adalah apabila segala apa yang dipohonnya itu mampu menjadi sumber kekuatan dan keyakinan bagi seorang anak. -Foto: 123rf

Ketahuilah bahawa doa ibu menjadi sumber kekuatan dan keyakinan bagi seorang anak.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah peristiwa melibatkan perselisihan di antara Nabi Sulaiman dengan bapanya, Nabi Daud.

Baca juga [VIDEO] Boleh doakan ibu bapa yang bukan Islam, tapi…

Daripada Ibn Abbas, terdapat sekelompok kambing merosakkan tanaman seorang petani. Lalu petani tadi mengadukan kejadian itu kepada Nabi Daud.

Baginda AS memutuskan, kambing-kambing itu perlu diserahkan kepada petani tersebut sebagai menggantikan tanamannya yang rosak.

Begitupun, Nabi Sulaiman pula berpendapat, keputusan itu kurang adil. Baginda mencadangkan supaya semua kambing itu diserahkan sementara kepada petani itu bagi mengambil hasilnya iaitu susu dan bulu. Sementara itu, pemilik kambing perlu menggantikan tanaman yang rosak dengan tanaman baharu. Apabila ia mengeluarkan hasil kelak, barulah pemilik kambing mengambil haiwan ternakannya semula.

Melihat buah fikiran anaknya, Nabi Daud merasakan cadangan anaknya lebih baik daripada keputusannya sendiri, lalu Baginda pun bersetuju dengan anaknya. Nabi Sulaiman berasa gembira dan yakin pada dirinya sendiri apabila Baginda diberikan sokongan moral.

Kehebatan doa seorang emak

HARGAILAH ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Ingatlah doa kedua-dua orang tua pasti akan dikabulkan oleh ALLAH SWT. -Foto: 123rf

3. Doa ibu menolak fitnah.

Ketika Saidatina Aisyah RA diuji dengan ujian fitnah yang menyatakan beliau melakukan perbuatan terkutuk dan dipandang hina, ibunya, Ummu Rumman tidak putus-putus bermunajat. Ibunya juga sentiasa memohon kepada ALLAH SWT agar menyelamatkan anaknya daripada segala fitnah yang menimpanya.

Ternyata fitnah yang dilemparkan itu sebenarnya palsu. ALLAH SWT mengabulkan doa ibu Aisyah dan membebaskan ummul mukminin itu daripada tuduhan keji berkenaan.

Baca juga [VIDEO] Doa ibu angkat mustajab? Ini penjelasannya

Dalam al-Quran, ALLAH SWT merakamkan bahawa fitnah tersebut diada-adakan oleh seorang munafik bernama Ubay bin Salul.

4. Doa ibu membuka pintu rezeki.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ibu menjadi ‘sumber kemudahan dan kebahagiaan’ bagi setiap anak. Masakan tidak, menerusi doa yang dititipkannya buat anak-anak mereka, setiap daripada kita akan memperoleh kejayaan dalam apa jua perkara.

Ya, doa ibu bapa sememangnya tiada hijab. Ia bukan sahaja mampu mengubah kehidupan seorang anak, tetapi juga berupaya membuka pintu rahmat ALLAH.

Justeru, jangan sekali-kali kita melupakan pengorbanan mereka. Sebaiknya, doakanlah orang tua kita sepanjang masa.

Seperkara lagi, jangan melakukan sesuatu yang boleh mengguris hati mereka kerana keradaan ALLAH bergantung kepada keredaan ibu bapa.

Kehebatan doa seorang emak

KEHEBATAN doa seorang emak dan ayah bukan sekadar membuka pintu rezeki kita, tetapi juga banyak perkara kebaikan yang lain buat kehidupan kita. -Foto: 123rf

5. Doa ibu memberi kemuliaan.

Ibu kepada wanita hebat bernama Maryam binti Imran, Hanah binti Faruq tidak pernah lelah berdoa supaya anak yang sedang dikandungkannya kelak menjadi insan yang berbakti kepada ALLAH SWT, mendapat kedudukan mulia dan sentiasa dilindungi-NYA.

Baca juga Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin

Berkat doa ibu, Maryam diiktiraf menjadi wanita ulung dalam tamadun Islam. Malah, beliau diiktiraf oleh al-Quran menerusi Surah Maryam dan hadis yang boleh dijadikan suri teladan buat Muslimah.

6. Doa ibu membawa keselamatan.

Rasulullah SAW pernah menceritakan kisah seorang anak yang terselamat daripada menjadi mangsa serigala.

Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW berkata: “Seorang pengemis datang meminta sedikit makanan daripada seorang wanita yang sedang makan. Apabila wanita itu melihat pengemis itu datang kepadanya, dia tidak jadi menyuapkan makanan ke mulutnya, tetapi memberikan semua makanannya kepada pengemis itu.

“Tidak berapa kemudian, wanita yang memberikan sedekah itu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila anaknya sudah boleh berjalan dan keluar bermain-main, tiba-tiba datang seekor serigala menerkam anaknya itu dan melarikan anak itu ke dalam hutan. Wanita itu mengejarnya sambil memohon pertolongan daripada ALLAH, ‘Anakku, anakku, ya ALLAH, selamatkanlah anakku!’

ALLAH segera memerintahkan malaikat menyelamatkan anak wanita itu daripada menjadi habuan serigala. Kemudian malaikat berkata kepada wanita itu: ‘ALLAH menyelamatkan kamu dan ALLAH berkata inilah gantinya makanan yang engkau berikan kepada seorang pengemis dahulu’.”

Lihat betapa besarnya kesan doa ibu. Bahkan, kuasa sedekah yang dilakukan juga membuatkan doanya mudah termakbul.

Sementara hayat masih dikandung badan, berbaktilah kepada kedua orang tua kita dengan sedayanya. Merekalah ‘sumber’ doa kita.