Browsing Tag

Kedekut nafkah anak

Kedekut nafkah anak
Berita Semasa,

Suami dibakar angkara kedekut nafkah anak, ada cara lain isteri boleh lakukan jika hadapi masalah rumah tangga

WALAUPUN memang ada segelintir suami yang kedekut nafkah anak, namun kebanyakan daripada kita tidak terlintas langsung mahu mengambil tindakan yang akhirnya boleh memakan diri.

Sebab itu peri pentingnya mengawal amarah dan mengurus emosi dengan baik. Ia supaya kita boleh berfikir rasional terhadap tindak-tanduk yang dilakukan.

Namun, kisah yang berlaku di Kalimantan Barat, Indonesia baru-baru ini wajar dijadikan pedoman bersama. Gara-gara suami kedekut nafkah anak, isteri nekad membakar pasangannya!

Lebih tragis, kejadian itu berlaku ketika suaminya sedang tidur di kandang lembu yang akhirnya menyebabkan lelaki itu melecur 60 peratus pada bahagian badannya.

Memetik portal berita berpengaruh di Indonesia, Kompas melaporkan, wanita itu pada asalnya meminta wang daripada suaminya untuk membeli buku sekolah anak mereka.

Malangnya, permintaannya itu tidak diendahkan dan ditolak lelaki berkenaan. Tambah dramatik lagi apabila ketua keluarga berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap si isteri sebelum wanita itu bertindak sedemikian rupa.

Kedekut nafkah anak

AKIBAT insiden malang dibakar kerana dilaporkan kedekut nafkah anak, lelaki itu dilaporkan mengalami 60 peratus melecur pada bahagian badan. -Foto: Kompas

Kepada kaum Hawa yang menghadapi masalah sama atau seumpamanya, jangan bertindak semberono.

Menerusi laman sosial Facebook dalam kumpulan Permasalahan Kes Di Mahkamah Syariah, pengguna akaun Cahaya Mata Nurain berkongsi cara yang boleh dilakukan oleh isteri menghadapi sebegitu.

“Ramai para isteri bila mengalami masalah rumah tangga seperti suami tak bagi nafkah, suami sering memaki, lelaki curang, suami suka pukul dan sebagainya, masih lagi berdiam diri tanpa sebarang tindakan.

“Kebanyakan mereka mengambil konsep reda kerana itu jalan takdir yang tertulis. Walhal, anda sebagai isteri tahu apa yang perlu dibuat,” tulisnya.

Beliau kemudian menyenaraikan tindak-tanduk yang perlu dilakukan jika berdepan masalah rumah tangga sepertimana situasi berikut:

1. Suami culas atau tidak beri nafkah.

Baca juga Bapa tetap perlu sediakan nafkah anak sekalipun sudah bercerai dengan pasangan

Andai pasangan kita bertindak sedemikian dengan tidak memberikan nafkah, minta dengan tegas! Failkan nafkah isteri atau anak dalam tempoh perkahwinan.

Kedekut nafkah anak

ISTERI perlu menuntut dengan tegas nafkah anak dan diri andai suami culas membayarnya. -Foto: 123rf

Bagi pasangan yang sudah berpisah, failkan nafkah idah dan anak selepas perceraian.

2. Suami menyakiti hati isteri. 

Maklumkan secara terang dan nyata perkara yang menyakiti hati wanitanya itu. Jangan diam.

3. Suami memukul tubuh badan isteri.

Baca juga Nabi larang sekeras-kerasnya memukul wajah isteri

Kepada kaum wanita, jangan biarkan hal itu. Sebaliknya, buatlah laporan polis dan perubatan untuk tindakan lanjut.

Jangan lupa untuk ambil gambar bahagian anggota yang mengalami kecederaan itu.

4. Perlukan perbincangan.

Baca juga SULH – Konsep penyelesaian pertikaian terbaik yang diajar Islam

Barangkala ada situasi rumah tangga yang memerlukan perbincangan. Jika begitu, maka duduklah berbincang dalam keadaan yang tenang.

Andai tidak boleh, minta wakil yang lain untuk ada bersama ketika sesi berkenaan.

Untuk sesi pra kaunseling pula, boleh dapatkan bantuan ahli keluarga, rakan, jiran tetangga mahupun kaunseling di pejabat agama ataupun kaunselor bertauliah.

5. Semua usaha di atas telah dilakukan, namun tiada potensi untuk ke arah positif.  

Kedekut nafkah anak

BUATLAH aduan di Mahkamah Syariah andai semua usaha yang telah diambil menemui jalan buntu. -Foto: 123rf

Maka buatlah aduan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak anda. Jangan ambil masa terlalu lama untuk bertindak.

Di samping itu, Cahaya Mata Nurain yang juga pengamal undang-undang syariah turut menasihatkan agar kaum Hawa jangan takut untuk bertindak.

“Jangan zalim pada diri sendiri, jadilah isteri yang reda dengan bijak, bukan isteri yang reda tanpa sebarang ilmu.

“Sesungguhnya, ALLAH amat murka pada hamba-NYA yang berlaku zalim pada diri sendiri,” ungkapnya sambil menasihatkan wanita untuk mendapatkan nasihat peguam syarie atau individu bertauliah bagi membantu mereka bangkit.