Oleh DR ZAIZUL AB RAHMAN
SEDAR tak kita, walaupun baru hampir separuh Ramadan dilalui, terngiang-ngiang di telinga alunan lagu raya berkumandang seperti mengucapkan selamat tinggal kepada bulan yang penuh keberkatan. Tidak berasa sayukah kita dengan senario ini umpama tidak teruja dengan keajaiban yang ada di dalam bulan Ramadan?
Sesungguhnya, selagi masih ada kesempatan dan sisa nafas, marilah kita segarkan setiap detik pada bulan ini dengan pelbagai amalan kebaikan. Ironinya, amat syahdu nian diri kita andainya inilah Ramadan terakhir dengan kefakiran amalan kerana kesibukan duniawi.
Secara tuntas, fokus utama Ramadan hanya keredaan ALLAH SWT mengatasi segalanya. Berbahagialah bagi insan yang dirinya yang asyik dalam kelazatan cintakan ALLAH melebihi segala fatamorgana isi dunia ini.
Sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah hadis yang mafhumnya, ”Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala (daripada ALLAH ’Azza Wa Jalla), nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Ramadan ibarat peluang
Segala tabiat ini sebenarnya berputik daripada kesungguhan ibadah yang berakar umbi semenjak dari kecil lagi hasil didikan ibu bapa dan guru bahawa peluang Ramadan jangan dilepaskan berlalu pergi.
Baca juga Elak melakukan perkara ini ketika Ramadan, agar tidak merugikan diri sendiri
Sebaliknya ia perlu disantuni sepenuh hati supaya apa yang dijanjikan ALLAH dapat diperoleh. Sebagaimana termaktub dalam hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi ALLAH, orang yang dilepaskan daripada api neraka pada setiap hari dan setiap malam (bulan Ramadan). Setiap hamba (orang) daripada mereka mempunyai doa yang mustajab.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Rasulullah SAW juga bersabda: “ALLAH berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah milik-KU dan AKU-lah yang akan membalasnya. Puasa itu perisai. Apabila seseorang daripada kamu berpuasa pada suatu hari, maka janganlah berkata perkataan yang kotor dan menjerit-jerit. Sekiranya seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa.’ Demi Zat yang jiwa Muhammad dalam kekuasaan-NYA, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi ALLAH daripada bau kasturi. Untuk orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang dia bergembira dengan kedua-duanya, iaitu apabila berbuka dia gembira dengan berbuka puasanya dan kedua bertemu dengan Tuhannya, dia gembira dengan puasanya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Sinar Ramadan juga mendidik Muslim menjadi insan yang cakna terhadap dosa dan pahala sama ada melalui tingkah laku dan bukan sebagai keyboard warrior di media sosial dengan sentiasa cermat memberikan perkongsian mesej kebaikan.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya (laghwu) dan perbuatan yang kotor dan keji (rafath). Bahkan jika seseorang memarahi kamu, katakanlah kepadanya bahawa kamu sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Medan memugarkan diri
Ramadan juga menjadi medan memugarkan diri menjadi insan yang penuh keihsanan terhadap keperitan insan lain. ALLAH memerintahkan hamba-NYA untuk saling tolong-menolong sebagaimana firman-NYA dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH Maha berat azab seksa-NYA (bagi sesiapa yang melanggar perintah-NYA).”
Rasulullah SAW juga bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu
Sebenarnya kita sering tersalah pandang mengenai elemen kebajikan yang dilaksanakan terhadap orang lain sepatutnya sederap dengan kebajikan yang dilakukan kepada ahli keluarga.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Bahkan bersedekah kepada kaum keluarga terdekat merupakan sedekah yang paling afdal setelah sedekah kepada kedua ibu bapa.
Keampunan ALLAH menanti
Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Ibnu Abas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)
Bak kata lagu P Ramlee, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa sebagai bukti keimanan kita kepada ALLAH SWT, juga seperti kata orang orang tua-tua ‘nangis dan tawa di bahu sahabat yang sejati’.
Di pertengahan Ramadan yang berbaki ini, marilah kita menggandakan amalan solat, membaca al-Quran, beriktikaf, berzikir, berdoa dan mendirikan malam (qiamullail).
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
Baginda juga berpesan supaya umatnya agar memperbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan meminta keampunan-NYA.
Daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi ALLAH, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Ya ALLAH Ya Tuhan kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
***Dr Zaizul Ab Rahman ialah Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Foto: 123rf & Freepik